Boro pastikan saingan EPL terus berlanjutan

LONDON: Dua jaringan Alfonso Alves menghancurkan impian Manchester United untuk mengekalkan jurang lima mata di puncak Liga Perdana Inggeris selepas terikat 2-2 dengan Middlesbrough, semalam.

United berjaya di depan menerusi jaringan Cristiano Ronaldo yang menambah koleksi jaringan liga ke-27 baginya, pada minit ke-10, namun semangat juang Boro yang masih belum selamat daripada zon penyingkiran, menyaksikan Alves menjaringkan satu gol pada setiap babak.

Wayne Rooney muncul sebagai penyelamat buat Manchester daripada diaibkan menerusi jaringannya pada minit ke-74 tetapi kebangkitan mereka di stadium yang dilanda ribut salji, gagal menemui sentuhan kemenangan.



Middlesbrough, yang terkenal dengan reputasi menyimpan persembahan terbaik sehingga berdepan dengan gergasi liga, mempamerkan karektor yang menakjubkan untuk bangkit dan mendahului permainan.

Alves pemain yang berasal dari Brazil dan dibeli Boro dengan bayaran £12 juta (RM72 juta) berjaya mengucar-kacirkan benteng United dan menjaringkan gol pada minit ke-35 dan jaringan keduanya terhasil pada minit ke-56.

United dinafikan sepakan penalti sebelum separuh masa tamat apabila pemain pertahanan Boro, Andrew Taylor menjatuhkan Ronaldo di kotak penalti.

Bagaimanapun, anak buah Alex Ferguson mempamerkan semangat melawan mereka dengan melancarkan gerakan bertali arus ke kubu lawan sebelum Rooney menghasilkan jaringan ke-16 miliknya.

Menerima hantaran silang dari Park Ji-sung, Rooney memanfaatkan dengan melepaskan tendangan kencang jarak dekat dan bola yang membias di kaki bek Boro, David Wheater, menerjah ke penjuru gawang.

Keputusan seri itu sudah cukup untuk meletakkan United tiga mata di puncak Liga Perdana Inggeris dan semakin menghampiri gelaran Liga Perdana yang ke-10 buat mereka.

Bagaimanapun, kegagalan mereka menewaskan Boro yang bersemangat tinggi bermakna Chelsea masih mempunyai harapan menghalang kelab Old Trafford itu daripada mempertahankan kejuaraan.

United kini sudah mengumpul 77 mata berbanding Chelsea (74) selepas pasukan tempat kedua itu menang 2-0 ke atas Manchester City kelmarin. Arsenal kini di tangga ketiga dengan 71 mata selepas mereka sekadar seri dengan Liverpool yang berada di tempat keempat, kelmarin. – AFP

No comments

Powered by Blogger.