Selangor Di Bawah BA Kearah Negeri Berkebajikan


Kemenangan BA yang terdiri dari parti PKR,DAP dan PAS di Selangor pada pilihanraya umum yang lalu adalah keputusan yang sangat memeranjatkan pemerhati politik tanah air.


Alhamdulillah kemenangan ini mempunyai hikmahnya yang tersendiri biarpun sebelum ini DAP sudahpun keluar dari pakatan Barisan Alternatif, PRU kali ini menyaksikan DAP kembali ke pangkuan BA dengan dinamakan Barisan Rakyat(nama tidak rasmi) untuk membentuk kerajaan-kerajaan negeri yang kuat demi menafikan kemenangan BN yang sudah lama berkuasa.


Saya sendiri sebagai anak kelahiran Selangor yang kini menetap di Johor sangat berbangga dengan pengumuman kerajaan BA Selangor oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang akan menilai semula perjanjian antara kerajaan negeri dengan Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk membolehkan rakyat Selangor menikmati bekalan air secara percuma sehingga 20 meter padu sebulan bermula April ini.


Inilah yang dinamakan kebajikan, sumber air negeri sepatutnya bukan untuk tujuan keuntungan semata-mata kerana ianya adalah kurniaan dari Allah untuk hambanya sebagai rezeki yang perlu kita syukuri.


Barisan Nasional kali ini benar-benar senak perut melihatkan kemampuan BA yang memerintah negeri-negeri yang menang secara kebajikan. Tambah saya tersentuh lagi apabila Ketua Menteri Pulau Pinang enggan pindah ke kediaman rasmi semata-mata tidak mahu wang kerajaan negeri berjumlah RM 100,000 dibelanjakan untuk membaik pulih kediaman rasmi kerajaan.


Sebenarnya ini bukanlah perkara yang baru memandangkan Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang menjadi Menteri Besar Kelantan sejak 1990 memilih kehidupan yang sederhana, begitu juga Presiden PAS Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika menjadi Menteri Besar Terengganu dahulu.


Saya bangga kerana dia takut nak belanja wang rakyat RM100 ribu sedangkan Perdana Menteri gasak sehingga RM15.81 juta untuk ubahsuai kediaman rasminya Seri Perdana di Putrajaya.
InsyaAllah selepas ini kita akan melihat banyak lagi kebajikan buat rakyat... AllahuAkbar


Rakyat Selangor dapat 20 meter padu air percuma mulai April
Oleh: ARSHAD KHAN


KUALA LUMPUR 16 Mac-Rakyat Selangor akan menikmati bekalan air secara percuma sehingga 20 meter padu sebulan bermula April ini.
Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, bagi tujuan itu, pihaknya akan menilai semula perjanjian antara kerajaan negeri sebelum ini, dengan Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).


"Perkara-perkara yang terkandung dalam perjanjian ini akan digunakan untuk membekalkan 20 meter padu air secara percuma.


"Kita menjangkakan pembekalan air percuma itu akan dilaksanakan dua minggu selepas Exco kerajaan negeri dilantik dan kita perlu bincang dalam mesyuarat Exco," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis kesyukuran meraikan kemenangannya di Bandar Tasik Selatan di sini hari ini.


Sementara itu, jurucakap Syabas ketika dihubungi berkata, 20 meter padu penggunaan air pada peringkat kegunaan rumah tangga atau domestik menyamai nilai RM11.40.
Di Selangor terdapat hampir 1 juta pengguna domestik.


Ia menjadikan nilai bulanan bagi 20 meter padu yang dikecualikan itu mencecah nilai keseluruhan berjumlah hampir RM11.4 juta.



Menurut Khalid, pembentukan majlis mesyuarat kerajaan negeri (Exco) Selangor akan dibuat pada Sabtu depan.Beliau berkata, mengikut perancangan, perkara berhubung pembekalan air percuma itu akan dibincang dalam mesyuarat Exco sebelum ia diluluskan.


Bekalan air percuma untuk 20 meter padu yang pertama merupakan sebahagian daripada janji manifesto pilihan raya yang dikemukakan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-12.


Kerajaan negeri Selangor kini merupakan kerajaan campuran yang diterajui oleh PKR setelah parti itu memenangi kerusi terbanyak di negeri berkenaan bersama DAP dan Pas.

No comments

Powered by Blogger.