Cabar Rafidah? Shahrizat dijangka umum pendirian minggu depan
PETALING JAYA: Naib Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dijangka mengumumkan pendiriannya minggu depan berhubung jawatan yang akan ditandinginya pada pemilihan pergerakan itu.
Setiausaha akhbarnya, Eikmar Rizal Ripin berkata, pengumuman secara rasmi akan dibuat sama ada Shahrizat akan menentang Ketuanya, Tan Sri Rafidah Aziz untuk jawatan Ketua atau menghadapi cabaran Exco Wanita, Datuk Kamilia Ibrahim bagi jawatan Naib Ketua.
"Mungkin minggu depan (akan buat pengumuman). Tunggulah sikit masa lagi... kita akan buat pengumuman rasmi," katanya ketika dihubungi mStar Online.
Shahrizat sehingga hari ini masih belum menyatakan pendiriannya sama ada akan bertanding jawatan nombor satu atau dua pergerakan itu selepas menyatakan beliau bertegas supaya pelan peralihan kuasa pergerakan itu perlu diselaraskan dengan Umno induk, Pemuda dan Puteri, Mac depan.
Isnin lalu, mesyuarat Exco Wanita Umno memutuskan pelan peralihan kuasa kepimpinan pergerakan itu kekal pada Jun 2009, manakala jawatan ketua dan naibnya tidak akan dipertandingkan.
Sementara itu, Kamilia tetap dengan pendiriannya untuk bertanding merebut jawatan Naib Ketua dan tidak bersetuju dengan pelan peralihan kuasa tersebut.
Shahrizat memperoleh 73 pencalonan sementara Rafidah dengan 117 pencalonan bagi jawatan Ketua Wanita, manakala bagi jawatan Naib Ketua, beliau mendapat 113 pencalonan manakala Kamilia 54.
No comments
Post a Comment