PAS mengalu-alukan langkah kerajaan mengislah badan kehakiman


PAS mengalu-alukan perubahan sikap pihak kerajaan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam semasa berucap dalam majlis Makan Malam Majlis Peguam Malaysia di Kuala Lumpur. Usaha pihak kerajaan untuk mengislah dan mereformasi institusi kehakiman serta memperbetulkan kelemahan dan kesilapan yang lampau sangat disambut baik.

PAS mengharap melalui usaha-usaha mereformasi institusi kehakiman ini kelak akan mengembalikan kewibawaan badan berkenaan serta memastikan badan ini nanti dipimpin dan diketuai oleh mereka yang benar-benar ikhlas dan berkelayakan menjalan dan mempertahankan keadilan yang sebenar.

Dalam pada itu PAS juga berharap agar perubahan juga turut akan berlaku dalam aspek-aspek lain termasuklah sistem pentadbiran kerajaan, sistem demokrasi, media dan lain-lain yang semuanya penting dalam menjamin sebuah negara yang benar-benar merdeka dan demokratik. PAS akan terus memberikan sokongan terhadap apa sahaja usaha dan langkah baik seumpama ini.

Sementara itu PAS juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abas dan rakan-rakannya yang telah dikembalikan kewibawaan mereka sebagai tokoh-tokoh kehakiman negara apabila kerajaan bersetuju membayar ex-gratia kepada keenam-enam mereka kerana dipecat secara zalim pada tahun 1988 dahulu.

Jasa dan sumbangan mereka ini sesungguhnya akan terpahat dalam sejarah kehakiman negara dan pasti akan menjadi contoh kepada semua rakyat khasnya para hakim, sebagai bukti betapa kebenaran dan keadilan perlu dipertahankan dalam apa keadaan sekalipun.

PAS merasakan pembayaran ex-gratia ini adalah isyarat betapa pihak kerajaan memikul beban kesalahan atas insiden pemecatan yang merupakan detik hitam dalam sejarah negara itu. PAS merasakan pihak kerajaan sepatutnya perlu bersedia memohon maaf secara terbuka kepada keenam-enam negarawan ini malahan Islam mengajar umatnya agar bersedia mengaku kesalahan dan memohon maaf apabila melakukan kesalahan. Sesungguhnya Allah swt memberikan ganjaran kepada mereka yang bertaubat dan mengakui kesilapan masing-masing

18 April, 2008

Dato' Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang
Presiden
Parti Islam Se-Malaysia (PAS)

No comments

Powered by Blogger.