Memahami Surat Mursyidul Am Kepada Presiden PAS


Oleh Rosli Allani®


Berikut merupakan surat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Presiden PAS, Tuan Guru Dato Seri Abdul Hadi :


YB Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PASYB Datuk Seri,
Alhamdulillah. Allah SWT. yang memiliki seluruh alam semesta serta sekalian kerajaan langit dan bumi telah memakbulkan doa dan munajat kita.


Setiap butir air mata umat yang telah gugur selama ini telah semakin terjawab sebahagiannya. Berkat kepimpinan Yang Berhormat Datuk Seri, yakinlah kita bahawa tentu ada sesuatu yang tepat antara apa yang kita ikhtiarkan dan hajati selama ini dengan apa yang tersimpan “di atas sana” buat kita.Bagaikan bersamaannya paksi Ka’abah dan Baitul Makmur, maka bersahut jualah akhirnya persamaan itu dalam pilihan raya pada 8 Mac 2008 lalu.

Antara hajat di bumi dan takdir di langit yang tersusun rapi dalam satu persetujuan itulah kita kini sedang sama-sama tunduk, menangisi sebuah kesyukuran justeru terlalu khudhu’ menerima ujian kemenangan.Tahniah yang sejujurnya buat Datuk Seri dari saya.


Dalam meneruskan fasa perjuangan berupa pengisian di negeri-negeri 5+1, saya masih terasa akan perlunya kita untuk lebih berhati-hati.


Terkini, setelah membaca dan mengikuti rentak respons rakan-rakan pimpinan kita di dalam PAS dan BA pada umumnya, yang mengatur langkah apa yang dinamakan sebagai ‘era pembaharuan 100 hari’, mungkin ada baiknya kita menyegerakan langkah mewujudkan badan penyelaras peringkat pusat.


Ia wajar berfungsi sebagai badan penentu keutamaan program bertindak mengisi pelaksanaan manifesto “negara berkebajikan” mengikut marhalah di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang.Apa yang mustahak diawalkan harus didahulukan dan apa yang mungkin kurang prioriti bolehlah dikemudiankan. Mungkin, jika hikmahnya sesuatu itu tidak disebutkan, maka ia seeloknya didiamkan saja buat sementara waktu.


Dalam keghairahan menerima kemenangan, kita perlu cermat di sini. Sesungguhnya, ini saya kira terlalu penting kerana kehadiran kita terkini cukup diikuti oleh seluruh lapisan rakyat dan seteru kita.


Buat diri saya sendiri, InsyaAllah; saya akan lebih berhati-hati untuk mendokong roh kesedaran ini.


Semoga keadaan kita yang sering saling pesan memesan ini akan sentiasa dipimpin oleh petunjuk dan keredhaan dariNYA jua.


Wallahua’lam.
Nik Abdul Aziz Nak Mat
Mursyidul Am PAS


Surat yang disiarkan dalam akhbar Siasah 30 Mac- 5 April 2008, perlu difahami dengan teliti oleh semua pendokong Parti PAS khususnya di dalam memastikan Pakatan Rakyat yang tertubuh dapat diterima dengan baik oleh semua. Bukan sahaja mereka yang tidak teragak agak memberi undi kepada Pakatan Rakyat tempohari tetapi mereka yang tidak keluar mengundi mahupun telah mengundi Barisan Nasional pada PRU ke 12 yang lepas.


Umum mengetahui pergolakan politik di dalam BN khususnya di dalam UMNO telah didalangi oleh beberapa individu di dalam dan di luar parti yang mengkucar-kacirkan keadaan akibat percaturan politik mereka. Maka persoalan asas yang dibawa adalah kredibiliti dan kepimpinan yang ada pada Presiden mereka. Sekuat mana sesebuah pentadbiran dan organisasi, bila ditadbir oleh seorang yang lemah maka akan tetap menjejaskan keutuhannya.

Peluang akan dicari untuk memastikan pemimpin sebegini diturunkan samada desakan daripada dalam mahupun luar. Yang diusahakan adalah mewujudkan konflik. Sehinggakan krisis kepimpinan itu tidak dapat lagi ditampung dengan apa cara sekalipun.


Berundur atau konflik itu berterusan hingga meranapkan seterusnya dicaci dan dinista oleh pengikutnya. Itulah pilihan Pak Lah. UMNO hanyalah sebuah rumah kaca yang tidak kukuh sekarang ini. Bukannya rumah kristal yang dicanai dengan sesempurna mungkin untuk memberikan kekuatan padanya. Kekalutan yang ada tidak memungkinkan mereka melancar serangan balas kepada Pakatan Rakyat walaupun ruang itu ada. Mereka hanya mampu bertahan.


Namun peluang tetap ada untuk mereka mengapi apikan permusuhan di antara komponen Pakatan Rakyat. Maka nasihat daripada Mursyidul Am itu hendaklah diperhatikan sebaik. Setiap parti komponen perlu berhati hati, mengutamakan perpaduan dan persamaan di dalam melaksanakan agenda. Mustahil tiada persefahaman dan ‘common ground’ yang boleh disepakati. Bila semua pihak saling memerlukan, maka perlulah saling menghormati. Yang penting akarnya berfungsi menyerap mineral untuk pohonnya membesar.


Kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat adalah signal sokongan rakyat yang cukup besar kepada mereka. Membandingkan kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki pada Julai 2007, di mana mereka juga sekadar memperolehi hampir 50 peratus undi, namun berjaya memperolehi 341 daripada 550 kerusi parlimen, maka Pakatan Rakyat perlu yakin akan kekuatan mereka.


Dan pendokong mereka khususnya daripada Parti PAS perlu memerhati bagaimana AKP bergerak di dalam sistem politik sekular di negara mereka sebagai sebuah parti yang tidak dilihat ideologikal sebagaimana di tempat lain. Bahkan kemenangannya banyak disokong oleh kejayaannya mentadbir dan menjadi parti tempatan yang melaksanakan tugasnya dengan baik.


Berbeza dengan Turki, parti AKP diserang dari dalam dan luar negara dengan imej Islamis yang cuba dikaitkan dengan mereka, manakala perubahan yang berlaku di negara kita adalah hasil kebencian rakyat kepada sekatan media dan sikap angkuh sesetengah pihak sehinggakan mengamalkan sikap bermusuh dengan media luar negara.


Haruslah difikirkan pendekatan terbaik untuk memastikan kebangkitan rakyat tadi disalurkan dengan tindakan bijak daripada kepimpinan Pakatan Rakyat bagi memastikan rakyat benar benar pasti dan selesa dengan usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan kerajaan lima negeri untuk menjaga hak dan kepentingan mereka, bukan setakat berusaha untuk menaikkan nama dan parti masing masing. Rakyat sedang memerhati.




Rosli Allani®
http://forumpemuda.wordpress.com

No comments

Powered by Blogger.