MB Perak akan bertemu Perdana Menteri esok
Ekmal Yusof
Thu | Apr 17, 08 | 11:56:13 am MYT
IPOH, 17 April (Hrkh) - Menteri Besar Perak, Mohammad Nizar Jamaluddin akan bertemu dan berbincang dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya esok, 18 April.
Pertemuan tersebut adalah untuk merapatkan hubungan di antara pemimpin kerajaan Pakatan Rakyat Perak dengan Perdana Menteri daripada parti Umno-BN yang memerintah Malaysia.
Beliau menyatakan demikian dalam satu sidang akhbar petang semalam selepas mempengerusikan mesyuarat exco di sini.
"Walaupun program lawatan tersebut agak ganjil pada pandangan umum tetapi demi kepentingan rakyat dan negara maka ia dianggap penting dan perlu dilakukan," katanya.
"Dalam perjumpaan itu nanti saya akan menggunakan sepenuhnya masa yang diberikan oleh Perdana Menteri untuk menceritakan berkenaan dengan kerjasama dua hala supaya kita dapat menunjukkan keakraban di antara kerajaan Pakatan Rakyat Perak dengan Kerajaan Persekutuan dalam," katanya lagi.
Katanya, untuk itu beliau akan menggunakan ruang yang ada supaya kerjasama yang akan terjalin itu akan dapat memastikan kerajaan Perak hari ini dapat meneruskan perlaksanaan dasar-dasar positif yang telah direncanakan pada peringkat Persekutuan di mana kita akan bersetuju untuk diteruskan projek berkenaan.
"Sama ada dasar kewangannya, mahupun pembangunan ekonomi, pendidikan dan sosial, ia akan diterima untuk diteruskan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat termasuk untuk menarik para pelabur-pelabur ke negeri ini.
"Ia termasuk projek mega NCER (North Economic Region), kita akan berikan kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan apa saja program jika ia bertepatan dan menguntungkan kehidupan semua rakyat di sini," katanya. - mns
No comments
Post a Comment