“Majlis kahwin pun ada ucapan takkan majlis makan malam tak ada” - Azmin

Naib Presiden PKR nafi berbohong kepada polis perhimpunan 14 April

16 Apr | 11.45pm
SHAH ALAM: Tiga pemimpin utama PKR, Presiden, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden, Azmin Ali dan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim memberi kerja sama sepenuhnya kepada pihak polis berhubung kes perhimpunan di Kelab Sultan Sulaiman 14 April lalu.

Wan Azizah dan Azmin memberi keterangan masing-masing di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor manakala Khalid di pejabatnya di Bangunan Sultan Sallahuddin Abdul Aziz Shah.

Turut memberi keterangan pembantu khas Khalid, Yahya Sahri.

Sementara itu Wan Azizah yang ditemui Harakahdaily selepas memberi keterangan enggan mengulas lanjut kerana perkara tersebut masih dalam siasatan.

Menurut Wan Azizah, mereka telah memberi kerja sama yang sepatutnya.

Jelas Azmin pula, oleh kerana isu tersebut masih dalam siasatan, mereka tidak boleh membuat sebarang kenyataan kerana boleh didakwa mengganggu siasatan polis.

Sehingga kini katanya, mereka tidak dimaklumkan sebarang tindakan sususlan yang bakal diambil pihak polis.

Bernama pula melaporkan Khalid memberitahu pemberita di lobi Bangunan SSAAS, bahawa beliau telah memberi keterangan selama 20 minit berhubung perkara tersebut.

Dalam pada itu Wan Azizah memberitahu pemberita, telah berlaku salah faham di antara pihaknya dengan polis mengenai tempat mereka perlu memberikan keterangan menyebabkan beliau dan Azmin menunggu ketibaan polis sejak pukul 9.30 pagi di pejabat Menteri Besar Selangor untuk memberikan keterangan.

Ketika ditanya sama ada polis ada memaklumkan tindakan yang akan diambil terhadap mereka, Azmin berkata tidak ada dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.

Mengenai dakwaan PKR berbohong kepada polis dengan mengatakan majlis itu cuma majlis makan malam tetapi kemudian bertukar menjadi perhimpunan, Azmin berkata adalah lumrah bagi sesuatu majlis untuk mempunyai ucapan sebagai acaranya bahkan majlis kahwin pun mempunyai ucapan.

Pada perhimpunan itu beberapa pemimpin PKR berucap termasuk penasihatnya, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata perhimpunan malam 14 April itu bukanlah “Black 14” seperti yang digelar media dalam laporan berita mereka, tetapi ia merupakan hari dan perhimpunan bagi mengiktiraf kemenangan rakyat.

Perhimpunan seumpama akan diadakan lagi tetapi ia akan mengikut undang-undang, katanya.

No comments

Powered by Blogger.