Pertembungan klasik Arsenal, United-malaysiakini
LONDON - Arsene Wenger menganggap pertemuan Arsenal menentang Manchester United hari ini sebagai satu daripada pertembungan penting melibatkan empat gergasi England yang bakal menentukan kejuaraan Liga Perdana England musim ini.
Pendirian pengurus The Gunners itu dibuat berdasarkan statistik musim lalu yang menyaksikan United berjaya mengumpul 13 daripada 18 mata ketika berdepan tiga seteru utamanya iaitu Liverpool, Chelsea dan Arsenal.
Situasi tersebut membolehkan United muncul juara Liga Perdana England musim lalu.
Namun bagi Arsenal, aksi di Stadium Emirates malam ini bagaikan aksi hidup dan mati selepas mereka mencatat tiga kekalahan musim ini selain ketinggalan enam mata di belakang Chelsea selaku pendahulu.
"Kami perlu kembali beraksi seperti mana yang kami mahu lakukan. Semangat tinggi juga perlu ada tanpa rasa tekanan," jelas Wenger.
"Kami tewas kepada Stoke, tetapi kami hanya ketinggalan enam mata di belakang pendahulu. Bagi saya, saingan masih awal dan kami memiliki kualiti untuk kembali bangkit.
"Secara peribadi, pertemuan dengan United adalah satu perlawanan yang besar dan perlawanan esok (hari ini) tidak ada bezanya.
"Namun harus diingat, mereka (United) juga sekadar mencatat keputusan seri dengan Celtic (pada aksi Liga Juara-Juara) dan mungkin perlawanan minggu ini akan menjadi hebat."
|
|
Sementara itu, bintang tengah United, Ryan Giggs tetap percaya bahawa Arsenal masih menjadi ancaman kepada pemburuan kejuaraan liga musim ini.
"Apabila kamu lihat kualiti yang dimiliki Arsenal, saya tidak fikir kami boleh tamatkan harapan mereka di Stadium Emirates esok (hari ini)," jelas pemain veteran United itu.
Begitupun, Giggs menyedari Arsenal ketika ini berdepan masalah utama melibatkan krisis kecederaan dan penggantungan.
Penyerang utamanya, Emmanuel Adebayor terlepas aksi selama dua minggu gara-gara kecederaan buku lali sementara Robin van Persie digantung perlawanan selepas aksi di Stoke.
Dengan Theo Walcott masih berada dalam keraguan, alternatif terbaik Wenger adalah dengan menurunkan penyerang Denmark, Nicklas Bendtner untuk bergandingan bersama Carlos Vela di jentera serangan.
- AFP
No comments
Post a Comment