perangai ahli parlimen kurang sopan

Larangan Merokok: Pandikar Amin Setuju Tempatkan Pegawai Penguatkuasa Di Parlimen

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata beliau tiada halangan sekiranya ada cadangan untuk menempatkan pegawai penguatkuasa Kementerian Kesihatan di bangunan Parlimen bagi memastikan peraturan larangan merokok, dikuatkuasakan.

Katanya jika merokok merupakan satu kesalahan, ia seharusnya dikuatkuasakan termasuk di bangunan Parlimen.

"Jika merokok merupakan satu kesalahan di Parlimen, sudah tentu ia perlu dikuatkuasa," katanya ketika ditanya mengenai cadangan menempatkan pegawai penguatkuasa itu, di sini, Rabu.

Bangunan Parlimen sebelum ini telah diwartakan sebagai kawasan larangan merokok sejajar dengan Peraturan 11 (1) (h) Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004, yang jelas menyatakan bahawa tiada seorangpun boleh merokok di dalam mana-mana premis kerajaan.

Kementerian Kesihatan baru-baru ini juga telah mengumumkan bahawa semua kaki lima kompleks beli-belah termasuk restoran dan kafe terbuka di luar premis berkenaan diisytiharkan sebagai kawasan larangan merokok.

Mereka yang didapati merokok di kawasan berkenaan boleh dikompaun maksimum RM5,000 atau denda RM10,000 atau penjara dua tahun jika sabit kesalahan.

Mengakui beliau juga bekas perokok, Pandikar Amin berkata kejayaan untuk berhenti merokok bergantung kepada kemahuan dan kesungguhan diri perokok itu sendiri.

"Merokok ini di dalam kawalan anda dan hanya dengan kemahuan, anda dapat berhenti merokok," katanya.

Bagi Pandikar Amin, keputusan untuk berhenti merokok diambil sekelip mata selepas menonton satu kempen anti-merokok yang disiarkan di televisyen.

"Selepas menontonnya, saya fikir ia merupakan satu perkara di dalam kawalan saya, bibir saya dan saya memutuskan untuk berhenti, dan saya buat serta merta," katanya.

Katanya sehingga kini, sudah dua tahun beliau berjaya meninggalkan amalan yang merugikan wang itu.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.