Tiada unsur riba dalam PTPTN...

aku tak tau la apabila orang yang tak pandai ilmu agama..tetapi nak komen la jugak...kesian



MELAKA: Kementerian Pengajian Tinggi hari ini menegaskan bahawa tidak wujud sebarang unsur riba dalam pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron berkata apa yang dikenakan PTPTN hanya caj perkhidmatan yang bertujuan memastikan kesinambungan tabung itu dalam usaha memberi pinjaman kepada pelajar.

"Soal riba dalam pinjaman PTPTN tidak seharusnya wujud kerana apa yang dikenakan hanyalah caj perkhidmatan dan bukannya berbentuk faedah atau bunga atas pinjaman yang dibuat pelajar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Forum Malaysia Technical Universities Network Bersama Industri 2008, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, bahawa satu kajian terperinci perlu dibuat bagi menjelaskan status caj perkhidmatan pinjaman PTPTN sama ada ia menepati kehendak hukum syarak atau riba.

Idris berkata tidak ada sebarang unsur faedah atau riba dalam PTPTN kerana pihaknya faham sensitiviti rakyat mengenai perkara berkenaan.

Beliau berkata komitmen kerajaan dalam menyediakan kemudahan pinjaman melalui PTPTN adalah jelas apabila semua caj kewangan yang dikenakan syarikat yang membiayai tabung itu dibayar sepenuhnya oleh kerajaan dan tidak diturunkan kepada peminjam.

"Kesinambungan PTPTN adalah penting memandangkan ia dapat menyediakan pinjaman kepada pelajar untuk meneruskan pelajaran mereka ke peringkat yang lebih tinggi," katanya.

Katanya sekiranya ada peminjam yang tidak membayar balik pinjaman mereka, maka ini samalah seperti menganiaya adik atau anak mereka sendiri kerana ia mungkin menyebabkan tabung itu tidak dapat mengeluarkan pinjaman kelak.

Beliau berkata Kementerian Pengajian Tinggi akan mengkaji semula caj perkhidmatan yang dikenakan kini supaya memberi keselesaan kepada peminjam.

Sementara itu, Idris meminta universiti teknikal di negara ini mengenalpasti semua keperluan dan kehendak industri bagi membolehkan mereka menawarkan graduan yang bermutu mengikut kemahuan pasaran.

Beliau berkata langkah itu penting bagi memastikan graduan dapat terus berkhidmat apabila mereka tamat belajar dan diambil berkerja oleh majikan.

Katanya sekiranya mereka tidak menepati apa yang pihak industri perlukan, maka akan menjadi satu pembaziran masa dan kos untuk pihak industri melatih graduan berkenaan.

Pihak universiti perlu mengamalkan konsep 'perkhidmatan selepas jualan" di mana mereka perlu mendapatkan maklum balas daripada pihak industri mengenai graduan mereka yang telah memulakan tugas, katanya.

Katanya tenaga kerja yang memenuhi kehendak pasaran adalah penting bagi menggalakkan pelabur terus melabur di Malaysia dan tidak mencari negara lain untuk mendapatkan sumber tenaga pakar.

Forum sehari itu adalah bertujuan menjenamakan Malaysia Technical Universities Network, sebagai sebuah gagasan institut pengajian tinggi awam terfokus yang kukuh, berintegriti dan berkualiti dalan semua aspek.

Universiti yang menyertai forum itu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UNiMAP). BERNAMA

1 comment

Yanaam said...

Masalahnya, siapakah panel syariah yang telah meluluskan status halal tersebut ? Ada sudah ada majlis fatwa yang telah membincangkannya ?

Soal halal haram ni, jangan kita memandai-mandai Datuk. Nak kena jawab di akhirat nanti.

Powered by Blogger.