BPR siasat pembelian helikopter Eurocopter

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Hrkh) - Badan Pencegah Rasuah (BPR) sudah mula membuka kertas siasatan berhubung pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar bagi menggantikan helikopter Nuri. Iklan



Ketua Pengarahnya, Dato' Seri Ahamd Said Hamdan berkata siasatan tersebut dibuat berikutan kritikan sesetengah pihak mengenai harganya yang terlalu mahal dan didakwa dipengaruhi pihak tertentu.

Beliau berkata kertas siasatan tersebut baru dibuka selepas menerima maklumat daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

"Dokumen dan maklumat penting dah dapat daripada PAC dan kita baru sahaja membuka kertas siasatan," katanya pada sidang akhbar yang dipetik Bernama selepas merasmikan Latihan Ujian Menembak BPR di Lapang Sasar Mantin,Nilai di sini hari ini.

Beliau berkata kes tersebut akan disiasat yang merangkumi semua aspek termasuk prosedur pemilikan dan juga rasuah.

"Ini termasuk semua aspek termasuk rasuah. Kita akan lihat prosedur seperti adakah kepincangan dalam prosedur dan beberapa aspek lain yang terdapat dalam prosedur itu," katanya.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa kerajaan menangguhkan pembelian 12 helikopter itu yang berharga RM1.679 bilion sehingga keadaan ekonomi dunia stabil.

Beliau berkata kerajaan terpaksa menumpukan perhatiannya pada projek yang lebih penting yang boleh memberikan manfaat kepada orang ramai.

No comments

Powered by Blogger.