BN akan cari punca kekalahan
|
|
MANAMA (Bahrain) 18 Jan. - Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Barisan Nasional akan mencari punca kekalahan dan sebab penduduk Kuala Terengganu menolak parti itu pada pilihan raya kecil semalam.
Perdana Menteri berkata, ini termasuk mengambil kira pandangan rakyat di kawasan itu supaya tindakan segera dapat diambil.
Oleh itu katanya, beliau akan menunggu keputusan bedah siasat ekoran kekalahan BN pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
"BN berjanji akan mengambil kira pandangan rakyat di kawasan itu.
"Itu adalah kehendak rakyat. Pilihan raya telah dijalankan dengan baik dan teratur secara demokrasi serta tidak ada perkara yang tidak baik berlaku,"katanya kepada pemberita sejurus tiba di Hotel Ritz Carlton di sini malam ini.
Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas kegagalan BN mempertahankan kerusi Parlimen Kuala Terengganu apabila calonnya, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh tewas kepada calon Pas, Mohd. Abdul Wahid Endut dengan majoriti 2,631 undi.
Dalam pilihan raya itu, Wan Ahmad Farid memperoleh 30,252 undi manakala Mohd. Abdul Wahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Mempelam memperoleh 32,883 undi.
Seorang lagi calon yang bertanding atas tiket Bebas, Azharudin Mamat hanya memperoleh 193 undi dan hilang wang pertaruhan manakala Undi rosak 665.
Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan kematian penyandang, Datuk Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada bulan lalu.
Abdullah berkata, walaupun kalah dalam pilihan raya itu, UMNO tetap akan memberi khidmat kepada rakyat Kuala Terengganu.
"Wan Farid juga memberitahu saya yang beliau akan terus berkhidmat di kawasan itu walaupun tewas," ujarnya.
Katanya, pembangunan di kawasan itu juga akan tetap diteruskan bagi manfaat rakyat.
Abdullah turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi Kuala Terengganu yang mengundi BN.
"Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengarah pilihan raya kecil yang telah bekerja kuat sepanjang tempoh kempen" ujarnya.
Perdana Menteri juga mengucapkan terima kasih kepada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO serta parti komponen BN dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang telah menjalankan tugas dengan cemerlang. - Utusan
No comments
Post a Comment