Ungku Aziz letak jawatah YDP Angkasa

KUALA LUMPUR: Prof Diraja Ungku Aziz meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua (YDP) Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) berkuatkuasa semalam setelah menerajui badan itu selama lebih 30 tahun.

Pengumuman mengenai peletakan jawatan itu dimaklumkan beliau melalui satu kenyataan ringkasnya di sini, hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau turut menyatakan pendirian menolak pencalonan sebagai YDP pada persidangan kebangsaan tahunan Angkasa yang akan berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Putrajaya (PICC) Sabtu ini.

Semalam, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Koperasi Datuk Yidris Abdullah meminta Ungku Aziz supaya meletak jawatannya sebagai YDP Angkasa berikutan perkembangan yang berlaku dalam badan koperasi itu sejak akhir-akhir ini.

Yidris dilaporkan berkata bahawa perkembangan yang berlaku itu menyebabkan anggota-anggota Angkasa berasa telah dikhianati kerana tidak dimaklumkan mengenai pindaan yang dibuat ke atas Akta Suruhanjaya Koperasi Malaysia yang dikuatkuasakan mulai 1 Jan tahun lepas.

Angkasa ditubuhkan pada 1971, mewakili kira-kira 5,000 koperasi yang mempunyai keanggotaan berjumlah kira-kira enam juta orang dan aset bernilai kirakira RM47 bilion. BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.