FATWA YOGA DIUMUM JUMAAT INI

KUALA LUMPUR: Majlis Fatwa Kebangsaan akan mengeluarkan fatwa mengenai hukum senaman yoga - yang dikhuatiri boleh memesongkan akidah, Jumaat ini.


Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, fatwa itu dibuat selepas kajian mendalam dilakukan selama enam bulan mengenai perkara itu dan setelah tiga kali perkara itu dirujuk kepada panel Majlis Fatwa Kebangsaan.


Fatwa ini berkaitan akidah orang Islam yang mempraktikkan senaman itu, kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemurnian Akidah di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.


Baru-baru ini seorang pensyarah dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Zakaria Stapa menasihati orang Islam yang mengamalkan senaman yoga supaya menghentikannya kerana bimbang boleh memesongkan akidah.


Yoga amalan kesihatan yang diperkenalkan sejak 3,300 sebelum Masihi dikatakan dapat membantu melambatkan proses penuaan, mengurangkan risiko kencing manis, darah tinggi, lelah dan penyakit berkaitan jantung.


Amalan senaman harian itu kebanyakannya mempunyai pergerakan berdasarkan unsur dalam agama Hindu, manifestasi gerakan, konsentrasi dan posisi tubuh dilakukan sambil membaca mentera.


Dalam pada itu, Wan Mohamad kesal dengan sikap umat Islam di negara ini yang mudah terpengaruh dengan sesuatu budaya dari luar sehingga boleh merosakkan akidah mereka.


"Apabila mereka yang terlibat itu menganggap ianya trend, budaya itu akan membawa kepada jenayah yang lebih besar yang salah dari segi undang-undang syariah dan boleh meruntuhkan institusi keluarga," katanya.


Beliau berkata, ketetapan Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini yang mengharamkan pengkid iaitu wanita yang menyerupai lelaki sama ada dalam bentuk penampilan atau berpakaian adalah bagi menyelamatkan akidah orang Islam.


Katanya, undang-undang syariah boleh dikenakan kepada orang Islam yang mengamalkan budaya yang boleh memesongkan akidah mereka.

No comments

Powered by Blogger.