Respon kepada surat TG Nik Aziz kepada TG Hj Hadi
Oleh kelantankini
BERIKUT merupakan surat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang:
YB Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang
Presiden PAS
YB Datuk Seri,
Alhamdulillah. Allah SWT yang memiliki seluruh alam semesta serta sekalian kerajaan langit dan bumi telah memakbulkan doa dan munajat kita.
Setiap butir air mata umat yang telah gugur selama ini telah semakin terjawab sebahagiannya.
Berkat kepimpinan Yang Berhormat Datuk Seri, yakinlah kita bahawa tentu ada sesuatu yang tepat antara apa yang kita ikhtiarkan dan hajati selama ini dengan apa yang tersimpan “di atas sana” buat kita.
Bagaikan bersamaannya paksi Ka’abah dan Baitul Makmur, maka bersahut jualah akhirnya persamaan itu dalam pilihan raya pada 8 Mac 2008 lalu.
Antara hajat di bumi dan takdir di langit yang tersusun rapi dalam satu persetujuan itulah kita kini sedang sama-sama tunduk, menangisi sebuah kesyukuran justeru terlalu khudhu’ menerima ujian kemenangan.
Tahniah yang sejujurnya buat Datuk Seri dari saya.
Dalam meneruskan fasa perjuangan berupa pengisian di negeri-negeri 5+1, saya masih terasa akan perlunya kita untuk lebih berhati-hati.
Terkini, setelah membaca dan mengikuti rentak respons rakan-rakan pimpinan kita di dalam PAS dan BA pada umumnya, yang mengatur langkah apa yang dinamakan sebagai ‘era pembaharuan 100 hari’, mungkin ada baiknya kita menyegerakan langkah mewujudkan badan penyelaras peringkat pusat.
Ia wajar berfungsi sebagai badan penentu keutamaan program bertindak mengisi pelaksanaan manifesto “negara berkebajikan” mengikut marhalah di negeri-negeri yang dikuasai pembangkang. Apa yang mustahak diawalkan harus didahulukan dan apa yang mungkin kurang prioriti bolehlah dikemudiankan.
Mungkin, jika hikmahnya sesuatu itu tidak disebutkan, maka ia seeloknya didiamkan saja buat sementara waktu.
Dalam keghairahan menerima kemenangan, kita perlu cermat di sini. Sesungguhnya, ini saya kira terlalu penting kerana kehadiran kita terkini cukup diikuti oleh seluruh lapisan rakyat dan seteru kita.
Buat diri saya sendiri, InsyaAllah; saya akan lebih berhati-hati untuk mendukung roh kesedaran ini.
Semoga keadaan kita yang sering saling pesan memesan ini akan sentiasa dipimpin oleh petunjuk dan keredhaan dariNYA jua.
Wallahua’lam.
Nik Abdul Aziz Nak Mat
Mursyidul Am PAS.
************
RESPON 1:
SURAT yang disiarkan dalam akhbar Siasah 30 Mac- 5 April 2008, perlu difahami dengan teliti oleh semua pendokong Parti PAS khususnya di dalam memastikan Pakatan Rakyat yang tertubuh dapat diterima dengan baik oleh semua.
Bukan sahaja mereka yang tidak teragak agak memberi undi kepada Pakatan Rakyat tempohari tetapi mereka yang tidak keluar mengundi mahupun telah mengundi Barisan Nasional pada PRU ke 12 yang lepas.
Umum mengetahui pergolakan politik di dalam BN khususnya di dalam Umno telah didalangi oleh beberapa individu di dalam dan di luar parti yang mengkucar-kacirkan keadaan akibat percaturan politik mereka.
Maka persoalan asas yang dibawa adalah kredibiliti dan kepimpinan yang ada pada Presiden mereka. Sekuat mana sesebuah pentadbiran dan organisasi, bila ditadbir oleh seorang yang lemah maka akan tetap menjejaskan keutuhannya.
Peluang akan dicari untuk memastikan pemimpin sebegini diturunkan samada desakan daripada dalam mahupun luar. Yang diusahakan adalah mewujudkan konflik. Sehinggakan krisis kepimpinan itu tidak dapat lagi ditampung dengan apa cara sekalipun.
Berundur atau konflik itu berterusan hingga meranapkan seterusnya dicaci dan dinista oleh pengikutnya. Itulah pilihan Pak Lah. Umno hanyalah sebuah rumah kaca yang tidak kukuh sekarang ini.
Bukannya rumah kristal yang dicanai dengan sesempurna mungkin untuk memberikan kekuatan padanya. Kekalutan yang ada tidak memungkinkan mereka melancar serangan balas kepada Pakatan Rakyat walaupun ruang itu ada. Mereka hanya mampu bertahan.
Namun peluang tetap ada untuk mereka mengapi apikan permusuhan di antara komponen Pakatan Rakyat. Maka nasihat daripada Mursyidul Am itu hendaklah diperhatikan sebaik.
Setiap parti komponen perlu berhati hati, mengutamakan perpaduan dan persamaan di dalam melaksanakan agenda. Mustahil tiada persefahaman dan ‘common ground’ yang boleh disepakati.
Bila semua pihak saling memerlukan, maka perlulah saling menghormati. Yang penting akarnya berfungsi menyerap mineral untuk pohonnya membesar.
Kekuatan yang ada pada Pakatan Rakyat adalah signal sokongan rakyat yang cukup besar kepada mereka.
Membandingkan kemenangan Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP) di Turki pada Julai 2007, di mana mereka juga sekadar memperolehi hampir 50 peratus undi, namun berjaya memperolehi 341 daripada 550 kerusi parlimen, maka Pakatan Rakyat perlu yakin akan kekuatan mereka.
Dan pendokong mereka khususnya daripada Parti PAS perlu memerhati bagaimana AKP bergerak di dalam sistem politik sekular di negara mereka sebagai sebuah parti yang tidak dilihat ideologikal sebagaimana di tempat lain.
Bahkan kemenangannya banyak disokong oleh kejayaannya mentadbir dan menjadi parti tempatan yang melaksanakan tugasnya dengan baik.
Berbeza dengan Turki, parti AKP diserang dari dalam dan luar negara dengan imej Islamis yang cuba dikaitkan dengan mereka, manakala perubahan yang berlaku di negara kita adalah hasil kebencian rakyat kepada sekatan media dan sikap angkuh sesetengah pihak sehinggakan mengamalkan sikap bermusuh dengan media luar negara.
Haruslah difikirkan pendekatan terbaik untuk memastikan kebangkitan rakyat tadi disalurkan dengan tindakan bijak daripada kepimpinan Pakatan Rakyat bagi memastikan rakyat benar benar pasti dan selesa dengan usaha yang ditunjukkan oleh kerajaan kerajaan lima negeri untuk menjaga hak dan kepentingan mereka, bukan setakat berusaha untuk menaikkan nama dan parti masing masing. Rakyat sedang memerhati.
Dr Rosli Allani
************
RESPON 2:
ISLAM tidak membenarkan bercantum dengan bukan Islam, kerana boleh mendatangkan subahat. Dalam surah kafirun dijelaskan oleh Allah demikian.
Islam perlu membuktikan dia tidak mengikut orang lain, tidak terpengaruh dengan mazhab yang bukan-bukan, kerana boleh mendatangkan bidaah.
Orang akan hormat Islam bukan kerana Islam tunduk kepada kehendak nasara dan yahudi, tetapi Islam dihormati kerana ia memberi perlindungan dan harapan. Islam tegas dan berdiri dengan keangongan Allah.
Orang tidak hormat orang Islam, kalau orang Islam itu tidak ada pendirian dan mudah berubah. Siapakah yang boleh percaya kepada orang yang lembik? Bolehkah orang lembih dan mudah berubah-berubah menjadi pemimpin?
Kita boleh percayakah kepada orang yang lemah untuk membuat kerja melindungi diri kita? Jadi mengapa kita menjadi lemah kalau nak memimpin?
Matiku Kerana Allah
************
RESPON 3:
RAMAI yang tertanya-tanya kebenaran surat terbuka Ustaz Nik Abdul Aziz. Tuan-tuan, dalam membaca isu politik, kita mesti pandai membaca lapis kedua. Seperti kita mesti pandai membaca karya sastera juga. Tidakkah aneh dalam zaman teknologi yang ada sms, telefon, internet maka surat terbuka seperti ini ditulis? Melainkan kita perlu membaca setiap ayat yang ada dengan penuh hati-hati? Dan kesimpulan yang ingin disampaikan oleh ustaz Nik Aziz adalah ‘hati-hati’. Kalau tidak hati-hati nanti kena baham atau kena tipu. Seteru Islam yang sebenar adalah zionis dan Amerika. Tidakkah kegelojohan, khusus melibatkan ‘kuasa’ akan membawa kepada padah? Apakah mungkin surat ini bukan sahaja untuk Presiden PAS tetapi menyeluruh untuk setiap aktivis gerakan Islam?
Untuk pembaca yang lahir era 80-90an (kerana generasi ini sebahagian besarnya adalah ignorant dan banyak tidak tahu) serta masih baru hendak kenal politik, eloklah merenung-renung sebelum menyokong tidak menentu. Kerana Imam Jaafar as Sadiq ada mengatakan:
‘Orang yang bodoh itu ialah orang yang menjawab sebelum mendengar, berdebat sebelum memahami permasalahan, dan menghukumi sesuatu yang tidak diketahuinya.’
Jangan jadi khawarij - tak menentu, dan terburu-buru.
(Tambahan) Kalau TGNA sekadar nak sampaikan
…kewujudan Pakatan Rakyat yang menjadi wadah baru pakatan politik oposisi negara
…tentang penerimaan PKR dan DAP terhadap Ir Muhammad Nizar sebagai Menteri Besar Perak dan ini secara langsung memberi keyakinan bahawa satu masa nanti Husam Musa juga akan turut diterima sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Tok Guru Nik Aziz boleh sekadar sms atau telefon haji Hadi beritahu benda2 tu. Buat apa nak tulis surat terbuka. Ada lapis kedua dalam surat terbuka tu. Cara tok guru sama tok guru menegur atau mengkritik (istilah tok guru nik aziz: ’saling pesan memesan’) tak sama dengan cara wahabi jalanan kritik saya di blog. Tok guru sama tok guru lebih berhemah, lebih berkias, lebih mendalam. Saya tak mahu selak lebih2. Fikirlah.
Faisal Tehrani
No comments
Post a Comment