BN Kelantan kaji kemuka petisyen


KOTA BHARU 15 April - Barisan Nasional (BN) Kelantan sedang mengkaji kemungkinan mengemukakan petisyen di mahkamah berikutan beberapa aduan yang diterima berhubung amalan tidak sihat semasa pilihan raya umum lepas.

Pengerusinya, Datuk Seri Annuar Musa berkata, pihaknya telah meminta penasihat undang-undang parti untuk meneliti sama ada terdapat bukti yang cukup untuk membolehkan tindakan itu diambil.

Beliau berkata, BN mempunyai tempoh selama 21 hari daripada tarikh keputusan itu diwartakan sekiranya mahu mengemukakan petisyen di mahkamah.

"Kita menerima beberapa aduan di kawasan-kawasan tertentu berhubung pilihan raya lepas, para peguam kita diminta mengkaji secara mendalam bermula hari ini sebelum tindakan diambil.

"Selepas itu, ia akan dibincangkan dalam mesyuarat Badan Perhubungan Negeri dan kita mempunyai tempoh sehingga 28 April ini sekiranya mahu membawa aduan ini ke mahkamah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pembayaran bonus kemenangan kepada pemain bola sepak Kelantan, di sini petang semalam.

Pada majlis itu, Annuar yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menyampaikan sebanyak RM1,000 dan seutas jam tangan berjenama kepada setiap pemain dan pengurusan pasukan.

Dalam pada itu, pihaknya juga akan mengemukakan cadangan untuk mengukuhkan parti kepada Majlis Tertinggi (MT) UMNO selepas mesyuarat Badan Perhubungan UMNO negeri pada penghujung bulan ini.

"Semua keputusan akan dibuat dalam mesyuarat tersebut, kita tidak mahu mengeluarkan kenyataan berbeza-beza bagi mewakili Badan Perhubungan UMNO negeri Kelantan.

"Pada masa sekarang, terlalu ramai yang membuat kenyataan kepada media, sebagai contoh, selepas badan perhubungan negeri buat kenyataan, selepas itu ada pula ketua bahagian atau wakil rakyat membuat kenyataan berbeza.

"UMNO tidak tewas teruk pada pilihan raya lepas, saya tengok, MCA, MIC dan Gerakan tidak bercakap banyak walaupun tewas teruk, kita orang Melayu yang kelam-kabut buat kenyataan kononnya bagi memperbetulkan keadaan," katanya.

Beliau berkata, ahli-ahli parti itu sewajarnya tidak mengeluarkan kenyataan secara terbuka tetapi melalui forum tertentu dengan semangat kekeluargaan.

---

Tambahnya, UMNO Kelantan juga akan berbincang dan mencari jalan terbaik bagi menyusun semula parti itu selepas tewas pada pilihan raya umum lepas.

"Pada pilihan raya umum lepas kita telah membuat persediaan terbaik, semua kelihatan berjalan lancar, tidak ada pergolakan dan sampai ke saat-saat akhir pun tidak ada orang memberitahu bahawa keadaan berlaku sebaliknya.

"Ini semua menyebabkan kita tidak bernasib baik apabila disebabkan gelombang isu nasional kita tewas sekali lagi,'' katanya.

No comments

Powered by Blogger.