Insaflah Hishamuddin Dan Muhammad Taib Suara Anda Adalah Sokongan Bawa Rebah!
Tindakan dan kenyataan segolongan pemimpin UMNO hari ini seolah-olah mengesahkan hakikat bahawa UMNO memang kehilangan arah dan punca.
Jika tidak, mereka tidak akan mengenepikan isu yang strategik dan hanya gembar-gembor mengenai isu-isu sampingan yang akan melemahkan parti.Isu strategik hari ini ialah: UMNO dilanda krisis keyakikan yang parah. Punca utama krisis ini ialah sikap Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, yang enggan menerima hakikat dan kenyataan.
Abdullah enggan membuat reality check. Sebaliknya, beliau terus dibelenggu denial syndrome.Hilangnya keyakinan rakyat jelata terhadap Abdullah dibuktikan menerusi PRU12. Katalah apa sahaja yang kita mahu, pokoknya punca utama kekalahan BN dalam PRU12 adalah Abdullah.Sejak pertengahan 2006, rasa gelisah dan kekecewaan rakyat jelata, termasuk warga UMNO, terhadap Abdullah mula disuarakan.
Majoriti suara itu diluahkan menerusi internet.Namun begitu, Abdullah dan penasihat-penasihatnya enggan menerima hakikat ini. Sebaliknya, para bloggers dan pemilik portal berita internet dibedal secukup-cukupnya.Pada 2007, hakikat ini kian ketara dan amat dirasai oleh banyak pihak. Perarakan Gelombang Kuning pada 10 November 2007, menjadi buktinya.Dalam buku saya, Gelombang Kuning Gelombang Rakyat, telah saya huraikan bahawa tidak semua daripada 138,000 rakyat jelata menyertai perarakan Gelombang Kuning kerana mereka mendukung perjuangan dan tuntutan BERSIH.Mereka hadir kerana itu sahaja ruang untuk mereka menunjukkan kekecewaan mereka kepada Abdullah.
Mereka datang dengan seribu satu sebab dan matlamat. Pokoknya, mereka kecewa dengan Abdullah.Mereka mempunyai persepsi WPI menyebabkan kedaulatan negara digadaikan kepada Singapura. Mereka muak dengan keterlanjuran menantu Abdullah sejak kontroversi ECM Libra. Mereka jelak dengan sikap sesetengah media perdana yang keterlaluan menjulang menantu Abdullah lebih daripada para menteri dan pemimpin besar UMNO.
Mereka juga menyertai Gelombang Kuning kerana kecewa dengan skandal PKFZ yang berlillion ringgit. Mereka kecewa dengan sikap polis yang menembak dua pemuda Melayu dengan peluru hidup. Mereka kesal dengan kenaikan kos sara hidup yang seolah-olah gagal dikawal oleh kerajaan.Kemuncak kepada segala-galanya adalah bila Abdullah mengeluarkan kenyataan “saya pantang dicabar” dan saranan supaya rakyat mencabar beliau menerusi peti undi!Biarpun begitu, walau hasil kajiselidik Merdeka Center pada Disember 2007 menunjukkan bahawa populariti dan penerimaan rakyat jelata kepada kepimpinan Abdullah adalah amat rendah – merosot dari lebih 90 peratus pada 2004 kepada 61 peratus sahaja pada akhir 2007 – beliau tetap berkeras untuk mengadakan PRU12.
Sekarang terbukti Abdullah memang melakukan kesilapan besar. Beliau enggan mendengar suara rakyat sejak 2006. Beliau enggan mengiktiraf kajian Merdeka Center pada Disember 2007. Beliau enggan menerima keputusan PRU12 pada 8 Mac 2008, sebagai undi tidak percaya rakyat kepada kepimpinannya. Dan kini, Abdullah enggan mengundurkan diri demi kepentingan agama, bangsa, negara, BN dan UMNO.
Dalam waktu yang sama, suara Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Ketua Penerangan UMNO Malaysia menambahkan lagi rasa muak rakyat jelata kepada UMNO dan Abdullah ketika ini.Suara Datuk Mukhriz Mahathir yang menghantarkan surat menggesa Abdullah meletakkan jawatan disifatkan sebagai penderhakaan. Suara ini pula dibidas, dibedal dan dikecam secara berleluasa dan berterusan.
Apakah ertinya ini sema kalau bukan usaha menafikan dan memperlekehkan verdict undi tidak percaya rakyat menerusi PRU12? Sedarkah Hishamuddin dan Muhammad Taib bahawa kenyataan mereka membidas Mukhriz akan memburukkan lagi keadaan dan mengkahis keyakinan rakyat untuk terus “memberontak”?Adakah Hishamuddin dan Muhammad Taib rasa kenyataan-kenyataan mereka menyumbangkan kepada usaha memulihkan UMNO dan BN selepas PRU12?Jika kedua-dua personaliti ini merasakan mereka bertindak selaras dengan aspirasi rakyat, saya cabar mereka cadangkan supaya Abdullah memecat Mukhriz daripada UMNO dengan serta merta. Kalau saya juga disifatkan sebagai penderhaka, pecat saya juga dengan seberapa segera.
Tetapi, kalau rakyat jelata mendapati Hishamuddin dan Muhammad Taib hanya disifatkan sebagai pembodek dan menyumbang kepada keruntuhan UMNO mutakhir ini, saya harap kedua-dua mereka dengan sukarela memecat diri mereka daripada kepimpinan UMNO!Dengan terus terang saya nyatakan bahawa perbuatan Hishamuddin dan Muhammad Taib sekarang ini adalah kurang bijak dan perlu disanggah secara habis-habisan. Inilah contohnya pendirian segolongan pembesar UMNO sekarang. Mereka enggan menerima kenyataan. Mereka tidak menghormati aspirasi rakyat menerusi PRU12.Kepada kedua-dua personaliti ini, saya katakan bahawa suara anda berdua adalah suara “sokong bawa rebah”. Teruskanlah suara seperti ini jika anda berdua juga mahu turut hanyut dengan denial syndrome dan kehancuran UMNO!
No comments
Post a Comment