Cadang PM, veteran bincang kuatkan Umno


GEORGETOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dicadang berbincang dengan veteran Umno bagi mencari formula memperkukuh parti.

Cadangan itu yang disuarakan Ketua Umno bahagian Bukit Gelugor, Datuk Omar Faudzar, turut berharap semua pihak berhenti tuding-menuding menyalahkan sesama sendiri.

Sambil meminta Abdullah tidak mengetepikan veteran Umno, beliau berkata, perbincangan itu penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat, khusus orang Melayu terhadap Umno.



Katanya, golongan veteran mempunyai banyak pengalaman politik dan memahami selok-belok sejarah serta ranjau dalam perjuangan parti itu.

"Sampai sekarang, kita tidak pernah berbincang mengenai kekalahan tapi asyik tuding-menuding sesama sendiri. Cuba kita berbincang dengan orang lebih lama daripada kita," katanya pada sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Omar berkata, bahagiannya juga akan mencadangkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) bagi membincang isu kuota pencalonan bagi pertandingan jawatan tertinggi parti dan mencari punca kekalahan pada pilihan raya lalu.

Ketika ini, katanya, kira-kira 30 peratus Ahli Jawatankuasa (AJK) bahagian itu mendesak supaya diadakan EGM dan ia memerlukan sokongan dua pertiga ahli jawatankuasa bahagian.

"Apapun, saya menyerahkan perkara itu kepada mereka termasuk tiga sayap parti iaitu Pemuda, Wanita dan Puteri," katanya.

Mengulas lanjut, Omar berkata, kepimpinan Umno perlu mendengar suara ahli akar umbi bagi membaiki prestasi parti.



Sambil menolak unsur sabotaj dalam Umno sebagai punca kekalahan, Omar menganggap taktik mempertahankan diri menyebabkan banyak tuduhan pembangkang terhadap Umno dan parti komponen BN, tidak ditangani dengan baik.

"Kita terlalu defensif. Kita tidak pernah pun menyerang pembangkang. Ia menyebabkan semua fakta yang disogok pembangkang diterima rakyat, khususnya generasi muda," katanya.

No comments

Powered by Blogger.