Pakatan Abdullah-Khairy perlu minta maaf kepada Pakatan Rakyat
Ketika anak Tun Hussein dan cucu Onn Jaafar minta maaf lantaran keterlanjuran beliau menjulang keris Panca Warisan, ada pelbagai pro dan kontra mengenainya. Umno berkarat melihat sikap Hisham itu sebagai menghina Umno yang terkenal dengan sikap angkuhnya.
Bagi mereka, jika meminta maaf, hal itu bererti semakin menonjolkan salahnya dan sebagai pemerintah, segala tindakan mereka betul belaka dan tak akan pernah salah sama sekali.
Untuk kesekian kalinya, marilah diterima maaf Hisham itu terlebih dulu tanpa persoalkan niat nawaitu sama ada beliau ikhlas atau tidak ketika meminta maaf itu. Ini kerana, ajaran agama memutuskan, "Kita berhukum dengan hal lahir dan Allah berhukum ke atas hal yang batin."
Apa-apa yang terzahir dan tersurat ialah ucapan maaf. Samada Hisham ikhlas atau tidak, itu urusan antara beliau dengan Tuhan. Pokoknya, kalimat maaf telah dihulurkan. Paling penting sekarang, bukanlah persoalan sama ada Hisham ikhlas atau tidak.
Yang paling mustahak ialah bilakah Khir Toyo mahu meminta maaf atas keterlanjurannya menghadiahkan penyapu kepada pegawai awam di bawah pentadbirannya dulu? Dan, bila masanya PM Abdullah dan menantunya Khairy mahu minta maaf? Ketua Pemuda Umno, Hisham telah pun meminta maaf. Naib Ketua Pemuda pula, bilakah gilirannya meminta maaf?
Dalam kekalahan pilihan raya, 'Pakatan Abdullah-Khairy' itulah yang perlu dipersalahkan dan kedua-dua gandingan mertua dan menantu itulah yang perlu minta maaf kepada umat Melayu, rakyat Malaysia khasnya kepada parti mereka sendiri; Umno.
Kalau dibedah siasat, boleh dikatakan bahawa dalam pilihan raya lalu, bukanlah Barisan Rakyat yang melawan Barisan Nasional. Hakikatnya, keseluruhan rakyat telah menentang 'Pakatan Abdullah dan Khairy'. Rakyat bukannya mahu melawan BN dan Umno sangat.
Tanpa kelemahan Abdullah yang sentiasa tunduk akur dan sujud melutut terhadap arahan si ahmak sombong si Khairy, nescaya Umno dan parti komponen BN tidak menderita kekalahan sebegini. Tetapi, setakat ini tiada isyarat yang jelas terpancar bahawa pakatan mertua-menantu ini akan minta maaf.
Abdullah dan Khairy perlu membaca Hikayat Abdullah
Orang-orang seperti Abdullah dan Khairy ini pernah muncul di dalam lipatan sejarah kejatuhan bangsa Melayu. Abdullah dan Khairy sepatutnya membaca Hikayat Abdullah yang telah memperihalkan sikap bangsawan Melayu pada era penjajahan Belanda dan Inggeris.
Munsyi Abdullah (suntingan Hamzah Hamdani) telah menulis dalam bab 25 bahawa ada seorang peranakan Keling di Melaka bernama Abdul Kadir bin Ahmad Sahib yang amat dikasihi Sultan Husin Syah Singapura dan hal itu menjadi kecemburuan dalam kalangan pembesar istana. Kisah ini seakan-akan sama dengan pakatan Abdullah dan Khairy.
"Abdul Kadir sangat dipercayai, dan dia tinggal di istana seperti ahli keluarga sultan. Keadaan itu sangat sumbang pada pandangan segala orang besar-besar dan kaum keluarga Sultan. Mereka berasa cemburu kepada Abdul Kadir.
"? Sejak ada Abdul Kadir, dialah yang dilebihkan dibandingkan menteri dan orang-orangnya. Dialah yang diminta fikiran. Apa katanya, itulah kata Sultan. Oleh sebab itu, urusan Sultan menimbulkan rasa tidak percaya dalam kalangan orang besar-besarnya," tulis Munshi Abdullah.
Oleh itu, telah wujud semacam pakatan konspirasi untuk membunuh Abdul Kadir. Tetapi, dalam kes Khairy, mungkin tidak sampai ke tahap itu lagi. Tapi, ada desiran berita angin yang berhembus kencang menyebutkan bahawa 'pembunuhan' Khairy bukanlah dengan cara pertumbuhan darah, melainkan dengan cara 'membunuh' karier dan suaranya.
"Sebab itulah sekarang ini, suara-suara Khairy tidak mendapat tempat dan jarang-jarang ada di dalam media kini," kata seorang ahli Umno.
Abdul Kadir pernah cuba dibunuh, tetapi beliau berjaya diselamatkan. Lalu, Abdul Kadir dikirim ke Bandari Hilir, Melaka untuk menyelamatkan beliau. Dalam tempoh berjauhan dengan Abdul Kadir, Sultan tak tahu berbuat apa-apa, lalu sultan pergi Melaka menemui Abdul Kadir di sana. Ketika itulah Abdul Kadir menjadi senang semula.
"Pada masa itu, Abdul Kadir seperti sultan sebab apa katanya itulah kata sultan. Di istana Abdul Kadir bebas keluar masuk seperti di rumahnya sendiri. Wang yang diterima oleh Sultan sebanyak seribu tiga ratus ringgit sebulan, dipegang oleh Abdul Kadir.
"Baginda berhutang beratus-ratus pada setiap bulan, dan bergadai beribu-ribu ringgit. Barang-barang emas hampir berpikul, intan hampir beraup, kain songket, dan sebagainya berkodi, semuanya digadaikan dengan bunga yang tidak berpatutan ?" kata Munsyi lagi.
Kedudukan Khairy Jamaludin kepada mertuanya Abdullah Ahmad Badawi mungkin agak sama dengan makam Abdul Kadir dengan Sultan Husin Syah di Singapura pada ketika itu di mana Munsyi Abdullah menambah:-
"Pada ketika itu, sesiapa yang hendak bertemu dengan Abdul Kadir seperti menghadap Sultan. Semuanya menyembah dan duduk menghadap dia. Tidak pernah dia berjalan kaki hanya berkereta dan naik kuda, siang malam. Kadang-kadang dia berpakaian cara Keling dan kadang-kadang berpakaian cara raja-raja Melayu.?
Dalam suatu peristiwa Abdul Kadir pernah ditikam lalu beliau sakit dan akhirnya sembuh seperti sediakala. Lalu, Sultan bertindak menghalau orang-orang Melayu di atas istana itu. Hanya yang tinggal adalah kalangan orang-orang Keling sahaja.
Abdul Kadir, kata Munsyi, telah dikurniakan gelaran Tengku Muda Abdul Kadir selepas kejadian itu. Bimbang peristiwa itu berulang, baginda lalu menyewa sebuah rumah untuk Abdul Kadir di Kampung Belanda di Melaka.
"Tidak lama kemudian, terdengarlah khabar menyatakan Sultan telah menikahkan puterinya yang bernama Tengku Andak dengan Abdul Kadir. Abdul Kadir sudah beristeri dan mempunyai enam tujuh orang anak. Orang Melaka kehairanan besar mendengar khabar itu," demikian kata Munsyi lagi.
Mengulas kejadian itu, Munshi Abdullah menyempurnakan ulasannya sebagai berikut:
"? Sungguh hairan! Lihatlah bagaimana seorang sultan yang berketurunan mulia dan berkuasa, yang mendapat gaji bulanan seribu tiga ratus ringgit, memiliki istana dan rakyat meninggalkan semuanya itu!
"Baginda membawa diri dari sebuah negeri ke sebuah negeri lain. Puterinya pula dikahwinkan dengan seorang Keling kebanyakan, yang sudah beristeri dan mempunyai enam tujuh anak!
"Yang kutahu, dalam undang-undang raja-raja Melayu ataupun raja-raja orang putih ataupun raja-raja Cina, tidak layak dan bukan jodohnya ataupun kupu darah orang kebanyakan berkahwin dengan keturunan raja-raja," tulis beliau lagi.
Munshi Abdullah akhirnya menyifatkan perihal perkahwinan Abdul Kadir bersama puteri sultan dan eksploitasi Abdul Kadir kepada sultan sebagai bahaya yang datang secara tiba-tiba.
"Namun, semuanya itu mudah dilupakan sebab balasan Allah kepada manusia bukanlah dengan paluan kayu ataupun sesahan rotan, melainkan perlahan-lahan tanpa disedari dan tidak diketahui sebabnya, tiba-tiba sahaja datang sesuatu bahaya," tambah Munshi.
Laluan perkahwinan antara Khairy dan puteri Abdullah, iaitu Nori menambahkan lagi hal eksploitasi Khairy ke atas Abdullah sepertimana Abdul Kadir memperlakukan eksploitasi ke atas Sultan Husin Syah di Singapura itu.
Hal inilah yang menimbulkan kebencian ke atas Khairy dalam kalangan pembesar Umno, aktivis Umno, simpatisan Umno, dan orang atas pagar yang masih mengundi Umno.
Akhirnya, mereka tidak tahu bagaimana mahu membuang Khairy. Mereka mungkin ingin membunuh Khairy sepertimana wujudnya pakatan pembesar Singapura yang ingin bunuh Abdul Kadir itu. Bukannya mereka tidak boleh dan tidak mahu bunuh Khairy. Tapi, mereka takut sejarah akan berulang seperti mana Sultan Husin Syah menyingkirkan mereka melainkan peranakan Keling sahaja.
Lagi pula, mereka perlu berhati-hati kerana, sedangkan pelan membunuh Altantuya yang cukup rapi itu pun boleh terbongkar, inikan pula gerakan membunuh si Khairy. Abdullah tentu akan cari pembunuh Khairy sehingga ke lubang cacing. Kalau setakat Sharlinie saja yang hilang, Abdullah tiadalah susah hati. Dia hanya pentingkan dirinya serta keluarganya saja dan bukannya keseluruhan rakyat Malaysia dan bumi Allah ini.
Jadi, apabila pembesar Umno, simpatisan Umno tak berjaya membunuh Khairy, tentulah mereka berusaha menyingkirkan Khairy. Ini sulit juga sebab Khairy Naib Ketua Pemuda. Lalu, apakah pilihan yang ada jika usaha membunuh dan menyingkirkannya terus gagal?
Akhirnya, dalam keadaan serba-salah, menyampah dan dendam dengki yang berbaur dan bergulai dalam hati, mereka bertindak 'membuang' Umno sekali gus kerana Khairy serta Umno itu sudah menyatu sebagai Abdul Kadir yang seakan menyatu dengan kuasa istana dengan mempengaruhi Sultan Husin Syah, Singapura itu.
Lantaran permasalahan dendam, dengki, busuk hati yang bermuara daripada eksploitasi si Abdul Kadir ke atas istana itu, akibatnya Singapura tiada bersultan sehingga kini. Apakah Abdullah Ahmad Badawi mahukan kuasanya hilang disebabkan beliau bertindak seperti sultan yang menyerahkan lehernya untuk disembelih orang luar dari eksekutif, pembesar kerajaan?
Abdullah tidak hilang takhta kerana beliau bukan sultan. Tapi, jika dia masih bergantung harap kepada Khairy, meminggirkan pendapat ahli eksekutif dan penasihat sebenar dalam kerajaan, maka tidaklah mustahil beliau akan menjadi Ketua Pembangkang dalam Parlimen setelah menjadi Perdana Menteri. Semua ini tidak mustahil berlaku!
Wahai pakatan Abdullah dan Khairy, segeralah bermohon maaf kepada rakyat yang telah menyatu suara dengan Pakatan Rakyat. Jangan diulangi kesilapan Sultan Husin Syah dan Abdul Kadir yang mengeksploitasi istana itu.
Sejarah akan berulang. Jika kekuasaan sultan sudah tiada di Singapura, tidak mustahillah jawatan Perdana Menteri boleh bertukar menjadi Ketua Pembangkang. Kehilangan Pulau Pinang, tempat kelahiran Abdullah sepatutnya menjadi isyarat bahawa kuasa Abdullah itu akan hilang sedikit demi sedikit.
Tetapi sehingga ini Abdullah masih belum kebah daripada membuat kesilapan yang sama dan buktinya, sehingga kini Abdullah dan Khairy masih belum mahu minta maaf! Dewan Rakyat telah bersidang dan tunggulah Pakatan Rakyat membuat kejutannya, Insya Allah.
Semua ini akan terjadi berpunca daripada sikap Khairy yang sombong sepertimana watak Abdul Kadir peranakan Keling yang mengeksploitasi mertuanya sendiri, iaitu Abdullah. Sama ada Abdullah sedar isyarat ini tidaklah diketahui.
No comments
Post a Comment