Usaha Abdullah Memulih UMNO Bagai Tikus Membaiki Labu

Oleh tunasharapan1

"
Sejak 24 jam lalu, setelah diasak berbagai pihak terutamanya oleh Tun Mahathir agar Abdullah memikul tanggungjawab dengan melepaskan jawatannya ekoran daripada prestasi buruk BN dalam PRU ke-12 lalu, Perdana Menteri Abdullah Haji Ahmad Badawi mula bertindak dengan mengecam Dr Mahathir bahawa beliaulah yang membantu merosakkan UMNO hingga kalah teruk dalam pilihanraya umum bulan lalu.

Selain membidas Tun Mahathir dengan dakwaan bahawa kritikan berterusan bekas PM itu terhadap kepimpinannya telah mengakibatkan parti dan kerajaan BN menjadi lemah, Abdullah juga mendedahkan bahawa 'terlepasnya' Negeri Kedah dan Perak ke tangan pembangkang adalah disebabkan oleh perbuatan sabotaj ahli-ahli UMNO sendiri.

Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO yang turut dihadiri anggota Majlis Tertinggi (MT) dan veteran parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam adalah merupakan usaha awal Perdana Menteri Abdullah Haji Ahmad Badawi untuk memulihkan imej UMNO dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap Barisan Nasional.

Menurut Perdana Menteri, wujud perbuatan pemimpin UMNO 'menggelapkan' wang kempen pilihanraya sehingga menyebabkan calon parti itu kalah di 14 kerusi Parlimen dan 22 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak dan Kedah yang sebelum ini diisytiharkan kawasan putih. Abdullah berkata kalau tidak kerana perbuatan sabotaj, Kedah dan Perak tidak akan terlepas ke tangan pembangkang.

Nampaknya usaha Abdullah untuk menyakinkah ahli parti dan rakyat Malaysia amnya terhadap kewibawaan BN seperti sudah kehilangan arah. Tidak kedengaran satupun dari penerangan 'post mortem' diberikan yang menjurus kepada kesilapan dirinya ataupun kelemahan pentadbirannya yang begitu lesu dimana kuasa percaturan kewangan negara seperti diurus oleh orang lain yang rapat dengan kaum keluarganya.

Abdullah cuba untuk memulihkan integriti UMNO dan kepercayaan rakyat terhadap BN, tetapi apa yang dilakukan dalam majlis penerangan semalam adalah lebih kepada kenyataan-kenyataan yang menelanjangi keburukan dan pekung yang telah lama berkulat di dada UMNO. Dengan membongkarkan tindakan Tun Mahathir yang cuba melakukan sekatan media terhadap Tun Hussien dizamannya dan juga Operasi Lalang bukanlah memulihkan kepercayaan rakyat terhadap UMNO malah mendedahkan kepada umum bahawa dalam UMNO sentiasa wujud pengkhianatan. Membongkarkan sikap sabotaj ahli-ahli UMNO yang menggelapkan wang juga bukanlah satu tindakan yang bijak malah dengan sendirinya menunjukkan bahawa Abdullah bukan sahaja gagal memberikan kepercayaan terhadap ahli-ahli diakar umbinya malah memberitahu kita bahawa beliau sebagai presiden parti gagal mendidik ahli-ahli UMNO. Bukankah Abdullah terlalu berbangga dengan Islam Hadharinya, - apakah kekayaan hadhari yang berada dalam Islam tajaannya itu gagal mendidik sifat insan ahli-ahli UMNO untuk taat kepada parti dan pemimpin.


Abdullah juga menuduh Tengku Razaleigh yang menyebabkan Kelantan jatuh ke tangan PAS pada pilihanraya umum tahun 1990. Abdullah barangkali sudah lupa bahawa ketika berlaku krisis UMNO tahun 1987 dulu, beliau berada dalam kem Tengku Razaleigh yang menentang Tun Mahathir.

Usaha Abdullah untuk memulihkan UMNO, parti dan Kerajaan BN di hati rakyat tak ubah seperti tikus membaiki labu. Bukan untuk menyelesaikan segala kelemahan yang wujud dalam pentadbirannya bahkan lebih mendedahkan lagi segala kepincangan yang selama ini membarah dalam jasad UMNO dan Barisan Nasional.

Beberapa hari sebelum berlansungnya Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO semalam, telahpun tersebar di internet satu petisyen dari ahli-ahli UMNO sendiri yang menjelaskan secara khusus sebab-sebab kekelahan teruk BN dalam pilihanraya umum ke-12 sehingga gagal memperolehi majoriti 2/3 di parlimen.

PAUTAN

Apakah Abdulah tidak meneliti petisyen tersebut atau tidak mahu mengakui kelemahan-kelemahan yang dinyatakan sendiri oleh ahli-ahli partinya. Ataukah Abdullah masih leka sikap bodoh sombongnya " Saya Masih Perdana Menteri".

No comments

Powered by Blogger.