Biar pemimpin senior tegur Dr. Mahathir

KUALA LUMPUR 6 April - Sebarang teguran terhadap bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad hendaklah datang daripada pemimpin yang benar- benar senior dalam parti.

Bekas Menteri Pertanian dan Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid berkata, mereka yang baru beberapa minggu duduk dalam Kabinet dan bergelar menteri sepatutnya menjauhkan diri daripada membuat sebarang bentuk teguran.

Beliau berkata, ini kerana Dr. Mahathir bukan pemimpin biasa tetapi pernah menjadi Perdana Menteri yang mentadbir negara ini selama 22 tahun.

"Saya tengok budak-budak baru berpolitik hendak menegur Tun, baru tempah 'bush jacket' sebagai menteri, dah nak mengata Tun," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis 'Fikir-fikirkan' bersama Tun anjuran UMNO Cawangan Pusat Bandar Cempaka, Bahagian Pandan di sini hari ini.

Beliau yang pernah menjadi Ahli Majlis Tertinggi (MT) parti turut mengingatkan pihak berkenaan agar jangan terbuai-buai dengan jawatan yang baru diterima dan mula hendak menegur semua orang tanpa mengingati jasa orang itu.

Jelasnya, bukan terlalu sukar untuk menjadi seorang menteri, justeru mereka yang terpilih perlu berfikir panjang apabila mahu bercakap atau bertindak.

Beliau kemudiannya menyambung: ''Yang ada hari ini termasuk dalam Kabinet perlu juga mengingati jasa Dr. Mahathir ke atas mereka sebelum ini.''

No comments

Powered by Blogger.