Di mana tuah nombor daftar kereta "TAG 176" buat calon PAS?

KERETA Pacuan empat roda Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Wakaf Mempelam, Mohd. Abdul Wahid Endut yang dipilih sebagai calon PAS dan Pakatan Rakyat kerusi Parlimen Kuala Terengganu bernombor pendaftaran "TAG 176".

Jika ia disusun semula, angka "6" merujuk kepada tarikh penamaan calon iaitu Selasa ini manakala "17" pula hari pengundian. Bermakna angka "176" perlu dan jika dibaca "617", ia menandakan tarikh masing-masing bagi hari penamaan calon dan hari pengundian kelak pilihan raya kecil kali ini.

"Ia secara kebetulan sahaja," balas Ketua PAS Bahagian Kuala Terengganu ini.

"Sebenarnya nombor lot rumah saya pun 176 juga, mungkin isyarat baik (untuk kemenangan)," kata beliau dalam pertemuan pertama ringkas dengan wartawan mStar Online dan The Star selepas menemui penyokongnya di Kampung Seri Ladang di kawasan Dewan Undangan Negeri Ladang malam tadi.

Perkara ini sengaja diajukan kepada beliau sebagai permulaan bicara dengannya yang diumumkan sebagai calon PAS dan Pakatan Rakyat 1 Januari lalu.

Kemudian, pukul 10.15 malam Abdul Wahid berkejar ke dua lokasi yang lain untuk menemui seramai mungkin penyokong dan penduduk tempatan sebelum hari penamaan calon Selasa ini.

Semasa ditemui kira-kira 12.30 tengah malam di Markas Pemuda Wakaf Mempelam, Abdul Wahid, ADUN Wakaf Mempelam selama lima penggal sejak 1990 mengakui beliau mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mendapatkan balik kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

"(Pemilihan ini) sebagai calon saya anggap sebagai satu tanggungjawab, bukan satu peluang," kata beliau kepada mStar Online.

Awal pagi tadi beliau bertolak ke Shah Alam untuk menemui anak-anak Terengganu di perantauan.

Bagaimanapun kata Bendahari PAS Kuala Terengganu yang berusia 52 tahun ini, beliau tidak keseorangan dalam mencapai misinya.

"Saya tidak keseorangan, sama-sama saya ada penyokong saya (untuk mengharungi cabaran pilihan raya kecil ini)," kata Abdul Wahid sambil menambah, "pilihan raya ini macam kita main bola sepak."

"Akan ada pasukan yang menang dan ada pasukan yang kalah. Tetapi kita mahukan kemenangan," katanya.

PERNAH MINTA TIDAK DICALONKAN

Ketua PAS Bahagian Kuala Terengganu sejak 2003 ini yang sudah tiga dekad berkecimpung dalam politik ini juga mengakui namanya memang ada dalam senarai awal nama calon yang dihantar kepada PAS negeri dan pusat.

"Tetapi saya telah memberitahu bahawa kalau boleh jangan pilih saya (sebagai calon)... itu memang saya dah maklum dari awal," ujar Abdul Wahid yang secara berseloroh menggambarkan dirinya sebagai "ayah kepada sembilan orang anak, bapa mertua kepada tiga menantu dan datuk kepada dua cucu serta suami kepada seorang isteri", atas alasan tugas dan tanggungjawab yang dipikul sekarang.

Bagaimanapun tambah Abdul Wahid, beliau terpaksa menerima tanggungjawab itu apabila diputuskan oleh pucuk kepimpinan.

"Saya tidak boleh menolak," kata beliau yang pertama kali bertanding dalam pilihan raya pada 1986 di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, salah satu daripada empat bahagian DUN dalam Parlimen Kuala Terengganu.

Banyak pihak dan penganalisis menganggap bahawa ADUN Batu Burok, Dr. Syed Azman Syed Ahmad akan menjadi calon pilihan. Personaliti lain termasuklah Pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali. Mac lalu PAS diwakili oleh Naib Presidennya, Mohamed Sabu.

Kerusi Bandar kini masih dikuasai Barisan Nasional (BN).

Selain Wakaf Mempelam, PAS menguasai DUN Ladang dan Batu Burok.

Mengambil kira bahawa beliau merupakan Ketua PAs Kuala Terengganu dan pernah bertanding di kerusi DUN Ladang 23 tahun yang lalu, Abdul Wahid memberitahu beliau mempunyai banyak kenalan di kawasan pusat bandar, yang menjadi sebahagian daripada wilayah DUN Bandar.

"Malah ibu saya tinggal di kawasan bandar. Begitu juga saya mempunyai kenalan lama di kawasan bandar termasuk daripada kalangan masyarakat Cina," kata Abdul Wahid dalam nada gurauan dan kadangkala bercampur suara ketegasan.

Nada bergurau senda dan ketegasan memang stailnya, kata beliau yang juga bekas Exco Pembangunan Usahawan dan Belia Terengganu dari 1999 hingga 2004.

FALSAFAH POLITIK

Mengenai pendekatan politiknya sepanjang tiga dekad, Abdul Wahid berkata, beliau berlandaskan konsep bahawa "musuh jangan dicari dan jika berhadapan jangan biarkan."

Pendekatan ini sangat penting dalam meneruskan perjuangan politik, kata beliau yang lahir di Kampung Pulau Rusa.

Sebagaimana Abdul Wahid, Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, yang sudah dua minggu diumumkan sebagai calon Barisan Nasional (BN), juga Ketua Umno Bahagian.

Abdul Wahid memiliki kelulusan Ijazah Sains Marin dan Perikanan dari Universiti Putra Malaysia.

Abdul Wahid dalam ceramah kira-kira 10 minit di Kampung Seri Ladang malam tadi menyenaraikan beberapa isu tempatan dan nasional termasuk soal bayaran royalti, pembangunan, dasar dan soal derhaka kepada Sultan.

Malah beliau juga tidak mahu ada serangan peribadi dikenakan atau digunakan semasa berkempen nanti.

Kerusi Parlimen Kuala Terengganu tidak dianggap kubu kuat bagi parti yang bertanding. BN dan PAS dilihat mempunyai kekuatan yang cukup seimbang.

Ini turut diakui oleh Abdul Wahid yang memberitahu bahawa beliau telah melawat sebahagian besar kawasan di keempat-empat DUN berkenaan sepanjang dua hari yang lalu.

Bagaimana pula dengan janji kepada pengundinya? Abdul Wahid menyenaraikan tiga aspek iaitu menjadi wakil rakyat yang baik, bercakap untuk rakyat atau membangkitkan isu sebagai wakil rakyat dan mewakili parti.


http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2009/1/4/mstar_liputankhas/20090104195950&sec=mstar_liputankhas

No comments

Powered by Blogger.