adakah kerajaan yang paling banyak rasuah guna duit rakyat?


KUANTAN: Jumlah suapan rasuah bagi sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun ini mencecah RM45 juta, kata Ketua Pengarah Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Ahmad Said Hamdan.

Berucap pada perasmian Seminar Kepemimpinan Berintegriti Ketua-ketua Jabatan Negeri Pahang di sini hari ini, beliau berkata bagi tempoh itu juga, 548 individu ditahan terdiri 252 pegawai dan kakitangan kerajaan serta 296 sektor swasta dan orang awam, terbabit rasuah.

“Apa yang menariknya berdasarkan kepada statistik tangkapan adalah terdapat perubahan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini di mana jumlah pegawai awam yang ditangkap atas kesalahan jenayah rasuah menurun berbanding sektor swasta atau orang awam,” katanya.

Bagi tempoh berkenaan,jumlah harta yang disita ialah RM8.8 juta manakala denda yang dikutip berjumlah RM1.3 juta.

“Sepanjang tempoh itu juga, kita menerima 13,669 maklumat iaitu peningkatan 1,262 maklumat atau 10 peratus berbanding tahun lalu. Daripada jumlah itu, 1,235 kertas siasatan dibuka yang membabitkan 548 individu,” katanya

Bercakap kepada pemberita kemudian, Ahmad Said berkata jumlah pegawai dan anggota Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan ditambah daripada 1,000 orang kepada seramai 5,000 orang menjelang 2012 selaras dengan peningkatan maklumat berhubung jenayah rasuah serta cabaran lain yang perlu ditangani badan itu.

Katanya tugas pegawai BPR bukan sahaja mencabar dalam usaha mengumpul maklumat berhubung jenayah rasuah malah mereka terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk ugutan bunuh.

“Saya sendiri pernah menerima ugutan bunuh bukan pada diri, malah pada keluarga, termasuk pernah menerima keris berhubung kes rasuah.

Seminar yang dihadiri 160 peserta itu dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob. - Bernama

No comments

Powered by Blogger.