Wanita mahu anjur program rawat BN


KUALA LUMPUR: Wanita Barisan Nasional (BN) memutuskan mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan setiap pemimpin komponen wanita dalam usaha mencari pendekatan terbaik mengembalikan martabat parti.

Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Rafidah Aziz, berkata keputusan itu dibuat hasil maklum balas pada pertemuan pertama semua komponen Wanita BN yang mengenal pasti punca kekalahan besar BN dalam pilihan raya ke-12 lalu.

Katanya, pertemuan itu akan diadakan secepat mungkin bagi memastikan agenda memulihkan imej parti itu dapat disegerakan dan diadakan sekerap mungkin.



"Pada pertemuan pertama selepas pilihan raya ini, wakil komponen wanita mengemukakan input mengenai pandangan masing-masing mengenai pelbagai perkara membabitkan pilihan raya, termasuk punca kekalahan BN dan cara parti berkomunikasi dengan rakyat.

"Sehubungan itu, kami membuat keputusan untuk mengadakan program membantu merawat BN dan memperkukuhkannya.

"Saya pasti kalau kita dapat atasi kelemahan dan kemusykilan yang dihadapi pada peringkat akar umbi, ini akan membantu membetulkan persepsi rakyat terhadap parti," katanya pada sidang media selepas mesyuarat tertutup dengan komponen Wanita BN, di sini semalam. Turut hadir, Naib Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Katanya, pertemuan tidak rasmi itu akan diadakan lebih kerap untuk memastikan program yang akan diadakan akan mencapai matlamat dan sampai ke akar umbi.

Dalam pertemuan pertama yang berlangsung di Ibu pejabat Umno itu, Rafidah berkata, semua ketua komponen Wanita BN memberikan pandangan terbuka dan telus untuk membantu merawat dan memperkukuh parti.

Perbincangan itu antara lain mendedahkan mengenai Wanita BN yang menerima hakikat terhadap pengabaian penggunaan internet sebagai satu daripada saluran komunikasi paling berkesan dan banyak digunakan ketika pilihan raya lalu.

"Banyak daripada tuduhan di blog tidak dikesan oleh Wanita BN sebelum pilihan raya, justeru kami tidak pernah melayan tohmahan yang dibuat," katanya.

Ketika ditanya mengenai laman web Wanita, khususnya Wanita Umno yang tidak cekap, beliau mengakuinya dan menjelaskan keadaan itu berlaku kerana mereka sibuk berkempen dan berjumpa orang ramai hingga tidak memperuntukkan waktu untuk melengkap maklumat dalam laman web berkenaan.

"Dulu saya tidak banyak masa, ada kalanya saya hanya sempat melayan SMS saja. Tetapi sekarang saya rasa saya ada lebih banyak masa untuk menjenguk laman web Wanita," katanya.

Beliau juga berkata, Wanita BN akan memberi tumpuan untuk mendekati golongan muda untuk membetulkan persepsi dan keyakinan mereka terhadap BN.

"Kalau ada pandangan negatif oleh golongan muda terhadap BN wajar kita perbetulkan kerana kita sedar pada masa lepas pelbagai tuduhan dalam blog, kita gagal menanganinya," katanya.

No comments

Powered by Blogger.