Presiden PAS ucap terima kasih kepada semua pihak yang prihatin

MARANG, 17 April (Hrkh) ? Presiden PAS, Dato? Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberikan perhatian kepadanya sewaktu mendapat rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu baru-baru ini.

Beliau yang mula dirawat di HSNZ sejak 9 April lalu mengucapkan terima kasih khususnya kepada pihak hospital yang telah memberikan rawatan dan kepakaran sepenuhnya sehingga angin ahmar ringan yang dihidapi beransur pulih.

Ahli Parlimen Marang itu menambah, beliau akan mematuhi nasihat doktor supaya berehat secukupnya agar kembali pulih untuk menjalankan tugas seperti biasa.

"Saya mestilah mematuhi nasihat itu supaya berehat," ujarnya pada sidang media yang diadakan di kediamannya di Kampung Rusila, petang semalam.

Beliau yang keluar dari HSNZ sejak semalam turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan, istana, rakyat, media, badan bukan kerajaan (NGO) dalam dan luar negara yang memberikan perhatian terhadap kesihatannya.

Katanya, sewaktu berada di HSNZ selama seminggu itu, beliau mengikuti perkembangan politik yang berlaku dalam dan luar negara melalui media termasuk internet.

Tambahnya, disebabkan masalah kesihatan yang dialami itu belum pulih sepenuhnya, beliau terus mendapat rawatan dengan mengambil ubat dan membuat rujukan dengan pihak hospital.

Bagaimanapun, beliau yang juga Adun Ru Rendang berkata, tidak timbul soal mencari pengganti buat masa ini kerana aktiviti PAS terus berjalan seperti biasa sementara tugasnya dilaksanakan oleh pemimpin PAS yang lain termasuk timbalan presiden dan naib-naib presiden. - mr

No comments

Powered by Blogger.