Kakitangan Kerajaan Jangan Cakap Tentang Politik

Oleh khairulfaizi

"Pak Lah agaknya dah tahan dengan 'cakap-cakap' pegawai kerajaan yang ada di seluruh negara terutamanya yang berada di Putrajaya yang sudah berani berbincang tentang masalah politik yang melanda negara terutamanya UMNO/BN.

Masuk pejabat, keluar pejabat kakitangan kerajaan bincang soal masalah politik negara, kedudukan Pak Lah dan kerajaan yang semakin goyah ketika ini. Kakitangan kerajaan di pejabat Pak Lah pun agaknya lebih banyak bercakap tentang politik negara yang menyebabkan Pak Lah lemas dan tertekan.



Agaknya sebab itulah Pak Lah minta supaya kakitangan kerajaan jangan masuk campur tentang politik tetapi laksanakan sahaja arahan yang diberikan. Itulah nasib pegawai kerajaan dibawah kepimpinan UMNO/BN yang dikongkong minda mereka daripada mengambil tahu masalah yang berlaku disekeliling mereka khususnya masalah politik.

Boleh Pak Lah, boleh...kakitangan kerajaan boleh ditegah daripada mengambil tahu tentang politik tetapi jangan pula pegawai kerajaan selepas ini diberikan taklimat politik lebih-lebih lagi politik BN yang cuba ditanam dalam minda mereka.

Pada umumnya perkataan 'politik' adalah perkataan yang paling rapat dengan pemerintahan. Pendekatan kajian sains politik sebenarnya telah berikan tumpuan yang hampir menyeluruh kepada persoalan kerajaan, perundangan dan institusi-institusi rasmi pemerintahan.

Kalau kira rujuk kepada kamus Oxford, 'politik' ditakrifkan sebagai Ilmu dan Kerajaan; ilmu yang berkait dengan bentuk organisasi dan pentadbiran negara atau sebahagian darinya dan dengan peraturan perhubungannya dengan negara-negara lain. Tidak sepatutnya tindakan menyekat kakitangan kerajaan mengambil tahu tentang politik sekiranya Pak Lah memahami apa itu politik.

Politik dan kerajaan tidak dapat dipisahkan seperti mana irama dan lagu yang perlu seiring. Saya percaya yang menyebabkan Pak Lah menyekat kakitangan kerajaan mengambil tahu tentang politik bukannya kerana apa cuma Pak Lah takut apabila kakitangan kerajaan ini bila mengambil tahu tentang politik mereka akan dapati betapa lemah dan semakin lemah Pak Lah dan UMNO/BN ketika ini.

Khairul Faizi Bin Ahmad Kamil
http://minda-kembara.blogspot.com/
14 April 2008, 12.59 tengahari

---------------------------------------------------------------------------
PM mahu k'tangan laksana arahan k'jaan - Malaysiakini
Apr 14, 08 11:35am

Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini berkata kakitangan awam hendaklah menyerahkan soal politik kepada orang politik selesaikan. Perdana Menteri meminta kakitangan awam menjalankan tugas sebagai penjawat awam dengan melaksanakan arahan kerajaan dari semasa ke semasa.

"Soal politik biar orang politik selesaikan. Peranan pegawai kerajaan laksana arahan dari semasa ke semasa," katanya Abdullah yang juga Menteri Kewangan pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini.

Bagaimanapun, menurut laproan Bernama, beliau tidak menghuraikan dengan lebih lanjut maksud "soal politik biar orang politik selesaikan." Abdullah mengulangi kenyataannya tidak mahu kementerian itu menjadi penyebab sesuatu projek atau dasar kerajaan tidak dapat dilaksanakan akibat kelewatan memproses permintaan agensi pelaksana.

"Kita tak nak permintaan agensi pelaksana tersangkut di Perbendaharaan," katanya.

Agensi pelaksana Abdullah berkata, segala permohonan yang dikemukakan kepada kementerian itu perlu diberi keutamaan dan perhatian segera supaya agensi pelaksana dapat melaksanakan kerja mereka dengan segera.

Ini termasuk soal keputusan tender yang dikemukakan oleh kementerian dan agensi lain, katanya.

Hal ini penting lebih-lebih lagi tempoh untuk melaksanakan Rancangan Malaysia Kesembilan dan kajian pertengahan penggal rancangan itu sedang dibuat, kata Abdullah.

"Kukuhkan tekad supaya apa yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya.Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
"

No comments

Powered by Blogger.