Laksanakanlah Islam bagi yang berkuasa
Menurut berita terkini The Star Online MB Perak Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin memaklumkan bahawa beliau akan menyerahkan kepada badan-badan dan NGO Islam untuk membincangkan bagaimana untuk memperkenal dan melaksanakan undang-undang Islam di negeri tersebut khasnya yang berkaitan dengan maksiat meminum arak dan judi dikalangan umat Islam.
Menurut Nizar beliau mengakui bahawa adalah sukar untuk menguatkuasakan undang-undang Islam di Perak kerana ianya akan melibatkan perubahan undang-undang dalam pelbagai peringkat.
Kedudukan politik di Perak dengan PAS hanya memiliki 6 daripada 59 kerusi DUN juga mungkin merupakan kekangan ke arah cita-cita itu walaupun Nizar memegang jawatan MB di Perak.
Orang-orang PAS rata-rata memahami dan akur akan kedudukan ini. Cuma soalnya bagaimana dengan rakan-rakan kita dalam Umno yang meneraju negeri-negeri lain? Tidak terdetikkah dihati mereka masing-masing untuk memikir dan melaksanakan peraturan dan hukum-hukum Allah ini sedangkan mereka memiliki kedudukan yang lebih selesa berbanding Nizar?
Bagaimana dengan MB Johor, Perlis, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, KM Melaka?
Hukum-hakam Islam ini wajib diperjuang dan dilaksanakan bukan hanya oleh PAS tetapi oleh semua umat Islam khasnya yang memiliki kuasa pemerintahan.
Dalam hal ini kelihatan hanya PAS sahaja yang sibuk-sibuk dan prihatin akan keperluan untuk memartabatkan Islam jika tidak pun ke atas semua rakyat sekurang-kurangnya ke atas rakyat yang beragama Islam. Bagaimana dengan rakan-rakan lain? Apakah hukumnya hanya wajib ke atas orang-orang PAS sahaja?
Kita mendoakan semoga semua umat Islam di Malaysia diberikan hidayah dan kekuatan oleh Allah swt untuk melaksanakan apa yang telah disyariakan oleh Nya dan Rasul Nya s.a.w, semoga kita selamat dan sejahtera di bawah naungan dan petunjuk Nya.
roslan sms
No comments
Post a Comment