Peniaga mungkin naikkan harga nasi

JOHOR BAHRU 16 April - Beberapa pengusaha kedai makan tidak menolak kemungkinan menaikkan harga sepinggan nasi jika keadaan semakin meruncing berikutan kenaikan harga beras sekarang.

Pada masa ini sepinggan nasi kosong dijual pada harga RM1 dan kemungkinan para peniaga terpaksa menaikkannya kepada RM1.10 atau RM1.20.

Kenaikan harga tersebut dijangka terpaksa dilakukan jika pihak berkuasa tidak memantau kenaikan harga beras antara 10 hingga 20 peratus sejak Ahad lalu.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa kedai makan hari ini mendapati peniaga masih lagi menjual nasi putih pada harga lama, namun tidak menolak kemungkinan menaikkan harga jika masalah tersebut tidak diselesaikan segera.

Pemilik Restoran Rina, Nordin Masuri, 43, yang menjual nasi campur memberitahu, dia menggunakan beras Siam dan kenaikan yang berlaku kini bukan sahaja membebankan pengguna, malah golongan peniaga sepertinya.

"Seminggu saya beli beras sebanyak 100 kilogram dengan harga RM160. Bila harga beras naik, saya perlu keluar belanja lebih tetapi setakat ini saya masih menjual nasi putih dengan harga biasa.

"Sebenarnya peniaga kedai makan macam saya ini tersepit. Kami beli mahal dan kalau jual mahal, nanti pelanggan lari. Tidak dinafikan harga sepinggan nasi putih boleh mencecah RM1.20 sedikit masa lagi," katanya yang berniaga di Kulai di sini.

Sementara itu, Hamidah Abd. Rahman, 41, dari Bandar Baru Uda berkata, walaupun harga beras naik sejak Ahad lalu, peniaga tidak akan menaikkan harga makanan sesuka hati kerana khuatir ia boleh menjejaskan perniagaan.

"Peniaga nasi campur bukan sahaja terpaksa hadapi risiko kenaikan harga beras, tapi bahan mentah lain pun naik harga.

"Untuk berniaga, saya tidak akan guna beras kualiti rendah kerana saya perlu menjaga imej. Jadi bila beras naik, peniaga seperti saya memang tertekan dan kami juga perlu untung," kata pengusaha Restoran Sweet Steak 17 itu.

Sehubungan itu, Hamidah tidak terkejut jika pada masa akan datang, para peniaga sepakat menaikkan harga sepinggan nasi kosong kepada RM1.20.

Pengusaha Pasar Raya Jimat di Bandar Baru Uda, Ab. Rahman Kassim, 56, berharap sangat agar pihak berkuasa memantau kenaikan beras.

Dia yang telah berniaga sejak 20 tahun itu berkata, pada masa ini dia masih menjual makanan pada harga lama.

"Selalunya saya ambil beras 600 kampit seberat lima kilogram dan 10 kilogram untuk sebulan. Bila dapat tahu harga beras akan naik, saya tambah 20 peratus.more....

No comments

Powered by Blogger.