Selangor Tawar Biasiswa Kepada Pelajar Melayu, India Menuntut Di China



SHAH ALAM, 14 Januari – Kerajaan negeri Selangor hari ini memutuskan untuk memberi geran biasiswa selama setahun kepada lima hingga 10 orang pelajar Melayu dan India di negeri ini melanjutkan pelajaran mereka dalam bidang perniagaan di China.


Dato’ Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian geran sebanyak RM100,000 seorang itu hanya melibatkan pelajar yang mempunyai latar belakang pendidikan awal di sekolah Cina dan fasih berbahasa itu.

“Mereka ini akan diberi peluang mengambil Ijazah Lanjutan selama setahun dalam bidang perniagaan di institusi pendidikan tinggi yang diiktiraf di Beijing dan Shanghai,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini, petang tadi.

Menurut beliau, keputusan pemberian geran itu dilihat mampu menggalakkan kemahiran bahasa selain menarik minat pelajar-pelajar mendalami ilmu bahasa selain daripada bahasa ibunda mereka.

“Kerajaan negeri berharap peluang yang diberikan ini akan membolehkan graduan Selangor meneroka ilmu kepakaran serta kemahiran dalam bidang perniagaan di China iaitu negeri yang telah mencatat pertumbuhan ekonomi antara yang tertinggi di dunia,” katanya.

Abdul Khalid menambah, pemberian geran pendidikan untuk melanjutkan pelajaran di China itu adalah satu permulaan dan akan diperluaskan ke negara lain seperti India dan timur tengah.

Sementara itu dalam sidang media sama, Abdul Khalid memberitahu bersempena perayaan Tahun Baru Cina, had laju bagi kenderaan dikurangkan daripada 80 km sejam kepada 60 hingga 70 km sejam.

Ia berkuatkuasa mulai 19 Januari ini hingga 2 Februari depan. – MURIZA ABDUL HAMID

No comments

Powered by Blogger.