Awas: UMNO Cuba Guna Raja, Tagih Simpati Orang Melayu !

Oleh: cucumatkilau

Mungkin akibat terdesak untuk meraih kembali sokongan rakyat terutamanya agar kembali menyokong perjuangan mereka, UMNO kini menggunakan pula raja-raja Melayu sebagai umpan untuk meneruskan agenda mereka. Terbaru, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dijadikan sebagai "Jurucakap" mereka semasa Perhimpunan Perpaduan Melayu sempena Maulidur Rasul 1429 Hijrah di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) .

Perhimpunan yang kononnya untuk mengembalikan ketuanan dan penyatuan orang Melayu dijadikan landasan khas oleh UMNO untuk menuding jari kepada rakyat yang tersilap kerana memberi kemenangan besar kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum ke-12 lalu.



Kononnya, akibat memilih dan menyokong parti pimpinan Melayu yang bukan UMNO seperti PAS dan PKR, menyebabkan ketuanan Melayu tercabar dan bakal terhakis. Bahkan menurut Tengku Mahkota Kelantan, bukan sahaja ketuanan Melayu tercabar bahkan agama Islam itu sendiri bakal terhapus kiranya orang Melayu membiarkan PAS dan PKR berkuasa. Kira-kira 3,000 peserta dikatakan menghadiri majlis tersebut yang dianjurkan oleh gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu yang dikenali sebagai Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM). Antara NGO yang dikatakan terlibat ialah Gabungan Penulis Nasional (Gapena), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).


Melihat kepada skrip ucapan Tengku Mahkota Kelantan itu, jelas sekali ianya disediakan dan diolah begitu teliti oleh mereka. Kita pun naik hairan, kenapa pulak baginda dipilih untuk merasmikan majlis tersebut, walhal sebelum ini populariti baginda tidak segagah mana pun. Ia berbeza dengan anak-anak raja dari negeri lain seperti Pahang, Johor, N.Sembilan dan sebagainya. Kenapa tidak diundang sahaja Yang DiPertuan Agong untuk merasmikannya. Mungkin jika Agong yang dipanggil, lain pula nada bunyinya ucapan baginda. Tambahan pula Pak Lah selaku pemimpin UMNO kini telah dikatakan menghina baginda berikutan kes perlantikan MB Perlis dan Trengganu baru-baru ini.


Dalam titah perasmian Tengku Mahkota Kelantan itu, baginda turut mengingatkan orang Melayu pada masa depan supaya bijak berpolitik agar tidak berlaku keadaan 'menang sorak kampung tergadai'. Baginda bertitah, kini ada orang Melayu telah bertindak 'marahkan nyamuk kelambu dibakar' yang akhirnya, menggadaikan masa depan bangsa hanya kerana marahkan pemimpin. "Paling menyedihkan, ada pula yang taksub hendakkan kuasa sehingga bertindak membujur lalu, melintang patah asalkan dapat kuasa," titah baginda lagi. Lebih memburukkan, kononnya perpecahan Melayu itu apabila ada pula sebilangan pemimpin Melayu sendiri yang sanggup mengetepikan kepentingan bangsa.


Melihat kepada ungkapan yang dititah oleh baginda, sememangnya ianya saling tak tumpah seperti kata-kata yang pernah dilemparkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO tatkala negeri mereka seperti Kedah, Perak dan Pulau Pinang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya baru-baru ini. Ia jelas sekali menunjukkan yang baginda Tengku Mahkota Kelantan itu telah dipergunakan untuk kepentingan politik mereka yang kononnya berjuang bagi kepentingan bangsa Melayu. Sungguh memualkan kita melihat adengan ini. Mereka seboleh-bolehnya mahu mewujudkan satu suasana tegang dan bersalah dikalangan orang Melayu kerana mengundi parti serpihan Melayu seperti PAS dan PKR. bagi mereka hanya UMNO sahaja yang layak memperjuangkan nasib orang-orang Melayu di negara ini dulu, kini dan selama-lamanya.


Kita merasa sungguh kecewa melihat senario yang berlaku ini. Parti UMNO itu dikatakan sebagai pembela Melayu, walhal nama UMNO itu sendiri diambil daripada perkataan Inggeris (United Malays National Organisation). Bukankah ini jelas membuktikan kepada kita Melayu UMNO adalah Melayu yang hanya bertopengkan 'Melayu' semata-mata. Sebaliknya, jasad, jiwa, naluri, dasar serta pemikiran mereka sebenarnya jelas telah dijajah oleh Inggeris. Lantaran itulah UMNO merasakan mereka adalah pejuang Melayu. Walhal mereka adalah penerus dasar-dasar Inggeris sejak sekian lama. Kemerdekaan yang diterima daripada British jelas sekali berhasil apabila UMNO yang secara jelas dasarnya itu adalah 'sekular' dikatakan berjuang untuk kepentingan Melayu dan Islam.


Melayu UMNOlah yang telah menyebabkan agama Islam terus terpinggir di bumi Malaysia ini. Gejala murtad berleluasa tanpa dapat dibendung. Anak Melayu terlibang dengan berbagai gejala sosial dan maksiat yang cukup dasyat. Tanah-tanah orang Melayu diambil dan dirampas dengan rakus atas nama sebuah pembangunan. Bahkan apa yang lebih menyedihkan lagi ialah, Melayu UMNO telah mengadaikan Pulau Singapura milik Tanah Melayu kini menjadi sebuah negara pesaing kepada bumi ini sendiri. Melayu terus merempat dan ketinggalan dari berbagai sudut. Melayu hanya berjaya dari sudut rasuah, dadah, dedah, vendalisme, mat rempit, jenayah dan sebagainya. Bahkan gara-gara Melayu UMNO lah kini, beratus ribu anak-anak orang Melayu yang menggulung berbagai ijazah dan diploma kini menjadi pengemis di bumi sendiri. Ini semua adalah kerana kerakusan dan keangkuhan pemimpin Melayu yang menggunakan sepenuhnya kuasa untuk kepentingan peribadi sendiri tanpa memikirkan masalah rakyat terbanyak. Pemimpin Melayu UMNO jugalah yang telah mengarahkan surau dirobohkan dan masjid dibina untuk tujuan lawatan semata-mata seperti yang berlaku di Trengganu. Melayu UMNO lah yang tidak faham sejarah Melayu, malahan membuang sejarah perjuangan pahlawan Melayu terdahulu seperti Tok Gajah, Mat Kilau, Tok Janggut, Maharajalela, Abdul Rahman Limbong dan ramai lagi. Sebaliknya kini mereka dituduh sebagai penderhaka dan pengkhianat, hanya kerana mereka memperjuangkan hak-hak dan ketuanan Melayu. Inilah dia Melayu UMNO yang sememangnya mudah lupa.


Justeru itu, usahlah bermain politik murahan dengan menggunakan pula institusi raja untuk mengembalikan sokongan orang Melayu kepada UMNO. Walhal Melayu UMNO jugalah yang mengurangkan kuasa imuniti raja-raja serta bertindak menderhaka kepada raja baru-baru ini. Sikap angkuh dan sombong inilah yang menyebabkan rakyat menolak Melayu UMNO. Maka kini, mereka merasa terlalu takut jika UMNO terus terpinggir lantaran itu menjadikan agenda perpaduan Melayu sebagai landasan untuk mengembalikan kepercayaan orang Melayu terhadap UMNO. Mereka boleh membuat apa jua tuduhan demi survival politik sempit UMNO. Namun mereka juga harus sedar, dengan sikap keUMNOan yang ditunjukkan mereka inilah bakal menyebabkan rakyat terutaman bangsa lain semakin benci kepada UMNO. Maka sedarlah kita, UMNO sudah dimamah usia dan bakal hilang dimuka bumi ini. Lantaran itulah golongan ini terpaksa menggunakan apa jua cara dalam mengembalikan kegemilangan mereka.


Apa yang menarik dalam perhimpunan itu juga tiga NGO terbesar yang terlibat iaitu Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) dikatakan mempunyai hubungan yang begitu rapat dengan UMNO. Maka fahamlah kita semua NGO ini bertindak atas desakan kepimpinan UMNO sendiri yang kita yakin sudah ketandusan idea untuk terus berjuang.

No comments

Powered by Blogger.