Pemuda: Jangan permainkan ahli lagi


A Kadir Jasin
Sat | Apr 05, 08 | 8:44:35 am MYT
Kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru bagi merebut jawatan Ketua Pemuda Umno antara Khairy Jamaluddin, Dr Mohd Khir Toyo dan Mukhriz Mahathir pada pemilihan Umno Disember ini tidak dapat dinafikan.

Sehingga kini, Dr Khir dan Mukhriz telah menawarkan diri mereka untuk dicalonkan. Hanya Khairy yang belum menyatakan pendirian.

Penawaran diri oleh Dr Khir dan Mukhriz berlaku sebaik sahaja Ketua Pemuda Hishammuddin Hussein mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan itu.

Menteri Pelajaran itu belum menyatakan rancangannya, tetapi besar kemungkinan dia akan menawarkan diri sebagai calon naib presiden.

Dengan menyatakan yang dia tidak menyokong mana-mana calon, Hishammuddin secara tidak langsung menjauhkan diri daripada Khairy yang sebelum ini dilihat sebagai rakan seperjuangannya ? running mate.

Tanggapan ini tercetus ekoran kenyataan Presiden Umno dan Perdana Menteri Abdullah Ahmad Badawi bahawa bukan beliau yang mendalangi kemenangan tanpa bertanding Khairy sebagai Naib Ketua Pemuda tetapi Hishammuddin. Katanya, Hishammuddin yang mahu Khairy menjadi Naib Ketua Pemuda.

Sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru antara tiga watak itu, masing-masing calon mempunyai faktor yang memihak dan yang menyanggah mereka.

Faktor yang memihak kepada Khairy dan Mukhriz adalah mereka sudah pun mempunyai tempat di dalam kepemimpinan Pemuda. Khairy adalah Naib Ketua dan Mukhriz, Ahli Majlis Kerja.

Dalam hierarki pergerakan, Khairy lebih kanan. Tetapi popularitinya tidak diuji kerana dia tidak dicabar untuk jawatan Naib Ketua. Hishammuddin juga tidak dicabar.

Pada pemilihan Umno tahun 2004, Mukhriz menang undi terbanyak di dalam pertandingan Majlis Kerja Pemuda setelah disabotaj dan gagal mendapat tempat di dalam pergerakan Pemuda Bahagian Kubang Pasu.

Kemenangan besar itu dilihat sebagai reaksi kepada sabotaj yang didakwa didalangi oleh pembesar-pembesar Umno Kubang Pasu, khasnya Ketua Bahagian Johari Baharom.

Kalau pemilihan Umno kali ini bertemakan perubahan, Mukhriz sekali lagi mendahului kerana dia adalah antara segelintir kecil penggiat Umno yang berani bersuara menuntut perubahan selepas pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Dia telah menulis surat kepada Abdullah menggesa beliau meletakkan jawatan kerana prestasi hambar Umno dan Barisan Nasional.

Mukhriz mendapat kemenangan moral apabila Pergerakan Pemuda tidak mengenakan sebarang tindakan ke atasnya walaupun pada awalnya dia dikecam hebat oleh Hishammuddin dan beberapa pembesar pergerakan itu.

Sebaliknya, Khairy mungkin memikul beban kerana menyokong status quo, iaitu mengekalkan Abdullah yang berupa bapa mentuanya. Sama ada benar atau hanya tanggapan, Khairy turut disebut sebagai salah satu sebab pengundi menolak Umno dan BN.

Khairy dan Mukhriz kini sama-sama Ahli Parlimen. Dalam pilihan raya baru lalu, Khairy menang di kerusi selamat Rembau dan Mukhriz menang di kerusi sukar Jerlun. Khairy melawan calon PKR dan Mukhriz ditentang oleh calon Pas.

Kedudukan Khairy sebagai menantu Perdana Menteri dan Mukhriz sebagai anak mantan Perdana Menteri sedikit sebanyak akan mempengaruhi psikologi perwakilan.

Dr Khir pula adalah Ahli Majlis Tertinggi yang mendapat undi terbanyak pada pemilihan parti tahun 2004 dan antara yang paling awal disebut-sebut akan bertanding jawatan Ketua Pemuda. Bagaimanapun, beliau mungkin dibebankan oleh hakikat bahawa sebagai Menteri Besar beliau gagal mempertahankan Selangor daripada jatuh ke tangan pembangkang. Inilah kali pertama dalam sejarah Selangor dikuasai pembangkang.

Sejak kekalahan itu, Dr Khir telah mengubah pendiriannya menjadi seorang penggiat yang kritikal terhadap kepemimpinan parti dengan memulakan blognya sendiri dan berdepan dengan ahli Umno.

Di dalam forum anjuran KMU.Net pada hari Selasa lalu di Petaling Jaya, Dr Khir yang menjadi salah seorang ahli panel telah dikritik dengan teruk oleh hadirin.

Serentak itu, ramai yang menghargai kesediaan beliau berada di barisan hadapan untuk mendengar keluh kesah ahli parti dan berinteraksi dengan mereka.

Dalam konteks pemilihan keseluruhannya, perkembangan dalam pergerakan Pemuda pasti menjadi petunjuk dan galakan kepada pergerakan-pergerakan lain dalam Umno.

Ia juga akan mengukuhkan penawaran diri oleh bekas Naib Presiden Tengku Razaleigh Hamzah untuk bertanding jawatan Presiden. Penawaran diri untuk bertanding jawatan-jawatan tertinggi yang lain pasti akan menyusuli.

Nama-nama seperti Muhyiddin yang pada akhir-akhir ini agak lantang menyuarakan pendapat dan Rais Yatim yang terkenal dengan daya inteleknya turut disebut sebagai bakal-bakal calon yang berpotensi.

Namun adalah agak terlalu awal membuat penilaian sahih dan mutakhir. Cuma perlu diingatkan kepada calon-calon pemilihan parti agar tidak mengulangi tabiat buruk bermain wayang kulit dengan ahli dan perwakilan.

Kalau sudah menawarkan diri dan mendapat pencalonan jangan pula mengundurkan diri dan memberi kemenangan tanpa bertanding kepada lawan, apatah lagi dengan janji-janji dan persetujuan yang tersembunyi.

Setelah teruk dihukum oleh ahli dan penyokong sendiri dalam pilihan raya, adalah kesilapan dan dosa besar bagi para pembesar Umno terus memperkotak-katikkan mereka.

Mereka tidak akur membuta tuli lagi dan mungkin tidak akan kembali ke pangkuan Umno jika mesej mereka terus dipermainkan oleh para pembesar parti yang bebal dan tumpul otak. - kadirjasin.blogspot

No comments

Powered by Blogger.