berambus khairy~malaysiakini




Para pelawat setia blog ini tahu saya cukup anti Khairy Jamaluddin (KJ) yang terlihat terlalu banyak penglibatan negatif dalam kerajaan, baik secara langsung atau tidak langsung. Namun, saya tetap merasa puas bila melihat beliau layak bertanding Ketua Pemuda UMNO atas dasar:


  1. Ia memberi peluang untuk mengembalikan wang yang sudah dikaut beliau dan pengikutnya kepada segolongan mangsa, baik para perwakilan mahupun peniaga kecil dan besar hasil tempias kempennya kelak.

  2. Sesuai dengan konsep menentang sistem kuota pencalonan UMNO yang sedia ada, kita mestilah memberinya ruang untuk bertanding juga, walaupun tidak berapa suka.

  3. Setidak-tidaknya, jumlah pencalonan KJ membuktikan ada juga Pemuda yang menyokongnya. Ini sering menjadi tanda-tanya semenjak beliau menang tanpa bertanding ke jawatan Naib Ketua Pemuda pada pemilihan 2004.

Tetapi nampak gaya kempen KJ bermula dengan kedudukan yang membingungkan. KJ telah mengemukakan cadangan yang debat terbuka diadakan di antara calon-calon KP. Ini cadangan menarik, tetapi hujah-hujah yang beliau kemukakan untuk menyokong cadangan beliau sedikit aneh. Komentar saya berikut merujuk laporan akhbar Utusan ini. Komentar saya:

  1. KJ menyatakan yang beliau mahukan debat tersebut kerana beliau ingin calon-calon menjelaskan 'prinsip perjuangan' masing-masing. Ini membingungkan saya kerana setahu saya, kebanyakan perwakilan Bahagian mahupun ahli Pemuda sekalipun tahu sudah prinsip perjuangan setiap calon.

    Datuk Mukhriz Mahathir (DMM) mahu Pemuda Berani Berubah dari dalam, baik dari segi sikap, keterampilan mahupun tindak-tanduk dan siap mencabar supaya Peralihan Kuasa berlaku, malah dipercepatkan lagi. Datuk Seri Khir Toyo (KT) mahukan Pemuda Berani juga, tetapi lebih mengetengahkan keperluan jentera Pemuda lantang mencabar pembangkang untuk menang kembali 5+1.

    KJ pula mahu Setiakawan... Setiakawan... OK lah, mungkin KJ perlu memperjelaskan prinsip perjuangan beliau sendiri, tetapi bukankah KJ berkata baru-baru ini yang beliau ingin menyambung zaman ke'gemilangan' Pemuda di bawah kepimpinan Datuk Hishamuddin Hussein dan beliau yang sedia ada? Ke'gemilangan'... hmmm...

    Mungkin ini masalah KJ sendiri. Apa kata KJ sahaja mengadakan beberapa majlis, lengkap dengan soal-jawab "Q&A" terbuka dengan ahli-ahli yang hadir? Walaupun stail KJ sekarang yang bergerak meja ke meja selepas ucapannya di majlis-majlis terlihat lebih intim, tetapi beliau nampaknya sendiri mengakui ia kurang upaya menjelaskan prinsipnya.

  2. Sebagai seorang yang dicalonkan ke Exco Pemuda, saya telah dinasihatkan yang kita tidak boleh berkempen untuk pemilihan kali ini. Ini menurut kod etika parti yang terkini. Tetapi KJ, sebagai seorang berjawatan dalam parti dan menantu Presiden, nampak begitu beria-ia mahu berkempen. Adakah ini bermakna yang sebenarnya kita dibenarkan berkempen sempena pemilihan Mac depan, atau mungkin beliau sahaja yang dibenarkan berkempen?

  3. KJ yang mencadangkan debat tersebut diadakan, tetapi kemudian mengharapkan seseorang memberitahu beliau tempat, masa dan tarikh ia diadakan. Ini membingungkan kerana sebagai orang No. 2 dalam Pemuda sekarang, semestinya KJ bertanggungjawab mengatur sendiri usaha debat ini. Tambah pula ini cadangan beliau. Adakah beliau mengharapkan orang lain mengurus untuknya? Beginikah gaya kepimpinan beliau?

  4. KJ berpendapat yang debat Pemuda tersebut akan merapatkan rakyat lagi kepada UMNO. Ini saya rasa satu ide yang pelik dan terlalu riak untuk diakui oleh anak muda kita. Bukankah lebih penting untuk sesuatu parti dalam kerajaan melaksanakan janji pilihanrayanya bagi merapatkan diri dengan rakyat dari memperagakan tikaman lidah pemimpin-pemimpin mudanya?

    Malah, intipati 'Prinsip Perjuangan' yang dicadangkan KJ pun bukanlah persoalan yang menarik perhatian rakyat kebanyakan. Buat pengetahuan KJ, rakyat kini lebih berminat tentang isu ekonomi, kos hidup, jenayah, peralihan kuasa segera bagi membolehkan kerajaan menangani masalah negara dengan lebih cepat, dll.

    Debat terbuka tentang 'Prinsip Perjuangan' pada hemah saya akan hanya menambah kecemuhan rakyat terhadap Barisan Nasional dan UMNO, yang kelihatan masih 'syok sendiri'. Lebih teruk lagi, ia mungkin juga menjadi modal baru pembangkang untuk menjelekan Pemuda di kaca mata anak-anak muda yang ingin ditarik kembali ke parti.

  5. Berbalik kepada alasan perlunya calon menjelaskan prinsip perjuangan, tidak bolehkah ini ditangani dengan memastikan media arus perdana memberi ruang sama banyak kepada DMM dan KT seperti diberi kepada KJ? Malah, memandangkan 'prinsip' KJ pun masih kabur walaupun begitu banyak liputan 'khas' tentangnya, apa kata media arus perdana memberi lebih perhatian kepada DMM dan KT menjelang Mac 2009? Pasti lebih berkesan dari debat!

Maaflah kalau kebingungan saya tentang hal ini pun kelihatan keterlaluan, tetapi ini semua haruslah diperjelaskan. Mungkin cara terbaik untuk menyelesaikan isu tersebut adalah dengan kita mengadakan sebuah majlis di mana ide debat ini diperjelaskan oleh KJ dan kemudian beliau berpeluang menangani segala persoalan melalui sesi soal-jawab atau "Q&A". Kemudian kita adakan majlis yang sama dengan kedua-dua calon lain.

Eh, kalau macam tu, mungkin kita boleh buat majlis macam ini untuk hal-hal Pemuda yang lain dan diadakan di seluruh pelusuk negara! Ke dengan forum bersama ke? Eh, tapi bukankah ini cara UMNO yang lazim? Adalah sedikit kelainan yang mungkin boleh diolah berikutan ide lebih bernas Datuk Seri Dr. Rais Yatim supaya UMNO menyediakan pentas khas untuk semua calon mengetengahkan nilai dan pendirian, tak kira 'keupayaan'.

Syukur adanya pemimpin Negori yang cerdik dan matang fikiran seperti Datuk Rais...

Kemaskini...

Saya diperingati oleh blog Another Brick In The Wall bagaimana KJ sebenarnya suka mengelak dari berdebat sebelum ini. Lihat sahajalah bagaimana baru-baru ini pun, beliau lebih selesa berdebat dengan kuncu Anwar dan kuncu Oxford yang sejenis dengannya. Namun harus juga saya betulkan sedikit fakta saudara Voice. KJ sebenarnya hadir di forum anjuran Johns Hopkins yang disebut, tetapi dibelasah teruk oleh arwah sahabat saya Adlan Benan Omar.

Mungkin kerana itulah beliau langsung lari dari mana-mana jemputan berdebat dengan Adlan selepas itu. Malah beliau juga tertuduh menyekat Adlan dari diterima balik ke pangkuan UMNO selesai taubat dari zaman PKR-nya. Yang si Ezam tak apa pula...

No comments

Powered by Blogger.