Kenyataan Akhbar YB Iskandar A. Samad

Oleh Iskandar Abdul Samad

 Kenyataan akhbar YB Iskandar Samad, Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan & Setinggan Negeri Selangor 11 Januari 2009 – “NAFI LEMBAGAI PERUMAHAN LEMBAB”

Saya menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) lembab di dalam menangani masalah rakyat

Punca kepada masalah yang dihadapi oleh penduduk pangsapuri dan kondominium adalah akta utk kediaman bertingkat yang lemah dan tidak jelas. Ini dieksploitasi oleh pemaju untuk terus menindas penduduk. Pemaju telah menggunakan kelemahan akta ini untuk memastikan pengurusan bangunan terus di bawah kawalan mereka. Jawatankuasa yang menguruskannya (JMB) dirancang supaya terdiri dari mereka yang memihak kpd pemaju.

Ada mesyuarat penubuhan JMB yang diadakan pada hari dan waktu yang tidak munasabah supaya hanya “orang-orang pemaju” sahaja yang hadir. Akta ini tidak menetapkan hari dan waktu mesyuarat itu patut diadakan.

Oleh itu, Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Selangor pada 7 Januari lepas telah meluluskan garis panduan bagi mesyuarat tersebut. LPHS akan mengeluarkan garispanduan yang lengkap dalam masa seminggu.

Garis panduan yang akan dikeluarkan itu menetapkan hari dan waktu mesyuarat penubuhan JMB boleh diadakan. Ianya juga melarang mesyuarat diadakan jauh dari kediaman penduduk.

Satu garis panduan yang lengkap akan disiapkan oleh LPHS merangkumi semua aspek akta itu dalam masa satu bulan. Ini diharap akan melicinkan lagi pengurusan kediaman bertingkat.

Tetapi Kementerian Perumahan & Kerajan Tempatan perlu mengkaji semula akta ini yang tidak jelas, lemah dan bercanggah dengan akta-akta lain. Akta ini kelihatan terlalu berat sebelah kerana memihak kepada pemaju. Pada saya kementerian yang sebenarnya lembab.

Sehubungan itu, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor telah diarah untuk memastikan pemaju-pemaju memanggil mesyuarat penubuhan JMB secepat mungkin. Sepatutnya semua JMB telah ditubuhkan sebelum 12 April tahun lepas tetapi ramai pemaju yang ingkar. Oleh itu, saya telah mengarahkan PBT mendakwa pemaju-pemaju itu di mahkamah sepertimana yang termaktub di dalam akta. PBT yang gagal perlu menghantar surat tunjuk sebab atau akan diambil tindakan disiplin.

Iskandar Abdul Samad

No comments

Powered by Blogger.