Kerajaan Pulau Pinang Belanja Lebih RM800,000 Naik Taraf Dewan Undangan Negeri



PULAU PINANG, 10 Nov (Bernama) -- Kerajaan Pulau Pinang membelanjakan RM875,450 untuk menaik taraf pelbagai kemudahan dan mengubah suai Dewan Undangan Negeri di Lebuh Light di sini bagi membolehkan mesyuarat pertama sidang ketiga Dewan Khamis ini berlangsung dengan selesa.

Speaker Dewan Abdul Halim Hussain berkata perbelanjaan itu digunakan untuk menaik taraf sistem elektrik di seluruh bangunan warisan tersebut, membina siling di dewan makan dan bilik persidangan, membaiki siling di lobi, pemasangan alat pendingin hawa yang baru, 16 unit kamera litar tertutup (CCTV), menukar lampu serta pengubahsuaian pada Dewan.

Katanya semua kerja-kerja yang dimulakan sebaik sahaja sesi sidang kedua selesai Julai lalu itu dijangka siap sepenuhnya sebelum Dewan bersidang semula Khamis ini.

Bercakap kepada pemberita selepas meninjau kerja-kerja menaik taraf dan ubah suai itu beliau berkata, sistem pendawaian elektrik serta struktur bangunan diperiksa secara berkala bagi memastikan keselamatannya.

Menurutnya sidang Dewan Khamis ini akan dimulakan dengan sesi soalan lisan selama tiga jam pada sebelah pagi diikuti pembentangan Enakmen Pentadbiran pada sebelah petangnya.

Abdul Halim berkata Ketua Menteri Lim Guan Eng akan membentangkan Bajet 2009 pada hari Jumaat ini dan Dewan memperuntukkan empat hari untuk semua Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) membahaskannya mulai Isnin depan.

Beliau berkata terdapat 65 soalan lisan dan 433 soalan bertulis yang dikemukakan pada persidangan kali ini, dan semua ADUN sudah menghantar soalan lisan serta bertulis masing-masing.

"Tahun lalu ada Adun yang tidak menghantar soalan mereka, tapi kali ini semuanya berbuat demikian dan ini merupakan satu petanda yang baik kerana ia menunjukkan tahap kefahaman Adun mengenai prosedur Dewan semakin meningkat," katanya.

Beliau seterusnya mengingatkan semua ADUN supaya berbahas dengan cara yang baik, saling menghormati antara satu sama lain serta tidak menyimpang jauh daripada perkara yang dibincangkan dalam perbahasan supaya tempoh masa berbahas yang ditetapkan dapat dipatuhi.

Abdul Halim seterusnya berkata oleh kerana tempat duduk awam agak terhad di dalam bilik persidangan itu, Kerajaan Negeri menyediakan kemudahan "web TV" bagi membolehkan orang ramai mengikuti perjalanan sidang Dewan.

-- BERNAMA

No comments

Powered by Blogger.