Era kebangkitan rakyat telah bermula
Suhaimi Taib
Wed | Apr 16, 08 | 12:55:49 pm MYT
HARI ini penulis cukup terharu dengan dua sambutan besar perhimpunan rakyat di Perak dan Selangor (Black 14). Dikira hampir 90,000 rakyat berhimpun di kedua-dua tempat tersebut termasuk di Stadium Perak (70,000) dan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung baru, Kuala Lumpur (20,000), kedua-duanya pada 14 April lalu.
Sambutan begitu besar ini menunjukkan era kebangkitan rakyat sudahpun bermula, imbauan kehendak rakyat pasca kemerdekaan negara mungkin terpalit juga dalam kebangkitan ini apabila soal membela nasib rakyat terpinggir menjadi agenda penting.
Menyaksikan siaran langsung perhimpunan di Perak di sebuah laman web dari Kelantan, menunjukkan bahawa komitmen kepimpinan rakyat negeri itu yang diterajui oleh menteri besarnya Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, untuk menjadikan sebuah kerajaan yang denyut nadinya sentiasa di hati rakyat.
Ketegasan kenyataan Menteri Besar Perak memaparkan bahawa kerajaan Pakatan Rakyat Perak bukan kerajaan mana-mana parti sama ada PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetapi ia adalah kerajan rakyat.
Sudah pasti segala-galanya untuk rakyat. Ir. Mohammad Nizar menyentuh isu bagaimana perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pun akan dipulangkan kepada rakyat, tidak lagi dilantik oleh kerajaaan negeri secara khusus.
Rakyat bebas bermesyuarat mengadakan pemilihan untuk mendapatkan pengerusi dan ahli jawatankuasa baru JKKK untuk mempastikan kepimpinan rakyat berfungsi menentukan masa depan mereka sendiri di bawah Pakatan Rakyat.
Mereka bebas memilih siapa sahaja yang layak menduduki jawatankuasa kerajaan di peringkat akar umbi itu sama ada orang politik atau orang yang tidak berparti termasuk ahli akademik.
Di Kelab Sultan sulaiman pula, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim memandang sinis soal ketuanan Melayu yang diperjuangkan Umno apabila ia tidak direalisasikan dalam erti kata sebenar walupun 50 tahun Umno menerajui negara.
Orang Melayu masih terpinggir mana kala yang melantak harta negara ialah golongan elite atau pemimpin Melayu tertentu.
"Saya orang Melayu dan saya akan pastikan Melayu lebih terbela nasibnya di bawah Pakatan Rakyat," katanya.
Bagaimanapun bukan nasib Melayu sahaja akan dibela tetapi nasib semua golongan terpinggir akan mendapat bahagian pembelaannya dalam kerajaan Rakyat di lima negeri termasuk Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Justeru, persoalan kaum dan kepentingannya secara khusus, tidak lagi menjadi suatu persoalan penting dalam dasar kerajaan Pakatan Rakyat tetapi pembelaan nasib golongan tertindas di akar umbi menjadi asas usaha kerajaan dalam melaksanakan pembangunan di negeri masing-masing tanpa mengira kaum.
Fokus inilah yang disukai rakyat kerana selama ini mereka cukup terpinggir dalam arus pembangunan yang dirancang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).
Anwar mengimbau semula peristiwa perhimpunan Melayu menubuhkan Umno di kelab tersebut. Penubuhan Umno adalah keputusan dibuat ketika itu tetapi berkumpulnya pemimpin-pemimpin Melayu termasuk Dr Burhanudin Al-Helmi, Ahmad Bustamam dan lain-lain suatu nostalgia sejarah yang sukar dipadamkan dan penulis amat tersentuh dalam isu ini.
Perjuangan ketika itupun kata Anwar bukan hanya semata-mata membebaskan bumi ini dari cengkaman pemerintahan Inggeris tetapi untuk membentuk ketuanan rakyat yang dominannya orang Melayu-Islam.
Bagi penulis institusi Raja perlu juga diberi hak untuk menentukan keutuhan perlembagaan negara sekali gus institusi itu terus dihormati semua lapisan rakyat berbagai kaum di negara ini.
Persoalan ini perlu sentiasa dibangkit dalam apa-apa agenda Pakatan Rakyat yang menyentuh persoalan penting itu selepas ini agar faktor sejarah pembentukan politik negara sentiasa ada kesinambungan sehingga Malaysia berjaya bernaung di bawah gagasan pemerintahan rakyat bukan dicengkam kepentingan beberapa kerat pemimpin Melayu tertentu dalam Umno. - mns
No comments
Post a Comment