Bersama kita pertahankan Kelantan


Semangat Umno Kelantan begitu berkobar-kobar mahu meruntuhkan kerajaan “Membangun Bersama Islam” yang telah dibina oleh PAS selama 18 tahun di bawah teraju Tok Guru Nik Abd Aziz. Dengan seluruh media arus perdana berada di bawah kawalan dan penguasaan mereka, maka gelora nafsu mereka semakin berkecamuk dan mengganas.


Apakah rakyat Kelantan boleh terpengaruh dengan dakyah mereka dan akhirnya terlibat dalam menumbangkan Tok Guru?


Selama 18 tahun bukan hanya Kelantan malah Malaysia dan dunia menyaksikan dengan penuh terpesona dan kagum betapa seorang insan bertaraf ulamak telah memegang teraju negeri, tanpa sedikit pun mengubah cara hidupnya, malah menjelmakan pula akhlak dan ilmunya itu ke dalam pentadbiran negeri. Pentadbirannya adalah sejarah kerana tidak ada pemimpin seumpama beliau sebelum ini yang pernah dilahirkan oleh negara kita.


Yang lebih menariknya betapa Tok Guru dikelilingi pula oleh tenaga profesional dan pakar selaku anggota EXCO nya disamping rakan-rakan ulamak yang lain yang sentiasa menyokong dan membantu pentadbirannya. EXCO Tok Guru di Kelantan ada yang lulusan ekonomi, lulusan kewangan dan perakaunan, lulusan undang-undang, lulusan perubatan, lulusan agama, pendek kata satu kombinasi yang sangat mantap dan teguh yang tidak didapati di negeri-negeri lain.
Untuk mengatakan Kelantan tidak “membangun” selama PAS memerintah 18 tahun adalah satu pembohongan yang keterlaluan. Untuk mengatakan yang Kelantan tidak mahukan pembangunan, sebagaimana kononnya yang dituduh Dollah Badawi dalam akhbar hari ini juga fitnah yang melampau dan berniat jahat. Kelantan berhak kepada pembangunan, kerajaan negeri membawanya berdasarkan sumber mereka yang ada, namun sebagai negeri yang bernaung di bawah suatu Persekutuan, Pusat sepatutunya tidak menghalang dan menyekat-nyekat peruntukkan dan peluang pembangunan yang mahu datang ke Kelantan. Apa yang berlaku adalah Kelantan telah dianak tiri, dipinggirkan semata-mata kerana rakyatnya memilih PAS, inilah dosa Umno yang paling besar (menyekat hak anak bangsa sendiri!) terhadap Kelantan.

Pembangunan di negeri Kelantan mungkin tidak setanding Selangor atau negeri-negeri Umno yang lain yang dicurah tidak henti-henti dengan bantuan wang Pusat. Tetapi yang jelasnya pembangunan akhlak dan kerohanian yang telah dibangunkan di Kelantan terutama yang dibentuk sendiri oleh Tok Guru dikalangan pimpinan negeri, tandus dan tidak kedapatan dimana-mana negeri lain di Malaysia. Rasuah, penyelewengan,salah-guna kuasa dan kedudukan sunyi di Kelantan. Kalau negeri lain cuba sifarkan setinggan, Kelantan berjaya menyifarkan rasuah dan keruntuhan moral dari kalangan pemimpinnya!


Malam ini Tok Guru akan bertemu dengan anak-anak Kelantan di perantauan terutama di sekitar Lembah Kelang yang sebahagian besarnya berdaftar sebagai pengundi di Kelantan. Tok Guru mahu merayu agar mereka pulang mengundi di Kelantan bagi sama-sama mempertahankan kerajaan “Membangun Bersama Islam” yang telah beliau bina.
Semalam Dollah Badawi juga bertemu anak-anak Kelantan di Bukit Kiara. Beliau juga merayu agar mereka pulang mengundi, tetapi yang beliau mahukan adalah agar mereka undi BN dengan harapan kerajaan Tok Guru dapat diroboh dan diranapkan.


Sesungguhnya 8 Mac ini adalah tarikh penting bagi Kelantan. Saya yakin bukan hanya orang-orang PAS, malah seluruh umat Islam termasuklah yang tidak mengundi di Kelantan akan mendoakan agar kerajaan contoh: “Membangun Bersama Islam”, itu terus kekal bertahan di Kelantan. Saya yakin ahli-ahli Umno dan kalangan pimpinan Umno juga ada yang begitu. Tun Dr Mahathir (ketika dirawat di IJN semasa dikunjungi pimpinan tertinggi PAS) pun pernah mendoakan agar PAS menang dan begitu juga Sanusi Junid (sebagaimana ditulis oleh MSO dalam Blognya), Allahyarham Megat Junid, malah Ku Li sendiri yang pernah saya temuramah di rumahnya tahun lalu pun yakin PAS akan kekal di Kelantan.


Segala-galanya kini terletak di atas kepala bahu para pengundi di Kelantan.
Ketika Hj Hassan bin Panglima Mat Lunas atau Tok Janggut gugur syahid di Kg Pupuh, Pasir Puteh, akibat peluru-peluru penjajah British pada tahun 1915, tiada siapa lagi yang berani bangkit berjuang atas seruan jihad di bumi Serambi Mekah itu. Tok Janggut, pejuang Islam tersohor di Kelantan dibunuh dan mayatnya dihina dengan digantung kepala ke bawah kaki ke atas di Padang Merdeka (Padang Bank) selama beberapa hari semata-mata kerana meniup seruan jihad dikalangan anak-anak Kelantan.


Tok Guru Nik Aziz hari ini telah berjaya memerintah Kelantan, menjadi galang-ganti kepada bibit permulaan perjuangan yang diterokai Tok Janggut itu. Hari ini beliau merayu agar Islam terus dibenar berkuasa di Kelantan, beliau tidak meminta wang ringgit atau kedudukan, tetapi agar kita memartabatkan Islam. Janganlah kita biarkan penghinaan terhadap Tok Janggut itu berulang lagi setelah hampir sekurun ia berlalu sedangkan kini kuasa berada ditangan kita.
Ya Allah berilah kekuatan untuk anak-anak Kelantan dan para pengundinya untuk terus mengundi dan menyokong kerajaan Tok Guru di Kelantan, amin.

1 comment

_ said...

Benar.

Pernah suatu hari ketika saya sedang menunggu ketibaan Bas Mutiara di depan Hotel Raudhah di KB. Tetiba seorang lelaki muncul dari dalam hotel, berlegar di sebelah saya dan mula menegur. Dari lenggok tutur kata, dia bukannya orang Kelantan. Katanya dari Perak. Kali pertama datang ke Kelantan.

Memula cakap2 biasa je. Tanya camne nak pegi certain places kat Kelantan. Kemudian, lari topik lak, tetiba plak dia kata yang dia nak sangat kerajaan PAS kekal di Kelantan. Dia ngaku yg dia ahli UMNO kat Perak tapi dia nak PAS kekal sebab kalau tak ada pembangkang dalam parlimen, kerajaan akan suka hati buat ape sahaja yg rakyat tak suka. Lagipun katanya dia nak Kelantan kekal dengan imej Islam dan Melayu.

Saya diam je.
Senyum sambil sengih.

Orang Kelantan dah lama daa tahu pasal tu. Bukan mcm orang Johor, NS dan Melaka yang sanggup pangkah, julang, sembah tunggul kayu !

Powered by Blogger.