GAMBAR : lambaian RPK selepas dibebaskan.. -malaysiakini


BEBAS: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini membebaskan editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, daripada penahanan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) setelah membenarkan permohonan habeas corpusnya.

Raja Petra Kamarudin melambaikan tangan sambil dikerumuni penyokong-penyokongnya selepas dibebaskan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.

[DIKEMAS KINI, sehingga 2.30 petang] SHAH ALAM: Editor laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin yang dibebaskan secara rasmi daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hari ini melahirkan rasa terkejut dengan keputusan mahkamah itu.

"Saya terkejut sebenarnya. Saya memohon dibebaskan di bawah Seksyen 8 dan ia berjaya. Tidak ramai yang mencabar Seksyen 8 berjaya, jadi (sebelum ini) saya tidak terlalu berharap.

"Ia (peluang dibebaskan) 50-50," katanya.

Ditanya mengenai perasaannya selepas dibebaskan, Raja Petra berkata, dia tidak dapat memikirkannya buat masa ini dan berasa amat letih.

Ditanya pula apakah pengajaran yang diperolehnya semasa berada di dalam tahanan ISA, Raja Petra berkata, dia mahu berjuang habis-habisan supaya ISA dimansuhkan.

Raja Petra dibebaskan secara rasmi pada jam 3.20 petang tadi.

Keputusan itu dibacakan dibuat Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Hakim Syed Ahmad Helmy turut memuji sikap profesional pihak pendakwaan yang menyelesaikan urusan pembebasan Raja Petra sebelum jam 4 petang seperti yang diminta oleh beliau pagi tadi.

Terdahulu, Raja Petra tiba dengan sebuah van polis dari Kem Tahanan Kamunting, Taiping pada jam 3.05 petang dengan memakai kemeja-T berwarna coklat dan seluar jeans biru.

Kira-kira 30 jurugambar dari dalam dan luar negara mengerumuni Raja Petra sebaik beliau turun dari van tersebut.

Difahamkan, kira-kira 30 hingga 40 penyokongnya sudah mula berkumpul di perkarangan bangunan mahkamah bermula jam 8 pagi lagi.

Kesemua mereka memakai kemeja T yang tertera perkataan 'Free RPK, no to ISA' sebagai tanda sokongan mereka terhadap penulis lam web tersebut.

Raja Petra, 58, ditahan pada 12 September lalu dan pada hari yang sama juga ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok serta wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng turut ditahan dibawah akta tersebut.

Bagaimanapun Teresa dan Tan sudah dibebaskan.

Hakim Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad dalm penghakimannya berkata alasan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar menahan Raja Petra di bawah Seksyen 8(1) ISA adalah tidak termasuk dalam kes ini.

Seksyen 8(1) menetapkan bahawa seseorang itu boleh ditahan selama dua tahun.

Barisan peguam yang mewakili Raja Petra ialah Malik Imtiaz Sarwar, Azhar Azizan Harun dan Ashok Kandiah.

Manakala peguam pihak pendawaan ialah Peguam Kanan Persekutuan, Abdul Wahab Mohamad

Dalam pada itu, isterinya, Marina Lee Abdullah ketika dihubungi mStar Online pagi tadi menyatakan rasa gembira dengan pembebasan Raja Petra.


No comments

Powered by Blogger.