Exco T'ganu: MB gugurkan Rosol

Oleh malaysiakini

Sepuluh anggota exco kerajaan negeri Terengganu - termasuk tujuh muka baru - dijangka mengangkat sumpah di hadapan Pemangku Sultan Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin di Istana Maziah pagi esok.

Tujuh muka baru itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Besut Dr Abdul Rahman Mokhtar, Rozi Mamat (Telemong), Khazan Che Mat (Batu Rakit), Yahaya Khatib Mohamad (Pengkalan Berangan), Ashaari Idris (Langkap), Datuk Za'abar Mohd Adib (Rantau Abang) dan Ahmad Razif Abdul Rahman (Seberang Takir).
Kesemua mereka menghadiri majlis raptai istiadat angkat sumpah jawatan exco di istana itu di Kuala Terengganu hari ini.

Menurut laporan Bernama, turut hadir ialah tiga muka lama - Datuk Mohamed Awang Tera (Chukai), Datuk Abdul Rahin Mohd Said (Teluk Pasu) dan Toh Chin Yaw (Bandar).

Berdasarkan pada kehadiran di majlis raptai itu hari, dua exco kanan pada penggal lepas - Datuk Rosol Wahid (Ajil) dan Datuk Din Adam (Bukit Besi) - digugurkan daripada senarai barisan baru exco.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis raptai tersebut, Menteri Besar, Datuk Ahmad Said bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya.

BN Terengganu dilanda krisis selama tiga minggu sejak berakhir pilihanraya umum 8 Mac selepas Datuk Idris Jusoh tidak mendapat perkenan pihak istana.

Rosol, yang juga setiausaha badan perhubungan Umno negeri, bertindak sebagai jurucakap 22 Adun yang menyokong Idris dan membantah pelantikan Ahmad.

BN menang selesa di Terengganu apabila mendapat 24 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi gagal menubuhkan kerajaan akibat krisis itu.

No comments

Powered by Blogger.