Adjust font size: Ezam gagal pikat pengundi KT


Kemunculan bekas orang kuat PKR Ezam Mohd Nor dengan isu yang hampir sama tidak begitu berjaya memancing ghairah pengundi dalam dua program ceramahnya dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Kehadirannya bersama sejumlah bekas aktivis muda parti itu kelihatan tidak lagi memikat daya gerak orang ramai untuk mendengarnya dan isu-isu yang dibangkitkannya tidak lagi bergaung dalam kalangan penduduk di bandar raya ini.

Orang ramai kelihatan lebih terpukau dengan gaya dan suara Ezam yang saling tidak tumpah mirip suara Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas bosnya yang kini menjadi sasaran kecamannya.

Orang ramai bertepuk tangan setiap kali Ezam meniru gaya pidato Anwar.

Ceramahnya di dua tempat dalam DUN Bandar dan Ladang sejak dua hari lalu disertai kira-kira 400 orang sahaja. Bagaimanapun jumlah pendengar ini sudah cukup besar berbanding beberapa penceramah Umno yang lain.

Kehadirannya juga sekurang-kurangnya berjaya memeriahkan perjalanan pilihanraya kecil ini sewaktu Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama jentera PKR bertungkus-lumus menggempur kawasan parlimen ini, khususnya di Bandar.

Pilihanraya yang disertai calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dirasakan agak sunyi biar pun tinggal lima hari lagi sebelum pengundian, Sabtu ini.

Dekat rumah pangsa Kampung Kolam di DUN Bandar kelmarin, ceramah bekas ketua Pemuda PKR dihadiri oleh hampir 200 orang, manakala di rumah pangsa Bukit Kecil - terletak satu kilometer dari pejabat perhubungan PKR Terengganu - malam tadi, ia dihadiri jumlah yang hampir sama.

Kebanyakan pendengar terdiri penduduk sekitar yang berusia 40 tahun ke atas. Beberapa puluh anak muda yang hadir turut bertepuk tangan mendengar kecamannya terhadap Anwar.

Hampir separuh pendengar berdiri tidak jauh pentas ceramah di Blok C pangsapuri tersebut.

Isu-isu yang dibawa Ezam termasuk enam kotak yang mengandung dokumen rahsia amalan rasuah pemimpin-pemimpin BN yang, menurutnya, disimpan oleh Anwar. Isu ini bukan lagi isu baru.

Bekas setiausaha Anwar itu sebelumnya pernah menyatakan sedemikian, termasuk dibangkitkan dalam pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh yang ditandingi mantan timbalan perdana menteri itu, Ogos lalu.

Sama ada pendedahannya di dua tempat itu mampu mempengaruhi pengundi Kuala Terengganu atau sebaliknya, ia tidak dapat dipastikan.

Di Permatang Pauh, isu ini tidak memberi kesan kepada Anwar.

Beliau juga mendakwa Anwar seorang pemimpin tidak konsisten apabila menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad sehari sebelum cuba berdamai dengan perdana menteri waktu itu sejurus selepas dipecat September 1998.

Ezam juga berkata Anwar memintanya menunggu untuk mendedahkan dokumen-dokumen sulit tersebut dan maka itulah beliau meninggalkan PKR selepas tidak bersetuju dengan tindakan ketua pembangkang itu.

Bagaimanapun, bekas setiausaha Angkatan Muda PKR, SD Johari Mohd Yassin mendakwa siri pendedahan Ezam berjaya memberi kesedaran pengundi supaya memangkah Wan Ahmad Farid.

"Kita tidak mahu pengundi di sini terperangkap dengan mengundi calon PAS.

"Mengundi calon PAS bermakna mengundi Anwar kerana beliau yang mengawal parti itu," katanya.

No comments

Powered by Blogger.