Undang warga Israel: Malaysia tidak prihatin nasib rakyat Palestin - Teras



KUALA LUMPUR, 16 April (Hrkh) - Teras Pengupayaan Melayu (Teras) mengecam kenyataan Menteri Luar, Dato' Seri Dr. Rais Yatim yang membenarkan seorang pemain dan jurulatih bola sepak warga negara Israel dari pasukan Chelsea masuk ke Malaysia.

Presidennya, Azmi Abdul Hamid dalam kenyataannya kepada Harakahdaily melahirkan kekesalan dengan pendirian tersebut. Katanya, tindakan tersebut bukan sahaja tidak bertanggung jawab malah ia menunjukkan sikap pemimpin kerajaan yang sama sekali tidak menghiraukan penderitaan rakyat Palestin.

"Bukankah kini rakyat Gaza itu sedang dikepung, tidak dibenar keluar mahu masuk ke tanah air mereka sendiri, sehingga mereka sudah menderita berbulan-bulan dalam sebuah "penjara" terbesar di dunia. Kanak-kanak, wanita dan orang awam yang tidak berdosa sedang menghadapi risiko 'halocaust' yang terburuk dalam zaman ini sehingga mereka menghadapi petaka yang paling dahsyat.

"Apakah Menteri tersebut hilang rasa kemanusiaan dan keprihatinan persaudaraan Islam terhadap rakyat Palestin di Gaza yang kini sedang menghadapi kesengsaraan yang sangat buruk akibat kezaliman Israel?" soalnya.

Jelas Azmi, jika penderitaan rakyat Gaza itu masih tidak dirasai oleh menteri tersebut, beliau merumuskan bahawa pendirian Rais adalah suatu pengkhianatan terhadap perjuangan Palestin dan semua pencinta keamanan di dunia ini.

Tegasnya, Rais perlu tahu bukan sahaja sudah ada gerakan 'divestment' iaitu beberapa institusi pelaburan di Eropah sedang mengeluarkan pelaburan dari Israel sebagai tanda memboikot ke atas kezaliman Israel.

Tambahnya sudah ada beberapa suara dari golongan gereja di Eropah yang menentang tindakan zalim Israel terhadap Palestin.

Sehubungan itu beliau membantah sekeras-kerasnya dan mengutuk tindakan yang membenarkan warga Israel untuk masuk ke Malaysia hanya kerana alasan sukan dan politik tidak boleh dicampur-adukkan.

Jelasnya alasan bahawa sukan dan poltik tidak boleh diterima tidak boleh dijadi alasan. Kemarahan dunia terhadap kezaliman keselamatan China yang menembak mati puluhan rakyat di Tibet baru-baru ini menunjukkan betapa sukan Olimpik yang akan diadakan di negara itu kini sedang dipersoalkan imejnya.

"Sudah ada mesej tegas beberapa negara terhadap China sebagai tuan rumah sukan Olimpik bila dikaitkan dengan layanan mereka terhadap rakyat Tibet.

"Pendapat Rais bahawa Malaysia membenarkan sesiapa sahaja untuk masuk ke Malaysia walaupun tiada hubungan perdangan dan diplomatik tidak boleh terpakai kepada Malaysia kerana pasport Malaysia tidak boleh diguna untuk masuk ke Israel," katanya.

Katanya tindakan ini menunjukkan bahawa Malaysia tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel. Sehubungan itu katanya, tidak seharusnya rakyat Israel dibenarkan masuk ke tanah air ini.

Sehubungan itu beliau mendesak kerajaan supaya tidak sama sekali membenarkan pemain tersebut untuk masuk ke Malaysia serta menyeru supaya semua organisasi masyarakat di negara ini bangkit membantah pemain tersebut masuk ke negara ini. - mns

No comments

Powered by Blogger.