kepada puan doktor yang merapu kat tv3 semalam...solat tiang agama



Saya pasti isu ini akan mengundang seribu-satu ulasan dan komentar dari pelbagai pihak dan sekali lagi Islam menjadi fokusnya. Pasti juga sahabat-sahabat kita dari kalangan masyarakat bukan Islam juga akan tumpang memberi pandangan, akhirnya Islam sekali lagi menjadi pertikaian akibat tindak-balas orang Islam sendiri.

Allah swt berfirman dalam surah an Nisa ayat ke 103:

"Sesungguhnya solat itu satu kewajipan yang ditentukan waktunya ke atas orang-orang mukmin."

Solat ini nampaknya ringkas dan ringan namun mengerjakannya secara konsisten tanpa gagal adalah satu tuntutan yang lazimnya tidak berjaya dikerjakan secara sempurna dikalangan orang-orang Islam. Allah swt befriman dalam surah al Ankabut ayat ke 45:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”

Mereka yang berjaya mendirikan solat secara konsisten mampu memiliki perisai yang jika pun tidak melindungi mereka secara langsung sekurang-kurangnya mengingat-ingatkan mereka apabila sahaja cenderung mahu melakukan perkara yang jahat. Bayangkan jika seluruh umat Islam tegak dengan kekuatan ini.

Saya yakin itulah niat guru agama di sebuah sekolah rendah di Damansara apabila menayangkan kepada anak-anak muridnya klip video kematian. Sekarang pun sekolah sudah diambang percutian, kanak-kanak sudah tidak mengikuti pelajaran lagi di sekolah, masing-masing “free” dan dalam kesempatan inilah pelbagai program dan aktiviti diatur untuk mengisi kelapangan itu termasuklah bagi guru agama tadi menayangkan klip ini dengan harapan memotivasikan anak-anak muridnya agar mengerjakan solat.

Suka tak suka, kita perlu akui bahawa ramai ibu-bapa gagal mendisiplinkan anaknya untuk solat secara konsisten. Malah ada ibu-bapa pun gagal. Kerana itu semua pihak dari pemimpin sampailah ke guru agama bertanggungjawab menasihatkan semua pihak agar tidak meninggalkan tanggungjawab ini.

Tiba-tiba seorang ibu membuat laporan polis di Balai Polis Damansara mendakwa bahawa guru agama anaknya di sekolah telah menayangkan video yang “menyeramkan” ini sehingga telah menganggu pemikiran anaknya. Kata beliau anaknya ketakutan sehingga menangis-nangis ketika mahu tidur malam akibat menonton video ini.

Saya tidak pasti tetapi mungkin anak Puan Doktor yang membuat laporan itu benar-benar terganggu akibat menonton klip berkenaan. Mungkin budak itu memang lemah semangat. Tetapi bagi saya realitinya anak-anak kita hari ini terdedah dengan ratusan ribu klip dan video yang berbagai bentuk, hiburan, seks, keganasan (contohnya dalam filem Bond terbaru “Quantum of Solace”, lengkap hiburan, seks dan keganasan dalamnya), kalau tidak melalui vcd yang bersepah, melalui internet dan lain-lain media.

Kanak-kanak sekecil tahun 1 hari ini sudah terdedah dengan semua ini lantaran kemajuan ICT dan TV kabel serta satelit. Kalau tidak kerana lemah semangat, saya rasa tidak salah malah wajar anak-anak kita diperingatkan tentang mati dan akibat meninggalkan solat. Semoga mereka insaf dan sedar, semoga terangsang minda mereka untuk mendirikan solat secara konsisten.

Kalau pun Puan Doktor yang membuat laporan polis tadi merasakan tidak wajar klip video itu ditayangkan kepada anaknya, mengapa tidak diajak berunding? Bukankah yang terlibat ini guru agama anak kita, besar sangatkah jenayahnya sehingga mahu diseret pihak polis bersekali?

Saya bimbang masyarakat kita semakin bercelaru dan porak-peranda mindanya. Akhirnya kita semakin jauh dan terpisah dari agama, akhirnya agama menjadi pilihan, ada bab yang perlu ditonjolkan, ada yang perlu digugurkan. Ia boleh dipilih-pilih. Mahu solat, boleh salot, kalau tak mahu pun boleh. Masyarakat jenis apakah yang mahu kita lahirkan nanti? Sama-samalah kita fikirkan.
roslan sms

jadilah ibu bapa yang berfikiran akhirat

No comments

Powered by Blogger.