kehidupan tok guru nik aziz.....


"Dokumentari selama 43 minit tentang sehari dalam kehidupan Tuan Guru Nik Aziz ini sebenarnya telah wujud semenjak tahun 2002 lagi. Namun sengaja dihebahkan sekali lagi di TKO agar lebih ramai orang mengetahui tentang kisah Tuan Guru dan pentadbirannya di Kelantan.

http://www.youtube.com/watch?v=lsIZaezZGJ0



Nik Aziz berlakon? Tanya beberapa orang kawan ketika saya bercerita yang saya sedang membuat "Filem Tok Guru".

Tidak. Nik Aziz tak berlakon. Kami merakamkan kehidupan hariannya yang real. Yang betul-betul dilakukannya dalam hidupnya. Kami mengikuti pergerakannya. Kami menunggu dia melakukan sesuatu dan kami shoot. Atau ada sesuatu yang terjadi waktu kami mengikut dia, maka kami pun shoot.

Misalnya Nik Aziz keluar dari rumahnya untuk solat subuh sejurus selepas azan selesai dilaungkan di masjid. Biasanya sebelum pukul 6.00 pagi. Orang yang selalu sembahyang jemaah di masjid Pulau Melaka tahu "jadual" harian Nik Aziz ini. Maka filem yang mengisahkan "Seminggu Dalam Kehidupan Tok Guru" mesti rakam peristiwa atau pergerakan ini. Ini peristiwa penting.

Adegan ini mudah saja. Nik Aziz membuka pintu rumahnya, melangkah keluar, tutup pintu, berjalan ke tangga, pakai kasut, dan melangkah menuju ke pintu khas masjid di depan rumahnya.

Seperti telah saya ceritakan dalam satu tulisan sebelum ini, saya membatalkan rancangan untuk merakamkan peristiwa Tok Guru keluar rumah di suatu subuh, kerana saya belum memaklumkan kepada dia yang kami akan membuat rakaman itu, dan saya bimbang dia terkejut melihat lampu terang sebaik saja dia membuka pintu, yang mungkin mengakibatkan suasana damai dan syahdunya di awal subuh itu sedikit terganggu. Bukan bimbang dia tidak setuju kami shoot dia keluar rumah awal-awal subuh itu tanpa bersedia untuk dishoot.

Elok saya jelaskan beberapa perkara di sini. Sepanjang kami membuat penggambaran yang memfokus kepada dia, Nik Aziz tidak pernah membuat apa-apa persediaan untuk dirinya dishoot. Dan kami pun tidak pernah membincangkan perkara tersebut. Kami hanya memberitahu dia sekali saja di awal sesi, dan selepas itu kami akan terus saja membuat shooting tanpa memberitahu dia lagi selama beberapa hari sesi tersebut. Pernah sampai 12 hari. Kami mendapatkan maklumat mengenai jadual pergerakannya dari setiausahanya atau pegawai peribadinya, maka kami pun ikut dan shoot.

Kami tak pernah berbincang dengan Nik Aziz mengenai apa yang perlu dibuatnya untuk penggambaran yang akan kami lakukan, kecuali dalam satu peristiwa (yang akan saya ceritakan nanti).

Misalnya adegan dia keluar rumah untuk solat subuh. Kami boleh bincang dengannya untuk penggambaran adegan tersebut, supaya tidaklah perlu kami bertolak ke Pulau Melaka seawal pukul 5.00 pagi beberapa kali, semata-mata hendak menangkap satu detik dimana pintu depan rumah Menteri Besar itu terbuka, dan beliau melangkah keluar untuk berjalan ke masjid. Misalnya kami boleh berpakat dengan dia supaya pintu itu dibukanya tepat pada pukul 5.55. Maka bolehlah kami membuat persiapan lampu dan sebagainya, dan menunggu detik 5.55. Dan kalau terjadi yang tidak memuaskan, maka boleh diminta supaya beliau mengulanginya sekali lagi.

Dan pada pagi yang saya batalkan penggambaran adegan itu saya boleh saja tidak membatalkannya, dengan meminta beliau bekerjasama untuk naik sekali lagi ke dalam rumahnya, dan buka semula pintu itu dan melangkah keluar sekali lagi, khas untuk penggambaran kami.

Tetapi tidak. Kami tak buat begitu. Kami tak mahu ganggu perjalanan kehidupan Tok Guru itu. Kami hanya hendak merakamkan 'apa' yang sebenarnya dalam kehidupan Tok Guru. Kalau kami terpaksa datang beberapa kali pada pukul 5.00 pagi, kami akan lakukannya.

Satu contoh yang agak klasik ialah adegan Tok Guru naik perahu (bot) menyeberang Sungai Dabong pada petang Isnin 22 Oktober 2001. Pagi itu Menteri Besar merasmikan pelancaran Bulan Membaca dan Draf Pembangunan Daerah Jeli, di bandar Jeli. Kemudian beliau melawat kolam air panas di pinggir lebuhraya Timur-Barat. Beliau dijadualkan menyeberangi Sungai Dabong selepas asar, untuk satu majlis perasmian Pasti pada malamnya.

Oleh kerana kenderaan tidak boleh ikut menyeberang, dan masa pun masih panjang, kami fikir lebih baiklah kami pergi ke Dabong ikut jalan ke Gua Musang. Nak ikut menyeberang sungai bersama Menteri Besar, nanti kami tidak ada kenderaan di Dabong, dan tentulah akan menyusahkan pergerakan kami. Maka kami pun 'berundur ke belakang', balik ke Machang, pergi ke Kuala Kerai dan terus menghala ke Gua Musang, kerana sebelum sampai ke Gua Musang terdapat simpang ke Dabong.

Direngkaskan cerita, kami sampai ke Dabong dan terus mencari pengkalan perahu. Sebaik saja kami sampai di depan pengkalan, kelihatan Tok Guru sedang hendak naik Pajero. Ertinya kami telah terlepas detik-detik yang kami kejar sejauh hampir 200 kilometer untuk mengambil gambar Tok Guru naik perahu menyeberang sungai itu. Kami melihat saja Pajero yang membawa Tok Guru melintas di depan kami.

Saya pandang Nasir (Nasir Jani - pengarah filem), Nasir pandang saya. "Terpaksalah kita tunggu Tok Guru balik lepas ceramah malam nanti," kata Nasir.

Dia pun mula memeriksa peralatan lampu dan kabel yang ada dalam van, sama ada mencukupi atau tidak untuk mengambil gambar Tok Guru menyeberang sungai di waktu tengah malam. Lebar sungai itu agaknya ada 100 meter. Peralatan lampu yang ada hanya dua 2K, satu red head dan satu sun gun.

Saya pula diam-diam berfikir: bagaimana kalau saya minta Tok Guru menyeberang sekali lagi? Maksudnya dia terpaksalah menyeberang balik dulu ke seberang sana, dan kemudian menyeberang semula ke seberang sini, khas untuk penggambaran kami. Ertinya dia perlu 'berlakon'lah sekejap. Bagaimana? Saya bertanya kepada fikiran saya sendiri. Hanya itu sahaja caranya. Kami berkejar datang ke sini pun hanya untuk ambil shot itu sahaja. Sekarang shot itu telah terlepas. Tak akan ada lagi shot Tok Guru naik perahu menyeberang sungai.

Shot Tok Guru naik perahu ini penting. Sangat penting untuk filem yang sedang kami siapkan. Suasananya berbeza daripada shot-shot lain. Ada sedikit kelainan. Sekurang-kurangnya dia memberi sedikit kepelbagaian kepada aksi Tok Guru. Ini sangat penting buat kami. Tapi ia telah terlepas. Maka apa salahnya untuk yang ini kami meminta Tok Guru 'berlakon' sekejap! Bukannya berlakon apa - hanya mengulangi apa yang telah dibuatnya sekejap tadi sahaja. Macam-macamana pun tak apa asalkan Tok Guru naik perahu menyeberang Sungai Dabong. Itu saja.

Patutkah atau tidak saya meminta dia mengulangi aksi menyeberang sungai itu sekali lagi! Saya berfikir seorang diri diam-diam.

Bukannya lama. Ia tak akan mengambil masa lebih daripada 20 minit. Dan setahu saya Tok Guru pun tak ada apa-apa program penting petang itu. Kata mereka, dia hanya akan berehat di Rest House. Saya percaya kalau saya minta, Tok Guru akan bersetuju untuk bekerjasama. Tetapi saya sendiri berasa sangat berat untuk meminta demikian.

Selama ini Tok Guru begitu sekali memberikan kerjasama dan understanding kepada kami. Tidak pernah walau sekali pun dia menegur kerja-kerja dan cara kami menjalankan kerja. Tidak pernah sekali pun dia mengganggu kerja kami. Dia tahu kami membuat penggambaran (kadang-kadang ada juga yang dia tak tahu) dan dia melangsungkan pergerakannya seolah-olah kami tidak ada di situ, atau seolah-olah dia tidak tahu kami sedang merakamkan pergerakannya. Ini sungguh fantastik. Inilah kerjasama yang paling berharga diberikannya kepada kami. Kalau itu hendak dikatakan dia 'berlakon', maka itulah dia. Tetapi tak mungkin itu boleh dikatakan berlakon, kerana kalau kami tak ada di situ pun begitulah juga pergerakannya ('lakonan'nya).
ikuti kisah selanjutnye.......

No comments

Powered by Blogger.