Raja Perlis Lantik ADUN Bintong, Md Isa Sabu Sebagai Menteri Besar

KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berkenan melantik Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Bintong Datuk Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri Besar Perlis yang baru menggantikan Datuk Seri Shahidan Kassim.Setiausaha Sulit kepada Raja Perlis, Moh Adib Zakaria dalam kenyataan yang diedarkan kepada wartawan yang berkumpul di hadapan Istana Siraj di sini kira-kira 2.40 petang, berkata pelantikan itu adalah menurut Perlembagaan Negeri, Artikel 39 (2) Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis.

Peruntukan itu menyebut Raja hendaklah melantik seorang yang pada fikirannnya mendapat kepercayaan ramai ahli menjadi Menteri Besar bagi mengetuai majlis kerajaan negeri."Berdasarkan kepada peruntukan ini dan setelah berpuas hati dengan kemampuannya untuk mendapat sokongan majoriti dari Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri, maka Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berkenan melantik Datuk Dr Md Isa Sabu sebagai Menteri besar Perlis berkuatkuasa 14 Mac 2008," katanya.Dr Md Isa adalah bekas Exco kerajaan Perlis sehingga 2004 kerana pilihan raya umum 2004, beliau tidak dicalonkan semula untuk bertanding namun setelah sepenggal berehat, beliau dicalonkan semula bagi kerusi DUN Bintong pada pilihan raya Sabtu lepas.Pada pilihan raya itu, Dr Md Isa mengalahkan calon PAS Mohd Anuar Mohd Tahir dengan majoriti 2,110 undi. Dr Md Isa mendapat 4,882 undi manakala Mohd Anuar 2,772 undi.

Terdahulu Shahidan dilihat memasuki Istana Siraj kira-kira 11.40 pagi untuk mengadap Raja Perlis dan keluar sejam selepas itu.Ketika ditemui pemberita sejurus keluar dari perkarangan istana, Shahidan berkata pelantikan beliau sebagai Menteri Besar masih belum diputuskan walaupun telah menerima surat watikah pelantikan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada Selasa lepas untuk menerajui semula negeri Indera Kayangan itu."Sekarang ini muktamad daripada Perdana Menteri (jawatan Menteri Besar)... sayalah. Raja ada kuasa untuk menentukan lantik sesiapa," katanya.Shahidan yang tergesa-gesa meninggalkan perkarangan istana untuk menunaikan solat Jumaat di Masjid Putrajaya, berkata beliau akan menemui Perdana Menteri untuk perbincangan selanjutnya.Ditanya mengenai kemungkinan wujud campur tangan daripada pihak tertentu, Shahidan berkata," Mungkin. Orang itulah. Memang ada orang campur tangan.

Ini banyak melibatkan cerita-cerita munafik dan perjanjian yang dilanggari."Turut kelihatan sebuah kereta Proton Perdana berwarna kelabu memasuki perkarangan Istana Siraj pada pukul 11.50 pagi yang mendakwa sebagai wakil Anggota Parlimen Kangar Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad.Hadir sama pada pertemuan itu adinda Raja Perlis Datuk Seri Syed Razlan Putra Jamalullail yang juga ADUN Pauh, yang tiba pada pukul 12.50 tengah hari dan keluar 15 minit selepas itu, diikuti dengan kereta yang membawa wakil Radzi.

Semalam ,Shahidan mengakui ada pihak yang kurang bersetuju dengan pelantikan dirinya sebagai Menteri Besar Perlis dan telah bertemu dengan Abdullah untuk memohon agar beliau tidak diberikan jawatan itu.Shahidan juga berkata pihak dari dalam kelompok Umno Perlis itu yang sebelum ini telah bersetuju menyokongnya tetapi kini menentang.

No comments

Powered by Blogger.