Kuasa Kini Di Tangan Ahli Umno


MANAKALA Presiden Umno merangkap Perdana Menteri, Abdullah Ahmad Badawi, terus mendapat sokongan dan ikrar taat setia daripada kelompok kuasa dan pihak-pihak yang berkepentingan dalam parti itu, gerakan ke arah memaksa beliau menerima tanggungjawab dan meletakkan jawatan juga semakin hebat


.Hakikat bahawa kelompok-kelompok kuasa dan pihak-pihak yang berkepentingan ini, termasuk ahli Majlis Tertinggi, anggota Kabinet, Menteri Besar dan Ketua, terus menyokong Abdullah tidaklah sukar difahami.Antara faktor yang memaksa mereka terus menyokong Abdullah dan taat setia kepadanya adalah:


1. Mereka sama ada bersekongkol dengan beliau atau turut menjadi punca pengundi menolak Umno dan Barisan Nasional;

2. Mulut mereka dikunci dan terkunci kerana Abdullah masih mempunyai cukup kuasa dan pengaruh untuk menentukan nasib dan periuk nasi mereka;

3. Kerana keperibadian mereka tercela (compromised) dan boleh dijadikan bahan peras ugut politik – political blackmail;

4. Mereka tidak lagi mempunyai pautan yang bebas dan akrab dengan ahli akar umbi Umno untuk memahami dan merasai kemarahan ahli biasa Umno; dan

5. Mereka mungkin bukan lagi orang yang sesuai menerajui Umno dan Kerajaan kerana kedudukan mereka yang tercela (compromised) itu akan mendorong mereka bersekongkol (conspire) untuk melindungi satu sama lain.


Walaupun media massa arus perdana masih takut untuk menyiarkan berita yang tidak memihak kepada Abdullah selain menguar-uarkan kecaman terhadap Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir, khalayak sudah tahu mengenai tekanan ke atas Perdana Menteri.Surat Mukhriz bertarikh 12 Mac sudah pun diketahui umum apabila media massa alternatif dan media asing mendedahkan kewujudannya.


Kesedaran mengenai surat Mukhriz yang, antara lain, menggesa Perdana Menteri meletakkan jawatan, menjadi semakin luas apabila media massa arus perdana mula menyiarkan berita serangan terhadap beliau oleh pengikut-pengikut Perdana Menteri, khasnya Ketua Pemuda Hishammuddin Hussein.


Kemudian semalam (16 Mac), laman berita bebas Malaysiakini mendedahkan mengenai surat Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah kepada 193 bahagian Umno menggesa mereka menuntut agar Mesyuarat Agung Luar Biasa diadakan.


Antara lain, Tengku Razaleigh, 70 tahun, yang pernah menjadi Naib Presiden Umno dan Menteri Kewangan, mencadangkan agar mesyuarat itu membincangkan pencapaian buruk Umno dalam pilihan raya.Tengku Razaleigh Hamzah mencadangkan 11 Mei sebagai tarikh mesyuarat itu bagi mengambil sempena penubuhan Umno pada tanggal itu pada tahun 1946.


Tengku Razaleigh berkata kepimpinan dan keahlian Umno tidak seharusnya menuding jari kepada orang lain dan cuba membersihkan tangan daripada tanggungjawab kekalahan teruk parti. Katanya parti tidak seharusnya membenarkan kepemimpinan atasan melakukan kesilapan yang begitu besar.


Tegasnya lagi, ini adalah tanggungjawab bersama -- tanggungjawab semua ahli Umno dan kepemimpinan, Umno di semua peringkat daripada cawangan ke bahagian dan Majlis Tertinggi dan bukan tanggungjawab beberapa orang pemimpin atasan sahaja


.Adalah menakjubkan yang begitu ramai pembesar Umno, sama ada yang masih bergayut kepada kuasa atau yang sudah dinyahkan oleh pengundi, terus membisu dan menipu diri dengan berpura-pura seolah-olah tidak ada apa yang terjadi.Atau apakah kebisuan sebahagian besar daripada mereka membawa maksud mereka bersetuju dengan pendirian Tengku Razaleigh dan Mukhriz?Majoriti senyap – silent majority - sudah bersuara.


Kalau kepemimpinan atasan Umno tidak cacat pengelihatan, pendengaran dan percakapan, mereka sudah pasti dapat melihat, mendengar dan mengakui wujudnya amaran buruk di dinding benteng pasir mereka.


Ulama besar Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim pernah dipetik oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra sebagai berkata:“Sesiapa yang berjuang dengan nama Allah dan niat baik sentiasa dalam keredaan Allah, tetapi sesiapa yang lupakan niat, khianat dan tamak akan dimurkai Allah, akhirnya menjadi hina. Kalau orang Melayu (yang) beragama Islam mengkhianati bangsa, negara dan agama, Allah akan gantikan (dengan) bangsa lain yang beragama Islam (bagi) menjaga tanah air kita.”

No comments

Powered by Blogger.