Penamaan Calon: Syed Husin ketuai 3000 ahli KeADILan



KUALA LUMPUR, 5 JANUARI (SK)- TIMBALAN Presiden KeADILan, Syed Husin Ali akan mengetuai kira-kira 3000 ahli KeADILan ketika berarak bagi menyokong calon Pas pada penamaan calon esok di Kuala Terengganu.

Menurut Naib Presiden KeADILan Mustafa Kamil Ayob yang juga memikul tanggungjawab sebagai Pengarah Pilihanraya Kecil P36 Terengganu bagi KeADILan, kira-kira 3000 ahli KeADILan akan bersama-sama pemimpin akan hadir esok.

“Kami difahamkan kira-kira 3000 ahli KeADILan dari seluruh Malaysia akan hadir esok dan ianya akan dipimpin oleh Dr Syed Husin,” katanya kepada Suara Keadilan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Ketua Umum, Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa Pakatan Rakyat akan berdiri teguh menyokong calon Pas, Mohd Abdul Wahid Endut dan akan berusaha bagi memastikan calon Pakatan Rakyat ini terpilih mewakili rakyat di Parlimen kelak.

“Kita yakin dengan pengalaman beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat di Wakaf Mempelam selama lima penggal, inshaallah kemenangan akan berpihak kepada kita,” menurut Anwar dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, semalam.

Anwar yang kini berada di Turki dijadualkan pulang dari negara berkenaan hari ini, dan akan merasmikan Bilik Gerakan Utama KeADILan di dun Bandar, Kuala Terengganu esok.

Menurut laporan media, BN akan mengharungi saingan di bawah tema “BN Mesra Rakyat” manakala PAS membawa tema “Perubahan Untuk Kemenangan Rakyat”.

Mohd Abdul Wahid Endut, yang juga Adun Wakaf Mempelam diumumkan calon Pas pada 1 Januari lalu akan menetang hebat calon BN, Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Selain itu, beberapa laporan media turut menyebut dua calon Bebas termasuk seorang tanpa parti iaitu Isma Airfath Hassanuddin dan seorang dipercayai daripada Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim), Harun Mohamad.

Penamaan calon telah ditetapkan esok manakala hari pembuangan undi jatuh pada 17 Januari dengan masa berkempen selama 11 hari.

Sesi penyerahan borang penamaan calon akan dibuat pada jam 9 hingga 11 pagi di Stadium Negeri di Kuala Terengganu.

No comments

Powered by Blogger.