2 ditahan rakam gambar bogel rakan sembang Internet

PETALING JAYA 7 April – Polis menahan dua lelaki yang disyaki terlibat dalam kegiatan memeras ugut mengedarkan gambar bogel 40 mangsa yang terdiri daripada rakan bual laman sembang Internet.

Kedua-dua lelaki itu dikatakan mengugut mahu mengedarkan gambar-gambar bogel itu jika mangsa tidak menyerahkan wang antara RM1,000 dan RM2,000 setiap seorang.

Gambar-gambar mangsa dirakamkan menggunakan kamera web yang dipasang ketika suspek menyamar sebagai perempuan dan memujuk rayu mangsa menerusi suara-suara ghairah ‘perempuan’ supaya melakukan seks dalam talian.

Ketika mangsa-mangsa terbabit benar-benar ghairah kerana menyangka rakan sembang itu adalah perempuan, suspek akan meminta mereka menanggalkan pakaian masing-masing sebelum aksi-aksi mangsa dirakam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed berkata, kedua-dua suspek lelaki yang berusia 27 dan 29 tahun itu ditahan di Kota Kinabalu pada awal pagi 1 April lalu.

“Berdasarkan laporan yang diterima, kedua-dua suspek memperdaya lebih 40 mangsa di seluruh negara dan meraih pendapatan hampir RM30,000 sepanjang terlibat dengan kegiatan memeras ugut itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini hari ini.

Menurut Arjunaidi, modus operandi kedua-dua lelaki itu menggunakan nama samaran wanita bagi memancing mangsa yang terdiri daripada golongan lelaki di Internet.

“Suspek kemudian menghubungi mangsa menggunakan suara perempuan bagi membangkitkan keghairahan sehingga mangsa terpedaya lalu menanggalkan pakaian.

“Kemudian, kedua-dua suspek itu bertindak merakam aksi ‘panas’ mangsa sebelum memeras ugut dengan meminta wang antara RM1,000 hingga RM2,000,” katanya.

Tambah Arjunaidi, suspek akan mengugut mangsa untuk menyebarkan rakaman itu di Internet sekiranya tuntutan mendapatkan wang tidak dipenuhi.

Jelasnya, mangsa yang bimbang dengan ugutan itu bertindak memasukkan sejumlah wang diminta ke dalam akaun suspek.

Katanya, salah seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah manakala seorang lagi dikehendaki berkaitan kes ugut.

“Polis juga masih menyiasat kemungkinan penglibatan individu lain termasuk wanita dalam kegiatan itu,” katanya.

No comments

Powered by Blogger.