Sabotaj punca prestasi buruk - Kalau bukan kerana faktor itu, BN tidak hilang majoriti dua pertiga – Abdullah
Oleh MARHAINI KAMARUDDIN dan HERMAN HAMID
SEMANGAT...Abdullah Ahmad Badawi mengangkat tangan pada Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur, semalam.
--------------------------------------------------------------------------------
KUALA LUMPUR 6 April – Perbuatan sabotaj oleh ahli UMNO sendiri di peringkat Parlimen dan negeri dikenal pasti sebagai punca prestasi buruk Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-12.
Ekoran masalah yang dicetuskan itu, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, 14 kerusi Parlimen dan 22 Dewan Undangan Negeri (DUN) yang sebelum ini diisytiharkan kawasan putih dan dijamin menang turut terlepas ke tangan pembangkang.
Justeru, tegas Abdullah, beliau selaku Presiden UMNO akan membentangkan sendiri laporan kepada Jawatankuasa Disiplin agar mereka yang terlibat dikenakan tindakan.
‘‘Kalau tidak kerana faktor itu (sabotaj), kita tidak hilang kedudukan (majoriti) dua pertiga dan dua buah negeri iaitu Perak dan Kedah.
‘‘Jika masalah tidak dicetuskan di kawasan-kawasan berkenaan, perkara ini tidak akan berlaku,’’ katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan di Majlis Penerangan Bersama Presiden UMNO yang turut dihadiri anggota Majlis Tertinggi (MT) dan veteran parti di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib.
Ditanya bentuk tindakan yang akan dikenakan ke atas ahli yang mensabotaj parti, Abdullah yang amat kesal dengan perbuatan tersebut menyerahkannya kepada Jawatankuasa Disiplin UMNO untuk membuat keputusan.
‘‘Saya akan berikan segala sebab-sebabnya, tidak perlu saya jelaskan secara terperinci sebelum jawatankuasa menerimanya,’’ ujarnya.
Dalam hal ini, Abdullah mengingatkan ahli supaya mengutamakan usaha-usaha untuk menguatkan parti kerana UMNO mempunyai peranan penting yang perlu dilaksanakan dalam BN dan terhadap rakyat.
Walaupun mengalami kemerosotan sokongan yang melampau dalam Pilihan Raya Umum Ke-12, bagi Perdana Menteri, rakyat masih mengehendaki kerajaan BN.
‘‘Para pembangkang tidak dibawa untuk masuk menubuhkan kerajaan (Persekutuan), kerajaan kita masih dikehendaki.
‘‘Jadi rakyat mahu kita teruskan sebab mereka tahu idea kita bagus... hanya mereka mahu memperingatkan kita bahawa ia belum cukup,’’ katanya.
Menurut Abdullah, ahli-ahli parti mesti memahami keputusan pilihan raya umum lalu merupakan isyarat daripada rakyat supaya kerajaan bersiap sedia melaksanakan yang terbaik untuk mereka.
Perdana Menteri mengakui dalam tempoh empat tahun pemerintahannya, tidak semua yang dijanjikan dalam manifesto BN semasa pilihan raya umum 2004 dapat dilaksanakan.
Selain bidang ekonomi yang mencatatkan kejayaan, menurutnya, beberapa perubahan termasuk dari segi perundangan, kepolisan, pentadbiran awam, pembangunan dan sistem memberi khidmat kepada rakyat, masih perlu ditingkatkan kecekapan dan produktivitinya.
‘‘Kita perlu teruskan (supaya) rakyat, pengundi-pengundi tidak menyalahkan kita,’’ katanya.
Perdana Menteri sekali lagi mengulangi bahawa beliau tidak akan lari daripada tugas dan tanggungjawab.
Sehubungan itu selagi beliau masih menerajui parti dan negara, Abdullah menegaskan:
‘‘Saya mahu diperkukuhkan moral parti kita dan kita perkukuhkan juga ikrar pentadbiran kita, supaya yang kita janjikan kepada rakyat itu akan dapat capai.’’
No comments
Post a Comment