Konsep ketuanan Melayu kayakan segelintir pihak: Anwar


IPOH: Konsep ketuanan Melayu yang diperjuangkan sesetengah pihak hanya memberi faedah dan memperkayakan segelintir orang Melayu saja di negara ini, kata Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya percaya bahawa Melayu dan Bumiputera mempunyai tempat di negara ini dan mereka tidak boleh dipinggirkan. Kita akan melakukan segala yang mungkin bagi membantu orang Melayu dan Bumiputera bersama-sama dengan orang Cina dan India.

"Namun untuk memperkatakan mengenai ketuanan Melayu di mana kita hanya memperkayakan segelintir pihak tetapi sebilangan besar orang Melayu lain terbiar dalam keadaan menyedihkan, adalah sesuatu yang tidak boleh diterima," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan eksekutif di Bangunan Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau berkata kenyataan bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim baru-baru ini bahawa konsep ketuanan Melayu adalah satu kegagalan yang membawa keburukan kepada kaum itu perlu dikaji secara teliti oleh semua pihak.

Zaid dalam ucapannya pada persidangan LawAsia di Kuala Lumpur minggu lalu, berkata konsep itu juga menyebabkan berlaku pembaziran sumber, tenaga dan masa yang penting dalam menangani isu sebenar negara.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim menyifatkan kenyataan Zaid itu sebagai keterlaluan manakala Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar pula mahu Zaid memohon maaf kepada orang Melayu. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.