Anak Badawi KILAS, Mahathir PENGKHIANAT?


By HANAFIAH MAN


PERDANA Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang selama ini mengambil sikap berdiam diri di atas serangan yang dibuat oleh bekas bosnya Tun Dr. Mahathir Mohamad hari Ahad pertama kali membuat kejutan dengan ‘menyerang’ balik bekas Perdana Menteri itu.

Katanya, beliau yang dikatakan terlalu berkuasa sehingga ahli kabinet dan Ahli Majlis Tertinggi UMNO tidak berani bersuara tetapi pada hakikatnya di zaman Dr. Mahathir pelbagai sekatan dan arahan dibuat olehnya.

“Kononnya zaman saya tidak ada kebebasan semua orang takut tapi depa kata saya lembik... tapi orang takut kat si lembik seolah-olah dalam kabinet bodoh belaka... Khairy seorang yang pandai yang menentukan segala-galanya.

“Tuduhan-tuduhan yang tidak ada batas… hentam begitu sahaja. Apakah pada masa dulu tidak ada sekatan-sekatan tertentu… bila Dr. Mahahtir mengambil alih jawatan dari Tun Hussein saya tahu reporter semua dipanggil jangan beri berita kepada Tun Hussein, jangan tunjuk gambar Tun Hussein. Operasi Lalang siapa yang bertanggungjawab saya tahu bukan saya tak tahu," katanya pada sidang media selepas majlis Penerangan Presiden di PWTC.

Menjawab satu soalan sama ada beliau akan membuka fail dalam beberapa kes yang dibangkitkan berkaitan Dr. Mahathir semasa berkuasa dahulu, Abdullah berkata, beliau bukan jenis yang akan membuka fail tentang seseorang tetapi menyerahkan kepada agensi yang terbabit untuk mengambil tindakan sekiranya didapati ada kesalahan yang dilakukan.

Pengerusi DAP Karpal Singh dalam satu kenyataan Jumaat lalu mendesak Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan siasatan ke atas laporan yang dibuat terhadap Dr Mahathir kerana dakwaan campur tangan dalam pentadbiran badan kehakiman negara.

Menurutnya semasa perbicaraan kes bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jun 2000, bekas Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR) Datuk Shafee Yahya ketika memberikan keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ariffin Jaka berkata Dr Mahathir telah mengarahkan beliau menutup satu fail dan beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Dr Mahathir berhubung dakwaan itu.

Mengenai tuduhan Dr. Mahathir yang kononnya Abdullah menguasai media dan ‘terlalu berkuasa’ sehingga tidak ada pihak yang berani mengkritiknya beliau bertanya adakah bekas Perdana Menteri itu beranggapan semua ahli kabinet bodoh sehingga takut dan tunduk kepada beliau.

Katanya, semasa zaman Dr. Mahahtir ada arahan agar berita orang tertentu jangan disiar dan ini arahan-arahan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa.

Namun jelasnya, kini ahli-ahli UMNO sudah berani keluar dan bercakap memberi pelbagai kisah dan peristiwa yang berlaku masa dulu semasa Dr. Mahathir masih berkuasa.

Abdullah hairan kerana semasa Barisan Nasional (BN) menang besar pada tahun 2004, Dr. Mahathir berkata BN terlalu kuat dan ia perlu diimbangi dengan pembangkang.

“Bila pembangkang menang pada masa ini saya ingat dia nak celebrate tapi hentam kita balik,” ujarnya.

Apa yang jelas menurut beliau, rakyat tidak dapat menerima UMNO bersengketa pada masa ini.

Mengenai kritikan yang dibuat oleh Tengku Razaleigh Hamzah pula Abdullah memberitahu beliau dimaklumkan bahawa Tengku Razaleigh tidak membantu BN Kelantan pada pilihan raya umum 8 Mac lalu.

"Ku Li perlu lihat pada diri, dia yang sebab kita kalah dan Kelantan jatuh ke tangan PAS. Selama PAS menguasai Kelantan ada sekali beliau cuba bawa balik supaya BN menjadi kerajaan, itu pun gagal juga," katanya.

Kelantan jatuh ke tangan PAS sejak 1990 menerusi kerjasamanya dengan parti Semangat 46 yang diterajui Tengku Razaleigh ketika itu.

Pada pilihan raya 2004, BN hampir merampas kembali negeri itu apabila memenangi 21 daripada 45 kerusi dan satu kerusi lagi pada pilihan raya kecil Pengkalan Pasir pada 2005.

Mengenai Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri berkata beliau tidak ada masalah dengan timbalannya.

''Bukan macam Anwar yang melihat dirinya sebagai pemimpin alternatif kepada Dr. Mahathir.

''Sekarang (Anwar) anggap dirinya leader in waiting, dia boleh kata begitu tetapi pada masa ini sayalah Perdana Menteri,'' katanya.

Berhubung dakwaan para pemimpin PKR adanya kalangan ahli parlimen BN nak melompat parti Abdullah berkata mereka boleh cakap apa saja.

Menurutnya perbuatan melompat parti adalah satu hal yang tidak bermaruah kerana mengkhianati amanah pengundi.

Ditanya apakah kenyataannya yang pertama kali menyerang balik Dr Mahathir bererti beliau sudah set untuk berdepan head on dengan bekas Perdana Menteri itu mula sekarang, Abdullah menjawab beliau akan bercakap tentang apa yang perlu dikatakan.

Pada sidang akhbar itu Perdana Menteri juga mendakwa 14 kerusi Parlimen dan 22 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini diisytiharkan kawasan putih dan dijamin menang tetapi tewas kerana perbuatan sabotaj oleh ahli UMNO sendiri.

Katanya jika tidak kerana faktor sabotaj BN tidak akan hilang majoriti dua pertiga dan dua buah negeri iaitu Perak dan Kedah.

Beliau enggan menyatakan secara terperinci perbuatan itu.

Namun katanya laporan akan dibentangkan kepada Jawatankuasa Disiplin agar mereka yang terlibat dikenakan tindakan.

Sementara itu, Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd Taib ketika diminta mengulas mengenai perkara yang sama berkata, kritikan berterusan Dr. Mahathir boleh dianggap sebagai perbuatan mensabotaj parti. - Agendadaily

No comments

Powered by Blogger.