Ulasan mufti daripada isu Filem Fitna

Jika kita tidak dihina orang, jangan menghina diri sendiri

“ Kes-kes penyalahgunaan kuasa politik dan rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin yang beragama Islam lebih banyak dari yang beragama lain ringkas ahli Parlimen Belanda Geert Wilders itu telah menimbulkan kemarahan umat Islam”.



FILEM Fitna, sebuah filemDalam negara kita sendiri, lihatlah umat Islam dari sudut politik, pendidikan, ekonomi, sosial dan pelbagai lagi.Ternyata benar pembikin filem berkenaan menyimpan kebencian yang amat tinggi terhadap Islam dan umatnya. Di Malaysia agak menarik, mereka yang sebelum ini tidak pernah sensitif dalam isu-isu yang seperti itu, tiba-tiba muncul mengangkat sepanduk bantahan. Mungkin semangat baru muncul untuk membela Islam. Atau, sebagai salah satu ubat yang cuba ditelan bagi memulihkan diri akibat hentakan demam pilihan raya yang ramai belum dapat ‘kebah’. Apa pun sebabnya, saya amat bersetuju dengan bantahan tersebut dan juga kempen memboikot barangan Belanda.

Namun, seperti biasa saya ingin mengajak kita melihat isu ini dari sudut-sudut yang lain. Kita perlu jelas, bahawa apa yang kita bantah bukanlah hak untuk individu atau syarikat menerbitkan sesebuah filem. Kita percaya kepada hak dan kebebasan individu, atau syarikat atau negara dalam batasan yang wajar. Sebenarnya, yang kita marah adalah pembohongan, pengkhianatan dan penyelewengan fakta. Itu yang dibantah. Sama seperti seseorang yang menggunakan haknya untuk mendengar radio, namun dia menguatkan suara sehingga mengganggu jiran tetangga. Maka anak kecil yang sedang tidur menangis, ibunya terjaga, yang sedang membaca terganggu dan sedang berehat sesak pendengaran. Lalu mereka membantahnya. Dengan gaya selamba lagi ‘bodoh’ dia menyebut; “ini hak saya untuk mendengar, lagipun ini radio saya sendiri.” Lalu mereka menyatakan kepadanya: “kami tidak membantah hak awak untuk mendengar radio awak, tetapi kami membantah kerana awak mengganggu kehidupan kami.” Ya! Kita tidak membantah mereka ingin berkarya dalam pembikinan filem atau seni, tetapi kita membantah fitnah dan pembohongan yang mampu mengganggu ketenteraman hidup dan keamanan kita. Itu namanya penyalahgunaan hak yang disebut oleh para sarjana fikah sebagai al-Ta‘assuf fi Isti‘mal al-Haq. Adalah bodoh jika media Barat ingin mempertahankan hak Geert Wilders untuk berkarya kerana kita tidak mempertikaikan haknya untuk berkarya, tetapi kita mempertikaikan penyalahgunaan hak.

Sebenarnya juga, kempen memburukkan wajah Islam dengan melabelkannya sebagai pengganas dan kejam bukan bermula dari filem Fitna. Media-media Barat seperti CNN telah lama melancarkan serangan pemikiran ke atas masyarakat dunia amnya dan masyarakat Barat khususnya demi merosakkan gambaran Islam. Filem ini hanyalah kesinambungan dari usaha-usaha tersebut dengan cara menyunting kejadian-kejadian ganas yang dikaitkan dengan orang Islam serta memetik ayat-ayat al-Quran yang berkaitan dengan jihad. Petikan ayat-ayat tersebut tanpa memahami latar teks dan isu sebenar yang dijelaskan oleh al-Quran membuatkan mereka yang jahil hakikat Islam berasa adanya hubungkait antara keganasan dan al-Quran. Saya telah menjawab isu jihad ini dalam salah satu rencana saya yang lepas “Wahai Dunia! Islam Bukan Agama Pengganas”.

Namun apa yang menjadi masalah yang terbesar adalah tindakan sesetengah umat Islam yang tidak mengikut disiplin Islam seakan membuka ruang untuk tohmahan-tohmahan seperti ini menjadi subur dalam pemikiran masyarakat dunia yang tidak faham. Pada hari ini, media-media utama dunia tidak kita kuasai. Media adalah senjata peperangan yang paling ampuh di kurun ini. Ia mampu membentuk pemikiran dan tindakan manusia. Sesiapa yang senjata ini tidak dimiliki olehnya maka dia bila-bila masa boleh menjadi mangsa. Apabila Yahudi antarabangsa membuat keputusan mencomotkan wajah Islam menerusi media, sementara di kalangan umat Islam pula melakukan tindakan-tindakan yang membuka ruang untuk rancangan jahat itu berjalan, maka wajah Islam benar-benar dipalit dengan keburukan. Ramai umat Islam yang bertindak seakan sedang hidup pada zaman kekhalifahan Islam yang cemerlang yang dapat membela dan melindungi umat. Mereka lupa kita kini seakan sedang hidup di zaman awal Islam di Mekah yang amat ditindas dan segala tindakan kita perlu diambil secara berhati-hati dan mengira untung rugi dengan teliti.

Kehairanan

Saya kadangkala kehairanan melihat sesetengah ahli politik tertentu di Malaysia yang selalu dimangsakan oleh media. Setiap kali membuat kenyataan, dia terkena. Pun begitu dia masih mengulangi kesalahan yang serupa. Sama ada dia ahli politik yang bodoh, atau media lebih cerdik. Jika awak tahu awak selalu dimangsakan, janganlah bergaya di depan media macam ‘bapa awak’ yang punya. Pilihlah perkataan yang tepat, atau diam. Demikianlah juga, kita faham perasaan mereka yang dibom kampung halaman dan negara, dirogol dan dibunuh anak isteri, ibu dan bapa seperti yang dilakukan oleh Amerika, Israel dan kuncu-kuncu mereka terhadap umat Islam di negara-negara yang dicerobohi. Kebencian dan dendam yang meluap-luap. Kemarahan yang tidak bertebing lagi. Namun menyembelih musuh untuk disiarkan kepada dunia tidak memberi manfaat kepada umat Islam. Di samping tidak bertepatan dengan arahan Allah dalam surah al-Baqarah ayat 190: (maksudnya): Dan perangilah di jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai mereka yang melampaui batas. Media antarabangsa akan menyelewengkan isu tersebut. Masyarakat Barat yang barangkali tidak dapat memahami latar keadaan atau suasana yang mengheret kepada tindakan sedemikian ganas akan mengaitkan kejadian-kejadian seperti itu dengan Islam. Mereka akan terlupa apa yang dilakukan oleh tentera yang menceroboh, merogol, mencedera dan membunuh kaum keluarga pihak yang bertindak ganas dan itulah yang mengheret tindak balas yang sama. Akhirnya, mereka mentohmah Islam.

Kita semua kena sedar, zaman ini bukan zaman kegemilangan Islam. Jenama Islam dianggap rendah. Barat dengan segala kemajuan kebendaan lebih berjaya mengangkat jenamanya di persada dunia. Saya selalu buat contoh dari perkara yang kecil seperti syampu pencuci rambut. Jika kita membawa dua jenama, satunya dihasilkan oleh sekumpulan pakar dari Asia dengan segala kelebihannya, sementara yang satu lagi hanya disebut “formula dari sebuah negara Barat tententu” tanpa diterangkan kelebihannya, ramai dalam dunia ini akan menganggap yang dari Barat itu lebih baik. Hanya yang teliti akan cuba menyemak dan menilai kedua bahan tersebut.

Apabila Islam dituduh sebagai pengganas, mundur, tidak berdisiplin, jumud, tidak toleran dan seumpamanya oleh Barat, ramai yang percaya. Sebab, bukan ramai manusia dalam dunia ini yang ingin menyelidik sendiri hakikat sesuatu perkara. Kebanyakannya bergantung kepada cakap orang. Dalam zaman ini, kepada media. Ditambah pula contoh teladan yang buruk yang ditunjukkan oleh umat Islam. Membaca laporan media tentang pergolakan di negara-negara umat Islam seperti Pakistan, Bangladesh, Somalia dan beberapa negara yang lain mematah semangat sesiapa yang ingin mendampingi agama ini. Melihat kemiskinan di dunia Islam menjauhkan manusia daripada Islam. Di manakah hendak diceritakan keindahan Islam dan kerahmatannya, jika dibanding kemiskinan, kekotoran, sampah sarap, kelam-kabut pengurusan dan segala unsur negatif yang terserlah di bandar-bandar Kaherah, Karachi, Islamabad, Jakarta dan selainnya dibandingkan bandar-bandar utama di Barat? Di manakah hendak diceritakan kemurnian akhlak Islam dibandingkan rasuah yang bermaharajalela, penyalahgunaan kuasa, kuku besi, tidak bertanggungjawab terhadap rakyat yang berlaku dalam politik dunia Islam, dibandingkan dengan ahli-ahli politik Barat yang lebih mampu mempamerkan identiti yang lebih baik untuk rakyat mereka? Di mana hendak diceritakan kehebatan sistem ekonomi Islam jika dunia Islam seperti Mesir yang mempunyai al-Azhar pun meminta belas ihsan bantuan kewangan dari Barat dan rakyatnya ramai merempat dan melarat? Sementara kebanyakan negara umat Islam kelam-kabut pengurusan ekonomi mereka. Bahkan menagih nasihat Barat dalam memulihkan kekuatan ekonomi sendiri. Di manakah hendak diceritakan persaudaraan Islam, jika setiap kali bencana seperti tsunami yang menimpa dunia Islam, bantuan Barat terlebih dahulu sampai sebelum bantuan negara-negara umat Islam? Banyak dan banyak jika hendak diungkit. Maka jangan hairan, jika manusia keliru dan mentohmah Islam. Islam yang indah dicemarkan oleh penganutnya sendiri. Seperti seorang ayah yang teramat mulia dan baik, tetapi mempunyai anak-anak yang buruk kelakuannya, lalu ayahnya ditohmah. Di manakah kita dari firman Allah yang menyebut: (maksudnya): Dan demikianlah (seperti mana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (Wahai umat Muhammad) satu umat wasata (pilihan lagi adil), supaya kamu layak menjadi saksi kepada umat manusia (tentang benar dan salah) dan Rasul itu (Muhammad) pula akan menjadi saksi ke atas kamu. (Surah al-Baqarah: 143).

Cahaya Islam

Dalam negara kita sendiri, lihatlah umat Islam dari sudut politik, pendidikan, ekonomi, sosial dan pelbagai lagi. Kes-kes penyalahgunaan kuasa politik dan rasuah yang dikaitkan dengan pemimpin yang beragama Islam lebih banyak dari yang beragama lain. Politik Melayu Muslim lebih banyak memikirkan kepentingan diri, sedang ‘orang lain’ mencongaknya untuk kepentingan kaumnya. Kemajuan pendidikan anak-anak bukan muslim lebih diberi perhatian oleh ibu bapa dibandingkan anak ‘orang kita’. Dari sudut ekonomi, kita jauh ketinggalan dibandingkan ‘orang lain’. Kes-kes jenayah, dadah dan keruntuhan moral yang membabitkan mereka yang mengakui muslim, jauh ‘memenangi persaingan’ dibandingkan bangsa lain yang tidak menganut Islam. Ternyata, kita benar-benar menghalang cahaya Islam ini dari sampai ke penglihatan ‘orang lain’. Sampah sarap dan bau busuk yang kita longgok di hadapan manusia, telah benar-benar menghalang cahaya Islam yang kudus untuk sampai kepada mereka.

Saya teringat tulisan Muhammad al-Ghazali, seorang tokoh pemikir Mesir yang menyebut: “Aku seakan terbayang bagaimana orang Australia dan Amerika apabila berdiri di hadapan Allah pada hari kiamat, lalu Allah bertanya mereka: “Mengapakah kamu tidak mengenali-Ku dengan cara yang betul dan beramal dengan amalan yang soleh dan bersiap menghadapi hari pertemuan ini?” Mereka akan menjawab: “Sesungguhnya Arab yang mewarisi agama-Mu telah menghalang cahaya agamanya, atau memadamkan lampu-lampunya, mereka biarkan kami dan diri mereka dalam kegelapan.” ( Muhammad al-Ghazali, Turathuna al-Fikri, m.s 32, Amerika: Al-Ma‘had al-‘Alami li al-Fikri al-Islami).

Dalam keadaan yang seperti ini, maka janganlah hairan jika kita sering dituduh. Kita bukan sahaja telah meninggalkan Islam yang diamanahkan kepada kita, tetapi juga telah mencemarkannya, maka orang lain pun tidak hairan lagi untuk menghinanya. Selagi kita tidak membetulkan keadaan umat terlebih dahulu, selagi itulah penghinaan seperti ini berterusan. Sabda Rasulullah s.a.w.: Akan tiba masanya umat-umat lain akan mengajak satu sama lain untuk membinasakan kamu (umat islam) sebagaimana orang mempelawa satu sama lain kepada dulang makanan yang besar (menjamah hidangan makanan). Seorang sahabat bertanya, “apakah disebabkan bilangan kami sedikit pada masa itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab, bahkan bilangan kamu di waktu itu adalah ramai tetapi kamu adalah ghutha‘ (sampah sarap dan buih) di atas air ketika banjir. Allah akan cabut ketakutan dari dada musuh kamu dan dia akan campakkan dalam hati kamu penyakit al-wahn. Seorang sahabat bertanya “Ya Rasulullah apakah dia al-wahn itu?” Jawab Rasulullah, cinta dunia dan takut mati (riwayat Abu Daud. Al-Albani menilainya sebagai sahih).

Saya menyokong usaha memboikot barangan Belanda sebagai mesej kepada masyarakat dunia bahawa umat ini membantah untuk dikaitkan al-Quran dengan keganasan. Namun kita semua mempunyai tugas yang jauh lebih berat iaitu memulihkan semula maruah dan harga diri umat ini. Seperti kata-kata al-Nadwi yang pernah saya petik: “Hendaklah orang Arab ketahui bahawa mereka tidak memasuki (pentas) sejarah kecuali dengan jalan risalah Islam dan dakwah Islamiah. Allah tidak menumbuhkan kecintaan (orang lain) kepada mereka dalam jiwa dan hati, tidak tersebar bahasa mereka dengan sebegini luas, ia tidak kekal dan abadi, tidak ditulis dengannya ilmu yang banyak, tidak terbentuk dengannya perpustakaan yang begitu besar yang mana ulama bukan Arab mendapat habuannya lebih dari orang Arab sendiri, kecuali dengan sebab kelebihan al-Quran dan syariat Islam. Orang Arab tidak akan kembali kepada kedudukan mereka yang awal dan tidak akan memasuki (pentas) sejarah sekali lagi melainkan melalui pintu yang mereka masuk pada awalnya”. (Al-Nadwi, Kaif Dakhal al-‘Arab al-Tarikh, m.s 26, Lacknow: Al-Majma’ al-Islami al-‘Ilmi).

Kembalilah membina maruah dan identiti Islam seperti yang diajar dalam al-Quran dan al-Sunah. Kita sepatutnya menjadi contoh mulia untuk semua umat di dunia, bukan ditindas dan dipandang rendah. Justeru, jika tidak mahu dihina orang lain, kita jangan menghina diri sendiri.

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin

ialah Mufti Kerajaan Negeri Perlis.

E-mel: moasriza@yahoo.com

Layari http://drmaza.com/

No comments

Powered by Blogger.